Friday, October 22, 2021

Penerima Anugerah Sasterawan Sarawak

Mesti baca

Zainal Abidin Haji Suhaili dilahirkan di Kuching, Sarawak pada 19 Disember 1966. Beliau mendapat pendidikan sehingga lulus SPM daripada SMK Dato Permaisuri, Miri. Seterusnya beliau memperoleh Diploma Pengurusan Sukan daripada Persatuan Pendidikan Jasmani, Sains Sukan dan Kecergasan Malaysia.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam bidang kesusasteraan Melayu, dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Zainal Abidin Haji Suhaili pernah bertugas sebagai Kerani Kewangan di BBMB Kewangan Berhad Cawangan Miri (1991-1999) dan Pegawai Operasi, Bank Muamalat Malaysia Berhad Cawangan Miri (1999-2015). Kini beliau bertugas sebagai Eksekutif Kewangan, Perunding Geomatik Sdn. Bhd..

Dalam gerakan penulis beliau bergiat aktif di dalam Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dan kini memegang jawatan Ketua 1 sejak tahun 2002. Boleh dikatakan bahawa dengan penglibatannya bersama-sama rakan penulis beliau di Miri, serta kepimpinannya, gerakan sastera menjadi hidup di utara Sarawak, sebagai suatu variasi kepada gerakan sastera arus perdana di Kuching atau di Kuala Lumpur.

Beliau mula menulis sejak tahun 1980-an lagi. Sepanjang bergerak aktif dalam dunia penulisan, beliau telah menghasilkan 10 kumpulan puisi dan 251 puisi terbit dalam bentuk eceran dalam majalah dan juga dalam akhbar. Antara kumpulan puisi beliau yang telah diterbitkan sejak tahun 1989 hingga 2020 ialah Seekor Kelawar di Kamar Pengantin (1989), Mengenal yang Asal terbitan Persatuan Penulis Utara Sarawak (2000), Membentuk Elok di Teluk Esok (2001), Sang Kelawar Kesiangan (2010), Sinar Benar (2011), Kitab Rahsia (2015), Merdeka Burung (2015), Pemburu Kata Merdu (2017), Berani Bermimpi (2018), dan Cinta Si Pengukir Kata (2020). Selain aktif dalam penghasilan puisi, beliau turut menghasilkan esei kritikan dan juga cerpen. Beliau telah menghasilkan sebanyak 51 esei kritikan sejak tahun 1991 dan dua buah cerpen.

Sejak awal penglibatan beliau dalam dunia penulisan, puisi-puisi yang dihasilkan oleh beliau banyak memenangi hadiah pertandingan. Antaranya ialah Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (1991, 1995, 1996, 1997,1998, 1999, 2000, 2001, 2003, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009, dan 2010), Hadiah Galakan Sastera Kenyalang (1993/1994), Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (2003 dan 2007), Hadiah Penghargaan Puisi, Hadiah Sastera Selangor anjuran Kerajaan Negeri Selangor, Hadiah Sastera Berunsur Islam XI 20 anjuran DBP dan Yayasan Pelajaran Islam, Hadiah Penghargaan, Sayembara Menulis Puisi Kepenggunaan Peringkat Kebangsaan, anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (2006), Hadiah Penghargaan, Hadiah Menulis Puisi Islam Asean, BAHASA (2016), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2000/2001, 2006-2007, 2008-2009), Hadiah Sastera Penulis Sarawak (2013, 2014, 2016, 2017 dan 2018).

Selain puisi, karya beliau dalam genre Esei Kritikan juga pernah memenangi beberapa kategori hadiah. Antaranya, esei beliau yang bertajuk Bingkai Waktu: Menjejaki Keindahan Bahasa dan Makna Puisi, Pharo Abdul Hakim telah memenangi Hadiah Sastera Penulis Sarawak pada tahun 2011, Pemikiran Pascakolonial dalam Sanjak Si Renta menang Hadiah Sastera Penulis Sarawak, 2015, Indah Mahabbah dalam Riwayat Mangga Makrifat di Pohon Keramat menang Hadiah Sastera Penulis Sarawak, 2017 dan Esei Menukang Puisi Tidak Semudah Bermain Domino menang Hadiah Sastera Selangor anjuran Kerajaan Negeri Selangor, 2019.

