Wednesday, September 22, 2021

Kerajaan Sarawak komited segerakan pemberian vaksin

Mesti baca

LUNDU: Sokongan tidak berbelah bahagi oleh Kerajaan Sarawak adalah disebalik kejayaan dan kepantasan Sarawak dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 (PICK) kebangsaan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Katanya, Sarawak tidak hanya bergantung kepada input daripada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg paling banyak memberi sokongan dari segi dana dan sumber.

“Sebab itu, kita sekarang antara negeri tertinggi yang sudah memberi vaksin kepada rakyat,” katanya sempena lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Suarah Lundu, di sini semalam.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagaimanapun berkata kejayaan program vaksinasi Sarawak bergantung kepada bekalan vaksin yang diperoleh dari Kerajaan Persekutuan.

“Melainkan Kuala Lumpur dan Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 kebangsaan (CITF) memberi jumlah vaksin yang diperlukan, kita akan dapat mencapai sasaran untuk memvaksin 2.2 juta orang di negeri ini pada penghujung Ogos.

“CITF berjanji untuk memenuhi keperluan kita, dan kita sekarang memohon 430,000 dos seminggu,” katanya.

Menurut Uggah, sehingga semalam, Sarawak telah memvaksin seramai 1,552,944 orang di negeri ini dan daripada jumlah tersebut, seramai 1,226,659 orang telah menerima dos pertama dan selebihnya telah melengkapkan dua dos.

Manakala, beliau berkata pada Isnin sahaja, seramai 56,068 orang telah divaksin di seluruh negeri ini.

“Sekarang kita ingin meningkatkan jumlah melebihi 60,000 orang setiap hari untuk mencapai sasaran.

Uggah berkata Sarawak sekarang mempunyai sebanyak 313 PPV di seluruh negeri, termasuk 68 PPV awam, 84 klinik perubatan swasta, 51 klinik kerajaan, 24 hospital umum, 35 PPV industri, 12 hospital swasta, 36 PPV bergerak, dua PPV AstraZenneca dan PPV universiti (PPV IPT).

Beliau berkata, selain itu, Sarawak juga dibantu oleh pasukan perubatan tentera yang beroperasi di pelbagai lokasi di Lawas, Miri dan Kapit.

Justeru katanya, dengan penglibatan pasukan perubatan tentera, kemajuan pemberian vaksin di negeri ini bergerak pantas dan meluas.

Secara Rawak

Artikel Terbaru