Monday, August 2, 2021

Ambil calon guru berkualiti isi kekosongan

Mesti baca

PADA dekad 1980-an dahulu, apatah lagi 1970-an guru bukan jadi pilihan utama siswazah universiti. Menjadi guru dianggap tidak glamor. Jadi, tidak hairanlah bidang pendidikan atau menjadi guru menjadi pilihan terakhir berbanding bidang-bidang lain oleh siswazah ketika itu.

Ini berlainan daripada keadaan sekarang dengan ibu bapa malah calon mahsiswa memilih bidang perguruan atau pendidikan sebagai pilihan utama. Mungkin kerana dianggap lebih menjamin kerjaya dan masa depan berbanding dengan kursus-kursus lain.

Ketika saya memohon untuk mengikuti kursus Kemanusiaan dengan Pendidikan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada akhir 70-an dahulu, ia boleh saya sifatkan sebagai kebetulan. Ketika mengisi borang untuk memasuki pusat pengajian tinggi dengan hanya lima buah universiti ketika itu, saya hanya mengagak-agak sahaja ketika memilih kursus Kemanusiaan dengan Pendidikan.

Maklumlah di kampung ketika itu, tidak ada tempat untuk saya bertanya atau merujuk. Ketika mengisi borang berkenaan saya tidak tahu dan faham akan maksud kemanusiaan.
Saya hanya mengagak-agak bahawa kursus itu ada kaitan dengan manusia dan pendidikan. Hanya kemudian baru saya tahu bahawa, ia merupakan persediaan untuk menjadi guru dan kiemanusiaan itu sebenarnya berkaitan bidang sastera.

Kursus empat tahun itu menggabungkan dua bidang utama, iaitu kemanusiaan dan pendidikan. Pusat pengajian atau fakulti utama saya ialah kemanusiaan manakala pendidikan itu semacam pelengkap.

Dekan saya ketika itu ialah sasterawan tersohor Datuk Shahnon Ahmad yang terkenal dengan novel Ranjau Sepanjang Jalan, manakala antara pensyarah bidang pendidikan ialah Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang kemudiannya menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dan menteri persekutuan.

Di bawah kemanusiaan, antara bidang yang ditawarkan ialah komunikasi, sejarah, geografi, sastera dan seni halus. Manakala di bawah bidang pendidikan, kami antara lain, mengambil kursus asas seperti sejarah pendidikan di Malaysia, falsafah pendidikan, psikologi, sosiologi pendidikan, pengurusan sekolah dan bilik darjah, selain kaedah pengajaran.

Satu daripada sebab saya mengambil kursus Kemanusiaan dengan Pendidikan adalah kerana biasiswa persekutuan yang ditawarkan kepada mahasiswa yang mengikutinya. Kalau tidak kerana biasiswa itu, tentu sukar sekali untuk melanjutkan pelajaran di universiti, apatah lagi USM terletak di Pulau Pinang.

Bagi anak kampung yang miskin dan berada di tangga paling bawah B40, kalau mengikut ukuran ketika ini, tanpa bantuan biasiswa itu, saya pasti tidak mungkin untuk mengikuti kursus di universiti. Ibu dan ayah tiri saya terpaksa meminjam wang daripada seorang saudara yang bekerja di Shell, Miri sebanyak RM700 untuk membolehkan saya belajar di Pulau Pinang. Hutang itu telah dibayar beberapa bulan kemudian.

Malah, mengimbas kembali, ketika menduduki peperiksaan Senior Cambridge pada 1975 di SMK Three Rivers, Mukah saya terpaksa mengambil hanya enam pelajaran kerana ayah saya tidak mampu hendak membayar RM15 untuk satu subjek.

Dengan enam subjek yang perlu saya duduki itu, bermaksud, ayah saya yang bekerja rumbia perlu menyediakan RM90, satu jumlah yang amat besar ketika sekerat rumbia hanya berharga 70 sen dan upah untuk menggoleng sekerat rumbia ke sungai, kadang-kadang sejauh satu atau dua kilometer dari kebun, hanya sepuluh sen. Saya hanya dapat upah sekitar RM2.00 sehari dengan menggoleng 20 kerat rumbia!

