Monday, August 2, 2021

Sokong penuh keputusan Umno

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Perhubungan Veteran Umno Negeri Kelantan menyokong penuh semua keputusan yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi.

Dalam satu kenyataan, Pengerusinya Datuk Hj Kamarudin Abdullah berkata keputusan yang diambil itu sudah jelas bahawa semua Ahli Parlimen Umno menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sesungguhnya sudah jelas bahawa tindakan Umno supaya semua Ahli Parlimen Umno tarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin selaku Perdana Menteri yang gagal adalah selari dengan aspirasi majoriti rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru katanya lagi, didoakan agar semua Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin bagi mematuhi keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020 MKT.

“Veteran Umno Kelantan amat berbangga dengan tindakan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang pada awal-awal lagi telah menarik sokongan beliau kepada Perdana Menteri yang gagal ini.

“Setinggi – tinggi tahniah dan syabas kepada Presiden dan MKT Umno. Tahniah juga atas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negara,” ujarnya.

Malam tadi Umno menerusi satu keputusan  selepas Mesyuarat MKT menarik sokongan serta-merta terhadap Tan Sri Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media secara maya menyatakan tujuh kegagalan Kerajaan memenuhi aspirasi rakyat menyebabkan Umno menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin selaku Perdana Menteri.

Justeru, Umno mendesak agar Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.-

 

Secara Rawak

Artikel Terbaru