Tuesday, August 16, 2022

Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri  Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Menteri Pertahanan  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri dalam cubaan yang dilihat  pemerhati adalah untuk meredakan kehangatan suhu politik.

Muhyiddin tidak melantik sesiapa ke jawatan itu apabila membentuk kerajaan Mac 2020, tindakan yang lari daripada amalan biasa di negara ini.

Menteri Luar  Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilantik sebagai menteri kanan yang baharu dan akan mengambil alih tugas kluster keselamatan yang dikendalikan Ismail sebelum ini.

Pejabat Perdana Menteri  mengumumkan pelantikan berkenaan melalui kenyataan media petang  tadi.

Perdana menteri juga bersetuju supaya Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

Menurut kenyataan itu, Ismail akan tetap memegang portfolio menteri pertahanan

“Pelantikan ini akan dapat membantu YAB Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini,” kata PMO.

Kata kenyataan itu lagi, pelantikan itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan berkuat kuasa serta-merta.

“Adalah diharapkan pelantikan ini akan meningkatkan lagi keupayaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19, memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti parti yang membentuk kerajaan dan memperkukuhkan Kerajaaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti,” kata kenyataan itu lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru