Monday, August 2, 2021

Sogokan rasuah RM5,000 bawa padah

Mesti baca

KUCHING: Tiga lelaki ditahan kerana cuba memberi rasuah, selain 97 karton rokok putih dan 5,815.8 liter minuman keras pelbagai jenama milik mereka turut dirampas kerana dipercayai diseludup.

Tangkapan dan rampasan itu dibuat dalam serbuan Ops Kontraban yang dijalankan oleh pasukan Cawangan Risik PGA Sarawak bersama-sama pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak ke atas sebuah premis di sini, kira-kira jam 10.30 pagi Isnin.

Komander Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Saini Bongkek berkata kesemua suspek merupakan warga tempatan berusia antara 22 hingga 38 tahun.

“Semasa serbuan, suspek juga menawarkan wang sogokan sebanyak RM5,000 agar tidak diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan.

Saini menambah keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM204.681.80 (termasuk cukai) merangkumi nilai rampasan rokok sebanyak RM12,550 dan nilai rampasan minuman keras sebanyak RM122,131.80.

Katanya tangkapan dan rampasan wang rasuah telah diserahkan kepada SPRM Sarawak.

Manakala tangkapan dan rampasan di bawah Akta Kastam diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Saini berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

Secara Rawak

Artikel Terbaru