Monday, August 2, 2021

Pas ucap tahniah kepada Ismail Sabri, Hisham

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Presiden Pas dan seluruh kepemimpinan serta ahli Pas merakamkan  setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, parti itu yakin pelantikan Ismail Sabri amat tepat berdasarkan pengalaman beliau sebagai Menteri dan Menteri Kanan, selain sebagai pemimpin Umno paling kanan dalam kabinet Kerajaan Perikatan Nasional.

“Pas yakin beliau akan dapat membantu YAB Perdana Menteri dalam menguruskan negara terutama menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Pas  katanya, turut mengucapkan tahniah kepada  Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Negeri, yang turut dilantik sebagai seorang Menteri Kanan.

“Beliau yang juga merupakan anggota kanan dalam Kerajaan sebelum ini diyakini mampu berganding tenaga dengan semua anggota Kabinet yang lain ke arah membawa Malaysia lebih dihormati di peringkat antarangsa,” katanya lagi.

Menurut Perdana Menteri,  Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-dua pelantikan itu telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berkuat kuasa serta-merta.

“Adalah diharapkan pelantikan ini akan meningkatkan lagi keupayaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19, memperkuatkan perpaduan dalam kalangan ­parti yang membentuk kerajaan dan memperkukuhkan Kerajaaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru