Monday, August 2, 2021

Polis serbu pusat judi di kediaman mewah

Mesti baca

KUCHING: Aktiviti empat individu menjadikan sebuah kediaman mewah di Jalan Lapangan Terbang 5 sebagai pusat pengoperasian judi dalam talian terbongkar selepas kediaman terbabit diserbu polis semalam.

Serbuan sekitar jam 10.45 pagi oleh sepasukan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching berjaya menahan keempat-empat suspek warga tempatan yang mengaku sebagai operator kegiatan di dalam rumah yang disewa RM2,000 sebulan.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kesemua suspek berumur lingkungan 20 hingga 35 tahun itu mengaku bahawa premis kediaman tersebut turut dijadikan sebagai tempat tinggal kepada semua pekerja.

“Polis merampas tujuh unit monitor komputer, tujuh unit unit pemprosesan komputer (CPU), 22 buah telefon bimbit, router dan peralatan lain untuk menjalankan kegiatan judi dalam talian.

“Modus operandi sindiket adalah dengam mempromosikan judi dalam talian dengan menyasarkan golongan warga tempatan melalui aplikasi Whatsapp, Telegram, Wechat dan juga Facebook.

“Premis ini turut didapati beroperasi 24 jam sehari dengan setiap jadual kerja dibahagikan kepada 12 jam,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati sindiket tersebut telah beroperasi selama lebih kurang enam bulan bermula awal tahun ini dengan keuntungan sehari mencecah lebih kurang RM20,000.

Secara Rawak

Artikel Terbaru