Monday, August 2, 2021

Polis jejaki pesakit Covid-19 yang lari

Mesti baca

KUCHING: Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padawan telah digerakkan untuk mengesan pesakit Covid-19 yang melarikan diri dari pusat kuarantin Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Jalan Puncak Borneo semalam.

Timbalan Ketua Polis Padawan, Deputi Superintenden Lim Jaw Shyong memberitahu, polis telah mengenal pasti identiti suspek dan masih membuat risikan mengenai di mana suspek berada dan akan mengambil tindakan.

Berdasarkan siasatan awal, katanya, suspek dikenali sebagai Rozila Mohd Jaya, 31 tahun berasal dari Kuching.

Beliau mengulas lanjut, suspek telah menamatkan hukuman penjara selama tiga bulan atas kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) C Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menjalani ujian saringan pada 4 Julai sebelum dibebaskan.

Katanya, hasil saringan terhadap suspek didapati positif Covid-19 maka suspek telah dihantar ke pusat kuarantin oleh pejabat kesihatan.

“Kes berlaku pada 10.50 pagi semalam apabila anggota di bilik gerakan menerima panggilan telefon dari pegawai perubatan yang bertugas sebagai penyelia di pusat kuarantin tersebut memaklumkan bahawa suspek telah melarikan diri.

“Suspek didapati tiada di dalam bilik yang sepatutnya dia berada untuk menjalani kuarantin selama 14 hari sehingga 13 Julai,” katanya.

Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuka di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Kata Jaw Shyong, polis IPD Padawan telah digerakkan untuk mengesan suspek dan kes ini masih dalam siasatan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru