Friday, July 30, 2021

RM150 bilion pakej PEMULIH, bantuan BPR dibayar mulai hari ini

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

Tan Sri Muhyiddin Yasin semasa mengumumkan pakej PEMULIH itu berkata, selaras dengan komitmen kerajaan untuk meneruskan agenda prihatin rakyat sehingga hujung tahun ini, kerajaan akan menyalurkan Bantuan Tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion.

Bantuan Tunai langsung itu, katanya, merangkumi pemberian bayaran tambahan bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sehingga RM500 pada Julai dan bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai hari ini.

Beliau berkata, manakala BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 akan dibayar pada September nanti dengan nilai keseluruhan BPR sehingga hujung tahun adalah RM4.9 bilion.

Perdana Menteri menegaskan, bagi memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun 2021, kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas Covid-19 atau BKC mengikut kadar dan kategorinya.

Kategori isu rumah miskin tegar bakal menerima bantuan RM500 pada Ogos, RM500 pada November dan RM300 pada Disember, tegas beliau dan menambah, individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan RM200 pada Ogos dan RM300 pada November.

Menurut Perdana Menteri lagi, kategori isu rumah B40 akan menerima bantuan RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan RM200 pada Ogos.

Kategori isu rumah M40 turut menikmati bantuan RM250 manakala bujang kategori itu akan menerima RM100 pada Ogos.

Secara keseluruhan, pemberian khas BKC itu dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu bujang warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.

Bantuan seterusnya ialah Bantuan Kehilangan Pendapatan dan Oktober nanti, sebanyak RM500 akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data KWSP atau PERKESO dalam tahun 2021, katanya.

Bantuan itu, tambahnya, dijangka memanfaatkan sehingga satu juta ahli yang melibatkan implikasi kewangan RM500 juta.

Seterusnya, kata Perdana Menteri, kerajaan juga akan memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum PERKESO terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal.

“Mereka boleh mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun sekurang-kurangnya RM300,” katanya.

Fokus kedua dalam pakej PEMULIH ini ialah Menyokong Perniagaan dan kerajaan akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan demi menjamin kelangsungan perniagaan dalam kedua-dua fasa PPN, katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru