Monday, August 2, 2021

Ini punca Umno tidak lagi sokong Muhyiddin

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Kegagalan Kerajaan memenuhi aspirasi rakyat menyebabkan Umno menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin selaku Perdana Menteri.

Justeru, menurut Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Umno mendesak agar Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.

Menurut beliau, mesyuarat telah menghalusi dan menimbangkan beberapa garis panduan utama yang ditetapkan oleh MKT pada 11 Mac 2020 tatkala Umno memberikan sokongan kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

“Dua panduan utama adalah Kerajaan harus memastikan aspirasi rakyat benar-benar direalisasikan dan Kerajaan harus segera menangani kelembapan ekonomi dan melakarkan pelan tindakan berkesan menangani pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian  dalam sidang media yang dilaksana secara maya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam tadi.

“Walau bagaimanapun setelah diperhalusi, segala panduan utama yang digariskan Umno sebagai syarat meneruskan sokongan terhadap Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin gagal dipenuhi dan dilaksanakan dengan memuaskan,” katanya.

Kata Ahmad Zahid, berpandukan tujuh perkara,  ternyata bahawa Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yasin gagal memenuhi segala garis panduan yang dikemukakan oleh MKT pada 11 Mac 2020, sebagai syarat meneruskan sokongan.

“Memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan di Perhimpunan Agung Umno 2020 dan berpandukan kepada tujuh kegagalan Kerajaan memenuhi aspirasi rakyat yang digariskan, maka tempoh memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta-merta,” katanya

Secara Rawak

Artikel Terbaru