Monday, August 2, 2021

GPS: Pelantikan Ismail Sabri, Hishammuddin tepat pada masanya

Mesti baca

Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengucapkan tahniah atas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri, yang turut mengetuai Kluster Keselamatan.

Sesungguhnya pelantikan kedua-dua mereka amat tepat pada masanya mengambil kira suasana politik negara yang agak panas ketika ini. Ia juga diharap dapat mengembalikan semula tumpuan semua pihak kepada isu lebih utama iaitu kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat selain pemulihan ekonomi negara ketika kita semua sedang bergelut dengan pandemik COVID-19.

Sebagai pemimpin, kita semua perlu sedar rakyat memerhatikan segala apa yang sedang berlaku dan paling penting ramai yang tidak bersetuju dengan permainan politik yang boleh menggugat kestabilan negara ketika ini.

Justeru, saya berpendapat pelantikan kedua-dua pemimpin yang terkenal dengan ketokohan dan keupayaan masing-masing ini amat bersesuaian dengan tanggungjawab besar yang diletakkan pada bahu mereka.

Saya pernah bekerja bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebagai timbalannya dan mengagumi kepimpinan beliau.

Justeru, saya percaya beliau mempunyai kemampuan untuk menjalankan tugasnya dengan cemerlang sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga mempunyai reputasi baik malah keupayaannya menguruskan krisis ketika negara berhadapan dengan isu penerbangan MH370 sehingga kini masih diperkatakan banyak pihak termasuk pemimpin luar negara.

Mengambil kesempatan ini, saya turut ingin meminta bantuan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengetuai Kluster Keselamatan untuk memberi perhatian kepada isu keselamatan di Sarawak. Ini termasuklah membabitkan insiden pencerobohan sempadan oleh 16 pesawat China yang memasuki ruang udara Malaysia berhampiran Sarawak hujung Mei lalu, selain kapal pengawal pantai China berada berdekatan Beting Patinggi Ali, Sarawak, awal Jun ini.

Akhir kata, saya yakin dan percaya, pelantikan kedua-dua mereka akan memberi nafas baharu kepada pentadbiran negara dalam kita semua berjuang melawan COVID-19 demi kebaikan semua pihak.

DATO SRI ALEXANDER NANTA LINGGI

SETIAUSAHA AGUNG

GABUNGAN PARTI SARAWAK

Secara Rawak

Artikel Terbaru