Friday, July 30, 2021

97% kakitangan Bintulu Port terima suntikan vaksin

Mesti baca

BINTULU: Sejumlah 1490 dari 1528 jumlah keseluruhan kakitangan Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) atau lebih kurang 97 peratus kakitangan kumpulan syarikat berkenaan telah menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekitar Bintulu, setakat Isnin lalu(5 Julai).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata, pihak pengurusan Kumpulan BPHB amat berbangga dengan sikap proaktif dan keinginan kakitangannya untuk mengambil bahagian dalam menjayakan program vaksinasi tersebut.

“Pihak Pengurusan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu (DDMC) atas keprihatinan serta tindakan yang pantas dalam memberi keutamaan pemberian vaksin kepada semua barisan hadapan kakitangan Kumpulan BPHB sejak bermulanya program vaksinasi kerajaan pada penghujung Februari 2021,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Beliau berharap semua pengguna pelabuhan, pemberi perkhidmatan pelabuhan berkaitan dan komuniti kejiranan pelabuhan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 -19 dalam masa terdekat.

Menurut beliau, sejak bermulanya penularan wabak Covid-19 pada Mac 2020, aspek tanggungjawab sosial korporat di dalam menangani penularan wabak Covid-19 turut menjadi fokus dan keutamaan syarikat.

“Kumpulan BPHB telah mengambil beberapa inisiatif kepada kerajaan dan agensi-agensi berkaitan seperti menyumbangkan peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada barisan hadapan kepada empat hospital utama di Sarawak, peralatan komunikasi, kerusi, meja, serta makanan dan minuman kepada petugas-petugas di stesen Sekatan Jalan Raya(SJR) dan sebagainya.

“Bagi golongan yang tidak berkemampuan di dalam komuniti pula, sumbangan untuk meringankan beban kehidupan seperti bakul makanan juga telah dibuat dan inisiatif ini akan dilaksanakan dari masa ke semasa sekiranya diperlukan,”ujarnya.

Selain itu, bagi menampung pusat kuarantin yang terhad di Bahagian Bintulu, Kumpulan
BPHB telah bekerja sama dengan DDMC dan KKM Bintulu untuk menjadikan Dewan Sukan
Sri Pelabuhan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) pada Mac lalu.

“PKRC ini boleh menampung 300 hingga 350 pesakit Covid-19 berisiko rendah pada satu-satu masa.

Manakala, bagi memastikan pencegahan penularan pandemik Covid-19 di tempat kerja pula, Kumpulan BPHB,akan terus mengambil tindakan proaktif dengan sentiasa mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) sedia  ada dengan mengambilkira perkembangan terkini dan akan saling bekerja sama dengan agensi kerajaan seperti KKM, SDMC, DDMC dan juga lain-lain agensi berkaitan sektor pelabuhan seperti Lembaga Pelabuhan Bintulu dan Lembaga Pelabuhan Samalaju, tegas Medan lagi.

Beliau berharap dengan usaha ini dapat memberikan perlindungan tambahan bagi warga kerja pelabuhan dan membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara dengan peranan dalam sektor pelabuhan dan perkapalan.

Sama-sama lah kita berdoa dan berusaha supaya Imuniti Kelompok atau Herd Immunity di
dalam negara segera dibentuk supaya penularan pandemik Covid-19 dapat dikawal dalam masa terdekat, tambahnya lagi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru