Monday, August 2, 2021

7 dalang curi motosikal, pecah rumah tumpas

Mesti baca

KUCHING: Seramai tujuh individu disyaki dalang terhadap kegiatan aktif curi motosikal dan pecah rumah tumpas selepas mereka ditahan di lima lokasi berasingan di sekitar Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata kesemua suspek dicekup hasil operasi Ops Lejang Jack yang telah dilakukan dalam masa enam hari bermula 24 Jun hingga 29 Jun lalu.

Katanya, turut ditahan ketua utama sindiket iaitu seorang lelaki yang mempunyai 22 rekod jenayah lampau dan merupakan individu yang masih berada di bawah pengawasan polis (OPP POCA) dan seorang suspek yang menjadi dalang pembeli kepada motosikal.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 22 hingga 40 tahun dan mempunyai rekod jenayah dadah, jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

“Susulan tangkapan ini polis turut berjaya merampas semula tiga buah motosikal yang tidak sempat dijual kepada pembeli dan pelbagai komponen motosikal,” katanya dalan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching hari ini.

Tambahnya kumpulan ini turut melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Kuching dengan mensasarkan kediaman yang tidak memasang lampu pada waktu malam sekiranya tiada hasil motosikal curi.

Dedahnya, sindiket terbabit telah bergerak secara aktif pada penghujung tahun lepas dengan mensasarkan motosikal jenis Kriss Modenas dan juga Honda.

“Modus operandi sindiket adalah mencari motosikal yang tidak berkunci dan menggunakan Allen Key atau skru diriver untuk menghidupkan motosikal tersebut.

“Motosikal itu akan dikumpulkan di belakang sebuah pusat mencuci kereta di jalan Sekama sebelum dijual atau dileraikan,” ulasnya.

Jelas beliau, dengan tertumpasnya geng Jack polis berjaya menyelesaikan 23 kes curi motosikal dan satu kejadian pecah rumah dan curi yang membawa kerugian harta benda berjumlsh sekitar RM108,000.

Susulan itu tegasnya kesemua suspek kini ditahan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun sama.

Tambahnya tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 juga akan dijalankan serentak di dalam siasatan ini untuk kesemua suspek.

Secara Rawak

Artikel Terbaru