Friday, July 30, 2021

Pengeluaran KWSP – Tindakan terdesak sekarang dan juga pada masa akan datang? 

Mesti baca

Kewujudan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan tonggak asas pengaturan sosio-ekonomi dan keselamatan sosial di Malaysia serta pemerkasa sistem ekonomi kita – dalam peranan memudahcarakan kecairan tunai bagi kerajaan dan juga pasaran kewangan/modal.

Inilah sebabnya langkah berhemat sangat diperlukan dalam pelaksanaan pengeluaran i-Sinar (iaitu, Akaun 1) walaupun terdapat saranan popular – berlatarbelakangkan keadaan yang agak luarbiasa dan terdesak.

Dan sekarang i-Citra telah diumumkan pada Jun 28 sebagai sebahagian daripada pakej bantuan dan rangsangan baru yang dikenali sebagai Pemulih (Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi).

Walaupun begitu, kerajaan harus melangkah dengan berhati-hati.

Membolehkan pengeluaran tanpa syarat di bawah i-Citra (melalui Akaun 2 terlebih dahulu dan jika perlu, diikuti Akaun 1) – mungkin akan menetapkan satu pedoman yang tidak diingini (iaitu, akibat tidak terjangka) untuk masa depan.

Sejauh ini, pelaburan dan pulangan KWSP tidak terjejas sehingga menyebabkan pengeluaran i-Lestari (Akaun 2) dan i-Sinar dianggap dasar yang tidak tepat dari sudut pengalaman.

Oleh itu, i-Citra diperkenalkan yang membolehkan penyumbang mengeluarkan wang sehingga RM5000. Ia diharapkan dapat memberi manfaat kepada 12.6 juta ahli KWSP. Pembayaran akan dibahagikan kepada lima fasa dengan RM1,000 sebulan, bergantung pada jumlah yang ada di akaun.

Sekali lagi, seperti pengumuman terbaru mengenai i-Sinar, tiada syarat yang dikenakan. Dijangka RM30 bilion akan disalurkan ke dalam ekonomi nyata.

Oleh kerana amalan pengeluaran KWSP sudah menjadi sebahagian daripada dasar fiskal dan sosio-ekonomi kerajaan semasa ketidaktentuan ekonomi yang disebabkan Covid-19, dengan ini disarankan agar langkah-langkah harus diambil untuk memastikan bahawa ia tidak diulangi pada masa depan.

Tetapi bukankah keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini sudah pastinya bererti bahawa krisis luar biasa seterusnya mungkin hanya terjadi dalam 50 atau 100 tahun lagi?

Tidak semestinya kalau Covid-19 menjadi endemik. Sudah tentu, ini tidak bererti bahawa jika Covid-19 menjadi endemik, oleh itu, pandemik telah dijinakkan dan tidak berbahaya seperti selesema.

Kemunculan varian seperti varian Delta (varian B.1.617.2) dan sekarang varian Delta Plus (B.1.617.2.1/AY.1) akibat mutasi semestinya menjadi peringatan jelas tentang bagaimana sifat Covid-19 tidak dapat diramalkan. Mutasi protein spike varian Delta Plus yang disebut K417N juga terdapat dalam varian Beta.

Justeru itu, masih ada kemungkinan Covid-19 menjadi lebih berbahaya dari segi jangkitan (tahap penularan, profil risiko), replikasi (kelajuan), kesinambungan myawa (pemanjangan umur) dan kekebalan terhadap vaksin (melalui mutasi) dan mungkin juga pengesanan dalam bentuk ujian diagnostik (kit ujian pantas antigen/RTK, tindak balas rantai polymerase/PCR).

Ini bermaksud bahawa kita mungkin kembali ke situasi di mana penutupan (penuh) kemungkinan kembali di masa depan sebagai senario terburuk. Atau prosedur operasi standard yang ketat (SOP) diperkenalkan semula yang dapat mempengaruhi dan mengekang operasi perniagaan dan, secara meluas, peluang pekerjaan (walaupun hanya sementara) kerana peralihan ke digitalisasi dan ekonomi sentuhan rendah terus meningkat.

Walau bagaimanapun, kami mendesak agar kemudahan pengeluaran seperti itu dipandang sebagai “sekali sahaja” (one-off) – walaupun dianggap amat perlu dalam keadaan semasa.

Sebagaimana yang dilaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Amir Hamzah Azizan tidak begitu khuatir dengan kesan pengeluaran i-Sinar dan i-Lestari terhadap pulangan kecairan dan portfolio tetapi dengan kapasiti Akaun 1 dan Akaun 2 untuk menjamin persaraan yang mencukupi bagi ahli yang berkenaan (“Pengeluaran Akaun 1 mengejutkan KWSP, kata Amir”, The Edge Markets, Jun 24, 2021).

Dengan ini, adalah dicadangkan agar pengeluaran harus diimbangi dengan sumbangan padanan kerajaan – untuk membantu penyumbang yang terlibat supaya membina semula simpanan mereka. Padanan ringgit untuk ringgit oleh kerajaan boleh terhad di antara RM25000 hingga RM50000 – dengan 50% untuk Akaun 1 dan 50% yang selebihnya untuk Akaun 2. Jumlah yang tertinggal dalam gabungan akaun atau kriteria kelayakan boleh dibatasi pada RM30000, sebagai contohnya.

Memandangkan kategori penyumbang yang sama, langkah-langkah lain boleh merangkumi penciptaan “Saham Ekonomi Malaysia” – yang berdasarkan pertumbuhan KDNK atau prestasi tahun sebelumnya (katakanlah minimum 6% per tahun yang, diperuntukkan sebagai RM1500, contohnya, dengan kenaikan RM500 dengan setiap peratusan yang sepadan). Saham tersebut tidak memerlukan pensijilan kertas, dan wang tunai dibayar terus ke dalam akaun pemegang akaun KWSP.

Diharapkan bahawa krisis Covid-19 yang unik (atau belum pernah terjadi sebelumnya) akan menjadikan pengeluaran i-Lestari, i-Sinar, dan sekarang i-Citra sebagai langkah yang berada di luar kebiasaan pembuatan dasar. Oleh itu, harus dianggap sebagai keputusan “sekali sahaja” (dan bukan “sekali sekala”) secara keseluruhan dan pilihan dasar yang tidak perlu buat masa depan.

Jason Loh Seong Wei is Head of Social, Law & Human Rights at EMIR Research, an independent think tank focussed on strategic policy recommendations based on rigorous research.

Secara Rawak

Artikel Terbaru