Saya masih ingat, untuk membayar wang peperiksaan itu, saya telah diminta oleh ayah saya unntuk meminjam wang daripada seorang tauke yang membeli rumbia di kampung. Nasib menyebelahi saya apabila saya lulus dengan ‘Credit’ semua subjek berkenaan yang memungkinkan saya dipilih melanjutkan pelajaran ke Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang, Miri yang dianggap sebagai sekolah tersohor ketika itu.

Sebaik sahaja menamatkan pengajian di USM, saya terus ditawarkan menjadi guru di SMK Tun Openg, Kuching pada 1982, yang bangunannya sudah pun dirobohkan. Saya diminta mengajar mata pelajaran sejarah, Bahasa Malaysia dan Sastera untuk tingkatan lima dan tingkatan enam. Sekolah berkenaan menawarkan tingkatan enam untuk pertama kali pada 1982.

Sebahagian besar pelajar terbabit, berjaya dalam kerjaya dan kehidupan masing-masing, dan sebagai bekas guru saya turut berasa bangga. Kemudian saya menjadi nazir sekolah, sebelum dinaikkan pangkat menjadi pengetua dan timbalan ketua penolong pengarah pendidikan Sarawak.

Hakikatnya, waktu itu, naik pangkat bermaksud dihantar ke ibu pejabat atau mana-mana bahagian di ibu pejabat sama ada di pejabat bahagian atau di Kuching. Terus terang, saya sama sekali tidak berminat bertugas di ibu pejabat.

Minat saya sebenarnya mengajar atau berada di dalam bilik darjah, dan bukan sebagai pengurus atau pentadbir di ibu pejabat.

Ketika mengajar, segala ilmu yang diperoleh cuba disampaikan sejelas-jelasnya kepada pelajar. Saya dapat berinteraksi dengan pelajar, selain menerapkan dan bereksperimen dengan kaedah dan teknik mengajar. Yang saya sedari ketika itu, hendak menjadi guru bukan mudah. Sebagai guru baharu, saya terpaksa membuat persiapan rapi dari segi bahan yang hendak disampaikan dan teknik penyampaian.

Maksudnya, kursus yang dipelajari di universiti, baik dari segi kandungan mahupun teknik pengajaran tidak memadai. Saya masih ingat saya terpaksa bergelut setiap kali selepas balik dari sekolah sehingga larut malam, untuk memastikan saya dapat menguasai dan memahami isi kandungan mata pelajaran yang hendak disampaikan keesokan harinya.

Guru diwajibkan mengisi buku perancangan mengajar secara terperinci aktiviti di dalam kelas, termasuk teknik mengajar, kerana buku berkenaan perlu diserahkan kepada pengetua setiap minggu untuk disemak. Rasa hormat dan takut kepada pengetua menyebabkan guru wajib menyiapkan rancangan pengajarannya.

Saya hanya dapat menguasai isi kandungan yang hendak disampaikan selepas tiga tahun mengajar mata pelajaran terbabit. Untuk itu, saya perlu banyak membaca buku berkaitan, terutama teks utama subjek berkenaan. Sebagai guru, tentu tidak profesional kalau kita membaca daripada buku teks atau asyik merujuk nota.

Guru yang baik perlu berupaya menjelaskan isi kandungan pelajaran dengan sejelas dan seberkesan mungkin kepada pelajar. Kepuasan tertinggi bagi guru adalah apabila pelajar dapat memahami apa-apa yang disampaikan, seronok belajar, dan dapat menjawab dengan baik tugasan dan soalan yang diberi, selain lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan.

Dari segi teknik dan kaedah pengajaran-pembelajaran, apa-apa yang dipelajari di universiti kebanyakannya hanyalah teori. Penerapan dan kesesuaiannya diuji di dalam kelas. Yang penting berdasarkan pengalaman mengajar di sekolah selama empat tahun, dan kemudiannya menjadi nazir dan pensyarah universiti, seseorang itu perlu sentiasa menerokai segala kemungkinan dari segi kaedah dan teknik.

