Monday, August 2, 2021

Lelaki buat ugutan guna senapang diburu polis

Mesti baca

KUCHING: Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai membuat ugutan dengan mengacukan senapang angin terhadap seorang individu, dalam sebuah rakaman video yang tular semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata kejadian dipercayai berlaku di Kampung Tabuan Dayak.

“Siasatan segera telah dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana membawa senjata di tempat awam.

Dalam pada itu, Ahsmon berkata pihaknya juga sedang mengesan mangsa bagi membantu siasatan berhubung video tersebut.

Setakat ini, katanya identiti mangsa belum dikenal pasti.

Justeru, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerag Kuching DSP Mohd Hafizi Ishak atau Inspektor Yew Yuan Sheng di talian 016-9099972.

Selain itu katanya, orang ramai juga boleh tampil ke mana-mana balai polis yang berdekatan atau memghubungi pusat kawalan IPD Kuching di talian 082-244444.

Secara Rawak

Artikel Terbaru