Monday, August 2, 2021

Kisah bunuh diri di Malaysia, Jepun

Mesti baca

SATU daripada kecenderungan saya ketika berlakunya ancaman Covid-19 dan PKP ialah membaca novel Jepun. Minat saya terhadap karya kreatif Jepun telah lama tersemai dan bersemi, dan semakin semarak selepas beberapa kali mengunjungi negara 126 juta jiwa itu.

Dalam tempoh sekitar enam bulan lalu, saya telah membaca 15 novel Jepun dan daripada jumlah tersebut 10 karya berakhir dengan kejadian bunuh diri, termasuk novel Kokoro karya Natsume Soseki.

Yang lebih mengejutkan ialah lebih 54 orang pengarang Jepun telah membunuh diri sejak 1900, termasuk pemenang Hadiah Nobel, Yasunari Kawabata (1899-1972), Ryunosuke Akutagawa (1892-1927), Osamu Dazai (1909-1949), dan Yukio Mishima (1925-1970).

Pengarang terkemuka Jepun lain yang turut meragut nyawa sendiri ialah Takeo Arishima (1878-1923), Tamaki Hara (1905-1951) Ashihei Hino (1907-1960), Izumi Suzuki (1949-1986) and Hisashi Nozawa (1960-2004).

Ada daripada mereka ini yang melakukan seppuku dan harakiri, iaitu memotong perut sendiri dengan alat tajam sehingga perut terburai. Seppuku dipercayai telah diamalkan sejak ratusan tahun dulu ketika zaman Samurai.

Jepun antara negara paling tinggi dari segi kadar bunuh diri di dunia, iaitu 18.7 per setiap 100,000 orang. Sebanyak lebih daripada 20,000 orang membunuh diri di Negara Matahari Terbit itu pada tahun 2020, meningkat sebanyak 700 kes berbanding tahun sebelumnya. Kadar bulanan kejadian meragut nyawa sendiri meningkat 16 peratus antara Julai hingga Oktober 2020, sebahagiannya disebabkan pandemik Covid-19.

Bukan hanya kesengsaraan disebabkan kesan ekonomi, pengasingan dan kesunyian, kehilangan pekerjaan dan pengangguran, tetapi kesihatan mental yang semakin teruk dan keganasan rumahtangga antara faktornya sehingga menyebabkan angka melonjak. Artis terkemuka Jepun, Yoko Takeuchi turut membunuh diri pada September 2020.

Memang, tidak disangkal pandemik Covid-19 memberi impak yang mendalam kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia.

Sumber daripada Polis Diraja Malaysia mendapati, terdapat peningkatan dalam kes bunuh diri yang dilaporkan pada tahun 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada tahun 2019. Sehingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri telah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia.

Beberapa hari lalu lelaki berusia 56 tahun ditemui dalam keadaan tergantung di sebuah jejantas di Balakong. Maklumat daripada waris si mati mendapati, dia disyaki dijangkiti Covid-19 dan pernah mengatakan tidak tahan dengan derita sakit yang dialaminya seperti batuk, demam dan sesak nafas.

Sebelum itu, seorang pengusaha restoran di Kemaman ditemui menggantung diri di dalam premis perniagaan miliknya baru-baru ini. Tindakan bunuh diri dipercayai diambil akibat mangsa terlalu tertekan kerana masalah ekonomi.

Seorang lagi lelaki mengambil keputusan nekad dengan terjun dari tingkat 10 pangsapuri di Butterworth selepas mengalami kemurungan ekoran mengalami tekanan perasaan selepas perniagaannya gagal dan mengalami kerugian. Lelaki itu cedera parah dan maut, malah kejadian itu sempat dirakam orang awam sebelum video rakaman berkenaan tular di media sosial.

Awal bulan Jun 2021, seorang polis berpangkat koperal berasal dari Kuching turut ditemui mati kerana menggantung diri di atas pokok di tepi sungai di Johor. Siasatan polis mendapati mangsa dipercayai membunuh diri selepas mengalami kemurungan.
Mangsa juga pernah mendapatkan rawatan psikiatri di hospital berhubung masalah kesihatan yang dialaminya. Ini baru beberapa contoh kejadian yang dilaporkan.

