Monday, August 2, 2021

Rokok, minuman keras: Warga asing dicekup

Mesti baca

KUCHING: Seorang lelaki warga asing ditahan di sebuah premis disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok dan minuman keras tanpa cukai kastam, sekitar jam 12.30 tengah hari pada Sabtu.

Suspek berusia 26 tahun itu dicekup ketika serbuan dijalankan oleh sepasukan Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am Kuching bersama pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak di dalam premis terbabit yang terletak di sekitar bandaraya Kuching.

Komander Briged Sarawak PGA Kuching Senior Asisten Komisioner Saini Bongkek berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui sejumlah 3,950 karton rokok putih, 610 karton rokok kretek dan 118 liter minuman keras pelbagai jenama disimpan di dalam premia berkenaan.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai adalah berjumlah RM676,650, di mana rampasan rokok berjumlah RM674, 172 manakala minuman keras bernilai RM2,478,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan untuk tindakan siasatan lanjut.

Ujarnya kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu tambahnya hasil pengoperasian Ops Kontraban bermula 1 Januari hingga 27 Jun tahun ini, Briged Sarawak PGA berjaya mencatatkan kejayaan bernilai RM23,368,007.009 dengan 51 kes yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 72 orang, iaitu 43 lelaki dan 16 wanita warga tempatan dan 11 lelaki dan dua wanita warga Indonesia.

Secara Rawak

Artikel Terbaru