Kecemerlangannya sebagai penulis kreatif di negeri Sarawak dan kebangsaan telah membuka laluan kepadanya menerima anugerah tertinggi bagi bidang kreatif dalam pertubuhan ASEAN pada tahun 2017 oleh Kerajaan Thailand, iaitu penerima SEA Write Award. Pada tahun 2018, beliau telah menerima Anugerah Penyair GAPENA. Ini merupakan suatu pengiktirafan tertinggi oleh sebuah gabungan seluruh persatuan penulis tanah air kepada Abizai. Dengan pengiktirafan GAPENA tersebut, taraf kepenyairan Abizai sejajar dengan penyair-penyair tersohor tanah air yang telah menerima anugerah ini iaitu Kassim Ahmad, Baha Zain, A. Latif Mohidin, Rahman Shaari, A. Rahim Abdullah, Jamaludin D dan Datu Adi Badiozaman Tuah.

Penerima

Anugerah Khas Bahasa dan Sastera

Awang Bujang Awang Hamdan atau yang lebih dikenali sebagai AB Nor dilahirkan pada 29 Mac 1945 di Kuching, Sarawak. Beliau menerima pendidikan menengah di SM Modern, Batu Lintang (1971). Beliau memperoleh GCE dalam tahun 1981 sebagai calon persendirian. Beliau pernah berkhidmat di Jabatan Tanah dan Ukur (1965 – 1974) sebagai pembantu tadbir. Mulai tahun 1975 hingga 1992, beliau berkhidmat di Unit Perancang Negeri sebagai pembantu tadbir kanan dan mulai 1993, beliau berkhidmat di Jabatan Ketua Menteri sebagai pembantu tadbir kanan sehingga bersara.

Awang Bujang Awang Hamdan merupakan seorang aktivis yang cukup sinonim di panggung bangsawan dan drama di Sarawak. Ketokohan beliau dalam dunia drama dan teater tempatan cukup tersohor dan disanjung tinggi oleh para seniman negeri Sarawak. Sepanjang beliau berkarya, Awang Bujang Awang Hamdan juga menggunakan nama pena lain seperti Normah B. untuk Siri Jenayah, Azli Bachtiar untuk Sejarah Islam dan Keluarga Murni.

Nama pena Amir Basri digunakan untuk drama radio Setitik Peluh di Bumi Bertuah dan Rumpun Kelana. Beliau banyak menyumbang dalam penghasilan dan pementasan drama dalam bahasa kebangsaan pada zamannya. Ini merupakan tempoh awal dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga satu usaha memperkasakan budaya dan kebijaksanaan masyarakat Melayu pada ketika itu melalui pementasan bangsawan di negeri Sarawak.

Sepanjang tahun 1960-an hingga era 2000 beliau berjaya menghasilkan lebih kurang 500 buah skrip drama radio. Drama radionya yang pertama berjudul Burung Serindit Terbang Melayang telah disiarkan oleh stesen Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak.

Selain itu, beliau juga turut diberi kepercayaan menulis skrip drama harian berjudul Keluarga Intan dan skrip drama harian lain yang berjudul Keluarga Murni. Beliau juga pernah menulis drama sejarah Islam selama setahun. Malah beliau turut menulis skrip drama bersiri jenayah, drama dalam syair, Setitik Peluh di Bumi Bertuah (kisah orang kampung) yang berbentuk Sandiwara Radio dan Sandiwara Radio Khas.

Selain menghasilkan skrip drama radio, beliau turut menghasilkan karya skrip drama pentas dan drama bangsawan. Antara skrip drama beliau yang pernah diterbitkan ialah Selamat Tinggal terbitan Gabungan Persatuan Penulis Sarawak, Sri Sarawak (1987), Titik Mula Titik Akhir (1987), Santubong Seri Gunung (2008), Semimuzikal Lagu Darul Hana (2018), dan Tragedi 1849 (2018). Selain itu juga, banyak skrip drama yang ditulis beliau turut dipentaskan. Antaranya ialah Drama Sayang Sarawak (1968), Drama Sengketa di Kala Senja (1969), Drama Kandas (1974), Drama Selamat Tinggal – Karya bersama Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah (1978 dan 1980), Drama Gelap (1977), Drama Bangsawan Panji Asmara (1987 dan 1993), Drama Bangsawan Siti Nilam Baiduri (1985), Drama Bangsawan Raja Dewa Sisa Tulang (1988), Bangsawan Sharif Mashor (1989, 1993, dan 1995), Titik Mula Titik Akhir (1991), Drama Yeeaah (1992), Madu Beracun (2007), dan Anakku Shazali (2007). Selain aktif dalam menghasilkan skrip drama, beliau turut selalu diberikan kepercayaan sebagai Pengarah Drama dan juga pelakon.