Kemurungan, kesunyian, tekanan disebabkan hilang pekerjaan dan pendapatan, serta kesukaran hidup dialami, antara pencetus tindakan drastik diambil individu berkenaan. Seolah-olah tidak ada jalan keluar dan jalan alternatif lagi bagi mereka.

Seyogia diingatkan, sesetengah individu mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan. Ini terutama ketika mereka dalam keadaan stres yang melampau dan isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai. Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ia boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.

Antara perubahan tingkah laku menurut pakar ialah perubahan tingkah individu sentiasa kelihatan sedih dan murung; hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan; serta kesukaran untuk menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa. Individu berkenaan juga cenderung mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan; bertindak agresif dan kasar kepada diri sendiri dan orang sekeliling; dan menyalah guna alkohol dan dadah.

Mereka juga menyatakan perasaan hilang harapan atau bosan untuk hidup dan kehadirannya membebankan ahli keluarga. Malah, menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan. Mereka kecewa dan putus asa. Mereka mengibarkan bendera putih kerana bagi individu berkenaan, masa depan sudah tidak ada lagi. Hidup bagai tidak lagi bermakna. Maka, jalan terbaik adalah dengan meragut nyawa sendiri.

Sebenarnya, masih ada telinga yang sedia mendengar rintihan, keluh-kesah dan gelora jiwa anda. Luahkanlah kepada rakan, anggota keluarga, ahli psikiatri, pegawai psikologi, kaunselor atau NGO profesional yang sedia membantu.

Ingat, hidup memang penuh cabaran dan pancaroba. Hidup bukan selalunya bagai berjalan di taman bunga. Hidup tidaklahnya indah. Hari tidak semestinya sentiasa bersinar dengan mentari. Pasti akan ada hari yang dilanda badai dan hujan. Akan ada ketikanya kita perlu melalui onak dan duri. Hidup yang tanpa ombak dan taufan adalah umpama pantai tanpa dipukul gelombang.

Harungilah lautan kehidupan dengan semangat seorang pahlawan, dengan tidak mudah kecewa dan menyerah kalah atau putus asa. Memang, seluruh kehidupan ialah perjalanan menuju kematian, tetapi mengambil jalan singkat dengan meragut nyawa sendiri bukan jalan terbaik.

Bagi mereka, orang sekitar bagai tidak mempedulikan mereka. Memang difahami, apabila seseorang gagal mengawal emosi dan tidak lagi dapat berfikir dengan waras, maka, segalanya adalah serba mungkin. Dunia dan kehidupan sudah tidak bermakna lagi kepada mereka. Dunia menjadi serba gelap gelita, dan tiada lagi sinar di hujung terowong. Justeru, bagi mereka ini, lebih baik mati daripada hidup kerana hidup sudah tidak bererti dan tidak bermakna.

Mereka yang berdepan dalam keadaan sedemikian, tidak harus mudah menyerah kalah. Masih ada orang yang menyayangi anda. Harapan masih ada. Dengan memiliki harapan, anda pasti akan menjadi lebih bersemangat dan teruja untuk hidup. Harapan umpama pelampung bagi jiwa dan kehidupan anda. Ia akan memastikan anda tidak tenggelam dalam lautan keputusasaan.

Anda harus mencari dan menyemarakkan harapan pada hari-hari terkelam. Ya, hari dan malam ini mungkin kelihatan suram dan temaram, tetapi jika anda terus bersemangat dan berpegang kepada harapan, percayalah, akan ada sinar harapan pada keesokannya. Benar, anda boleh sahaja kecewa terhadap nasib buruk yang menimpa, tetapi jangan pernah dan mudah kehilangan semangat dan harapan untuk terus berjuang dan bertahan. Bukankah hidup ini satu perjuangan?

Jadi, jangan mudah menyerah kalah, cuba bangkit kalau anda jatuh, kerana sesungguhnya, hidup ialah belajar daripada kesilapan dan bangkit daripada kegagalan dan kejatuhan.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara

Secara Rawak

Artikel Terbaru