Wednesday, September 22, 2021

Bank bergerak: Inisiatif penting jaga kebajikan rakyat luar bandar

Mesti baca

SARIKEI: Inisiatif kerajaan memperkenalkan bank bergerak amat sesuai dengan keadaan Sarawak yang mempunyai banyak daerah kecil dan sebahagiannya belum ada perkhidmatan bank komersial.

ADUN Daro, Safiee Ahmad berkata, usaha itu sangat membantu rakyat Sarawak khususnya penduduk luar bandar dari segi penjimatan masa dan kos.

Ini kerana katanya, penduduk yang tidak mempunyai akses itu perlu ke bandar berhampiran untuk berurusan dengan bank sekali gus memerlukan mereka untuk membayar kos pengangkutan.

“Secara tidak langsung ini sudah pasti memudahkan urusan penduduk luar bandar. Lebih-lebih lagi pada masa sekarang, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan mengakibatkan pergerakan rentas daerah amat sukar.

“Dari segi keselamatan dan kesihatan pula perkhidmatan bank bergerak ini juga wajar dilaksanakan. Hal ini kerana untuk mengekalkan kawasan – kawasan luar bandar sebagai zon hijau, langkah itu boleh membendung penularan wabak dengan mengurangkan pergerakan penduduk luar bandar ke bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam

perutusan khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), semalam.

Safiee menjelaskan, secara am, inisiatif yang diperkenalkan kerajaan itu bersifat mesra rakyat dan berpaksikan kebajikan rakyat khususnya di kawasan luar bandar di Sarawak.

Secara Rawak

Artikel Terbaru