Dalam gerakan seni, Awang Bujang Awang Hamdan merupakan seorang aktivis yang sangat aktif dalam berpersatuan.Selain menceburi dunia seni, beliau juga aktif dalam badan bukan kerajaan. Beliau dan beberapa orang rakannya pernah menubuhkan Surabaya Sport Club (SSC) pada tahun 1960-an. Selain itu beliau juga terlibat dalam persatuan Rumpun Seni Drama Sarawak (RUSDA), Persatuan Bahasa dan Sastera Malaysia Sarawak (PEBAS), Grup Sri Bangsawan Muda dan Persatuan Medan Teater Sarawak (MANTERA).

Antara anugerah dan pengiktirafan yang pernah diterima oleh beliau ialah menang hadiah pertama Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas DBP melalui karya beliau Titik Mula Titik Akhir (1981),  menang tempat ketiga dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas DBP skrip drama Sri Sarawak (1985), menang Hadiah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak kategori Skrip Drama (1995), menang tempat kedua Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak melalui Skrip Drama Semimuzika Lagu Darul Hana (2007) dan tempat ketiga melalui skrip drama Tragedi 1429.

Penerima

Anugerah Penulis Sarawak (Genre Cerpen dan Novel)

Abang Median Abang Said dilahirkan pada 22 Mei 1971 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (1985 – 1988) dan Sekolah Tun Abang Haji Openg (1988 – 1991). Mendapat pendidikan guru di Maktab Perguruan Batu Lintang (Kuching) dan Ijazah Sarjana Muda (Psikologi Kanak-kanak di Universiti Terbuka Malaysia). Beliau telah berkhidmat sebagai guru di Sekolah SK Long Laput pada tahun 1994. Kemudian berpindah dan mengajar di SMK Marudi Baram bermula pada tahun 1997 hingga sekarang. Di SMK Baram, beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu. Pada tahun 2019, beliau telah dilantik menjadi Ketua Bidang Bahasa di SMK Marudi. Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Utara (PUTERA) sejak 2008 hingga kini. Dalam persatuan, beliau aktif sebagai urus setia program anjuran Putera, menjadi wakil persatuan dalam menghadiri aktiviti-aktiviti sastera, membentangkan kertas kerja, moderator dan juga hakim pertandingan anjuran PUTERA.

Dalam bidang penulisan, beliau banyak menghasilkan cerpen, novel puisi, dan esei. Karya-karya beliau banyak berkisar tentang masyarakat di daerah berkenaan. Sepanjang tahun 2017 hingga 2020 beliau telah berjaya menghasilkan sebuah kumpulan cerpen, dua buah puisi terbit dalam bentuk antologi, 26 cerpen eceran terbit dalam akhbar dan majalah serta lima buah novel. Antara karya beliau yang diterbitkan dalam tempoh 2017 hingga 2020, ialah Kumpulan Cerpen Bahasa Kenalan Cinta terbitan ITBM (2017), cerpen Lelaki Berwajah Binatang (2018), cerpen Satu Pagi Dia Kehilangan Lidah (2019), cerpen Insiden Deskripsi yang Mematikan Rasa (2017), Novel Penebus Kalbu (2017), Novel Anak Perawan (2018), Novel Antara Dua Titik (2019), Novel Telinga Supersonik Si Asperger (2019), dan Novel Jejak Hilang yang Pulang (2020)

Karya-karya beliau banyak menerima anugerah Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (1995, 1996, 2010, 2011, 2012, 2013, 2014, 2015, 2016/2017, 2017/2018, DAN 2018/2019) yang diadakan pada saban tahun dan juga Hadiah Penulisan Kreatif Guru yang dianjurkan Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak. Karya beliau, Pendekar Si Pencampung Rasa menang Hadiah Utama Kumpulan Sastera Utusan (cerpen Dewasa), 2014, cerpen Kancil, X-Trail dan Sebuah Bengkel (Dewan Siswa September 2016) menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (Eceran Cerpen Remaja) dan cerpen beliau yang bertajuk Sebuah Negeri di dalam Telinga (Mingguan Malaysia 25 Sept. 2016) menang Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, 2017.

Penerima

Anugerah Penulis Sarawak (Genre Puisi dan Esei Kritikan)

Ja’afar Haji Hamdan merupakan anak kelahiran Sri Aman. Beliau dilahirkan pada 19 September 1969. Kini bertugas sebagai Timbalan Pengarah di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. Beliau merupakan Setiausaha Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) bermula 2005 hingga 2008. Pada tahun 2008 dilantik sebagai Presiden, PEKASA sehingga kini. Pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA) pada tahun 2017 hingga 2018. Kini menjadi Ahli Jawatankuasa Penuh GAPENA. Beliau merupakan Munsyi Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Berkelulusan Bacelor Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia.