Teknik pengajaran yang membabitkan pelbagai aktiviti di dalam bilik darjah akan menentukan keberkesanan proses pengajaran-pembelajaran. Tidak hairanlah, Gail Golwin menegaskan, pengajaran yang baik ialah satu per empat persediaan, dan tiga per empat teater. Ya, mengajar ialah adunan sains dan seni. Guru ialah roh sistem pendidikan dan bilik darjah. Bagi saya, aset paling penting sekolah ialah perwatakan dan personaliti guru.

Guru perlu sentiasa bereksperimen dan memikirkan kaedah terbaharu. Apakah cara terbaik dan paling berkesan untuk menyampaikan sesuatu bahan pengajaran? Guru tidak dapat bersikap jumud atau puas hati dengan pencapaiannya, sebaliknya perlu terus menerokai, mencuba, dan memperbaiki diri.

Bagaimanakah supaya pelajar berminat dan bermotivasi untuk mengikuti pelajaran yang disampaikan, dan mereka tidak bosan? Sepanjang menjadi guru dan pensyarah saya banyak bereksperimen dan melakukan inovasi dan kreativiti dari segi teknik penyampaian atau kaedah pengajaran.

Jadi, sebagai guru, kita perlu selalu mencuba, menerokai, dan memikirkan kaedah baharu dan berkesan. Teknik dan kaedah berkenaan kadang-kadang tidak terdapat dalam buku teks. Tetapi disebabkan percubaan demi percubaan yang kita lakukan, akhirnya didapati bahawa pelbagai teknik dan kaedah berjaya dilahirkan.

Hal ini tentu menguntungkan pelajar kerana mereka bukan sahaja seronok mengikuti pelajaran, tetapi yang penting, pengajaran yang disampaikan lebih berkesan dan menyeronokkan. Dalam hal ini, kemahiran menyuntik jenaka atau kecindan dan anekdot atau kisah dan pengalaman relevan di tempat tertentu, pasti disenangi pelajar. Biarlah pelajar belajar dalam suasana ‘fun’ dan dan menyeronokkan kerana kelas menjadi hidup dan ceria.

Saya menyedari sebagai guru, penguasaan bahasa, isi kandungan subjek dan teknik mengajar amat penting. Selain itu, guru perlu memahami psikologi dan aspek sosiologi pelajar, serta pandai mengambil hati pelajar. Guru perlu bijak mengurus bilik darjah dan pelajar. Implikasinya, sebagai guru, seseorang itu perlu sentiasa menambah ilmu dalam pelbagai bidang.

Paling penting, guru perlu minat terhadap mata pelajaran yang diajar dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri, pelajar dan sekolah tempatnya belajar. Dalam konteks hari ini, guru perlu menguasai pelbagai peralatan dan teknologi bagi membantu pengajaran, bukan menggantikannya di dalam bilik darjah.

Singkatnya, dia perlu minat sebagai pendidik untuk mendidik anak bangsa. Tugas dan tanggungjawab guru ialah untuk mendidik, memberi motivasi dan memastikan anak didiknya akhirnya dapat dibentuk menjadi insan yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Seyogia diingat, pendidikan ialah pasport untuk masa depan, dan guru merupakan individu penting yang membantu menyediakan pasport itu untuk anak didiknya. Ingat, mengajar ialah profesion yang mencipta dan menghasilkan profesion lain.

Maka, dalam konteks inilah, kita berharap 18,700 calon guru, terutama siswazah pendidikan untuk mengisi kekosongan jawatan Pegawai Pendidikan Gred DG41 diambil daripada mereka yang berkelayakan, terlatih, berminat menjadi pendidik, serta mempunyai personaliti dan perwatakan yang unggul. Kita perlu memilih yang terbaik untuk mendidik anak bangsa.

Ibu bapa, masyarakat dan negara mendambakan guru dan pendidik yang berkualiti dan memiliki sifat-sifat berkelas dunia bagi memacu negara ke hadapan agar Malaysia dapat muncul setanding Amerika Syarikat, Sweden, Finland, Kanada, Jerman, United Kingdom, Perancis, Belanda, Switzerland atau Australia dari segi pendidikan.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara

Secara Rawak

Artikel Terbaru