Ja’afar Haji Hamdan merupakan penulis Sarawak angkatan 1990-an yang masih lagi tekal berkarya sehingga sekarang. Pada ketika sebahagian besar teman seangkatannya berhenti menulis, beliau terus rajin menulis sajak dan esei kritikan dan rencana. Sepanjang penglibatannya dalam sastera, Jaafar Haji Hamdan telah menghasilkan dua buah kumpulan puisi persendirian, iaitu Bunga Yang Menangis (DBP: 2007) dan  Aku Masih Mahu Cinta (ITBM: 2016). Selain itu, puisinya juga termuat dalam 19 antologi puisi terbitan DBP, ITBM, GAPENA dan PEKASA. Puisi-puisi dan esei-esei hasil nukilannya banyak tersiar dalam Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Pelita Bahasa, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Utusan Borneo, Utusan Sarawak dan Cermin Rakyat. 

Beliau pernah memenangi hadiah utama Peraduan Menulis Puisi anjuran PEMADAM (1994), Hadiah Penulis Harapan Negeri Sarawak (1998/1999), Penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2014, Penerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak (Pingat Ahli Bintang Sarawak) pada tahun 2017, penerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (kategori Sajak) pada tahun 2000, 2001, 2002, 2003, 2014, 2018 dan 2019. Penerima Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak (Kategori Esei Kritikan) pada tahun 2003, 2007, 2011 dan 2019.

Penerima

Anugerah Penulis Sarawak (Kategori Bahasa Iban)

Janang Ensiring dilahirkan pada 21 Januari 1949 di Temuda Ulak, Diso Saratok. Beliau menerima pendidikan di St. Peter’s Saratok dan SMK Saratok. Beliau mulai bertugas sebagai guru sejak tahun 1969 setelah menamatkan latihan perguruan di Maktab Perguruan Rejang, Bintangor pada tahun 1968. Semasa berkhidmat di Jabatan Pendidikan, selain mengajar di sekolah, Janang Ensiring juga pernah dilantik menjadi guru besar, pengetua, penerbit TV Pendidikan dan juga pegawai pendidikan daerah. Pada tahun 1992 beliau dilantik sebagai penyelia sekolah di Ibu Pejabat Jabatan Pendidikan Kuching. Janang Ensiring merupakan salah seorang pengasas kemajuan bahasa Iban di sekolah di Sarawak. Beliau pernah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa penggubalan Sukatan Pelajaran Bahasa Iban dan juga menjadi ahli panel penulis buku teks Bahasa Iban KBSR dan KBSM. Beliau juga pernah dilantik sebagai setiausaha kepada jawatankuasa penyusunan Sistem Ejaan Bahasa Iban Sarawak di bawah naungan Yayasan Kebudayaan Dayak Sarawak. Kini, Janang Ensiring bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Kanan di Yayasan Jugah. Selain itu, beliau juga merupakan penulis dan penyampai rancangan radio bersiri mengenai bahasa dan budaya Iban yang disiarkan oleh Perkhidmatan Iban, RTM Kuching sejak tahun 1978.

Janang Ensiring mempunyai minat yang mendalam dalam bidang penulisan. Beliau banyak menghasilkan karya sejak tahun 1960 hingga kini. Antara karya beliau ialah Ngelar Menua Sarawak (1968), Emperan Assam Panas (1991), Dr. Ida (1992), Ungkapan Bahasa Iban/Bahasa Malaysia (1995), Ai ditetak Enda Putus (2013), Senawah di Ujung Pemetang  (2013)  dan Gempung Ensera Iban (8 siri buku) (2015). Selain menulis, beliau juga selalu diberikan kepercayaan sebagai Ketua Pengarang, penyunting dan juga penterjemah buku.

Hasil usaha beliau dalam dunia penulisan, beberapa karya beliau pernah menang  peraduan penulisan kategori bahasa Iban. Antaranya ialah, Novel Emperan Assam Panas menang tempat pertama (Bahagian Iban) dalam Peraduan Menulis Novel Peringkat Negeri Sarawak (1976), Novel Tanah Belimpah menang tempat pertama (Bahagian Iban) dalam Peraduan Menulis Novel Peringkat Negeri Sarawak (1977), menang Hadiah Pertama dalam Peraduan Mengarang Esei 1995 (Bahagian Iban) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia, Kuching (1995) dan Novel Korban Pulau Cerindak menang Hadiah Sagu Hati dalam Peraduan Penulisan Kreatif (Cerpen) Peringkat Negeri Sarawak (2013).

Secara Rawak

Artikel Terbaru