Friday, July 30, 2021

Peguam Negara: Kedudukan Agong tak berubah walau selepas Proklamasi Darurat

Mesti baca

Kebelakangan ini terdapat pelbagai pihak telah memberikan pandangan mengenai kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (“Yang di-Pertuan Agong”) untuk memanggil Parlimen bersidang dan kewajipan Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Jemaah Menteri seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kenyataan ini bertujuan memperjelaskan kedudukan perkara ini dari segi undang-undang.

Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antara lain, pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima serta bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan yang perlu bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri adalah berasaskan kepada Perkara 39 dan 40 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kuasa eksekutif Persekutuan adalah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan bolehlah dijalankan oleh Baginda atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri.

Peruntukan tersebut juga hendaklah dibaca bersama dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menghendaki Baginda untuk melantik Jemaah Menteri bagi menasihati Baginda dalam penjalanan fungsinya. Perkara ini dijelaskan dalam Laporan Suruhanjaya bagi Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 (the Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission 1957) (“Suruhanjaya Reid”) di perenggan 58 seperti yang berikut:

“58. The Yang di-Pertuan Besar will be the Head of the State (Art. 27), but he must be a constitutional Ruler. He must therefore act on the advice of his Ministers with regard to all executive action…”.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Raja Berperlembagaan seperti yang dihasratkan oleh penggubal Perlembagaan negara ini telah diiktiraf secara konsisten dalam penghakiman mahkamah seperti penghakiman Privy Council dalam kes-kes Teh Cheng Poh v. PP [1979] 1 MLJ 50 dan kes Stephen Kalong Ningkan v. Government of Malaysia [1968] 2 MLJ 238; Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes Abdul Ghani bin Ali @Ahmad & Ors v. PP [2001] 3 MLJ 561; Merdeka University Berhad v. Government of Malaysia [1982] 2 MLJ 243; Balakrishnan v. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia dan Kerajaan Malaysia [1981] 2 MLJ 259 dan Karam Singh v. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Malaysia [1969] 2 MLJ 129 dan Mahkamah Tinggi dalam kes N Madhavan Nair v. Government Of Malaysia [1975] 2 MLJ 286.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana tersebut di atas juga tidak berubah walaupun Proklamasi Darurat telah diisytiharkan. Petikan penghakiman YA Hakim Chang Min Tat dalam kes N Madhavan Nair v. Government Of Malaysia [1975] 2 MLJ 286 di muka surat 289 adalah jelas –

“But while the legislative power has shifted from Parliament to the Yang Dipertuan Agung, the executive power of the Federation remains where it has always lain. By Article 39, the executive power of the Federation is vested in the Yang Dipertuan Agung and exercisable, subject to the provisions of any federal law and of the Second Schedule, by him or by the Cabinet. However Article 40 limits the executive authority of the Yang Dipertuan Agung to acting on the advice of the Cabinet or of a minister acting under the general authority of the Cabinet. It is only in certain matters, spelt out to be the appointment of a Prime Minister, the dissolution of Parliament and the requisition of a meeting of the Council of Rulers that he has a discretion.

Emergency rule which passes the legislative power from Parliament to the Yang Dipertuan Agung has not displaced his position as the Constitutional Monarch, bound by the Constitution to act at all times on the advice of the Cabinet.”.

Dalam kes Teh Cheng Poh v. PP [1979] 1 MLJ 50 semasa menimbangkan Perkara 150(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang Di-Pertuan Agong mempunyai kuasa perundangan untuk memasyhurkan ordinan sekiranya Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa adanya hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, Privy Council telah menyatakan bahawa kuasa ini, seperti juga lain-lain kuasa di bawah Perlembagaan, is conferred nominally upon the Yang di-Pertuan Agong by virtue of his office as the Supreme Head of the Federation….his functions are those of a constitutional monarch… he does not exercise his functions under the Constitution on his own initiatives but is required by Article 40(1) to act in accordance with the advice of the Cabinet”. Oleh itu sekiranya Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang Persekutuan memperuntukkan sesuatu keadaan bahawa apabila difikirkan perlu oleh Yang di-Pertuan Agong atau apabila Yang di-Pertuan Agong perlu berpuas hati, “the reference to his opinion or satisfaction is in reality a reference to the collective opinion or satisfaction of the members of the Cabinet…… to give advice upon the matter in question”.

Malahan, semasa pembentangan untuk meminda Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan di Parlimen bagi memasukkan Fasal (1A) pada tahun 1994, tujuan peruntukan tersebut dimasukkan telah diperjelaskan sebagai memperkukuhkan dan memperjelaskan prinsip-prinsip Raja Berperlembagaan, mengukuhkan prinsip demokrasi berparlimen dan kedaulatan undang-undang.

Dalam kes Abdul Ghani Ali v Pendakwa Raya [2001] 3 MLJ 561, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa “…It is my considered view, based on the constitutional provisions and the authorities cited, that the Yang di-Pertuan Agong, in acting under cl (1) of art 150 of the Constitution in the position of a constitutional monarch, must act on the advice of the Cabinet as provided in art 40 of the Constitution…”. dan “…there can be no doubt that the Privy Council’s ‘opinion’ in the case of Teh Cheng Poh v PP ‘settles the point firmly that the Yang di-Pertuan Agong does not have a personal discretion under art 150(1) of the Constitution but has at all times to act on Cabinet advice.”.

Berdasarkan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memanggil Parlimen bersidang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Walau bagaimanapun peruntukan untuk memanggil Parlimen bersidang tidak mempunyai kesan di bawah perenggan 14(1)(a) Ordinan Darurat selama tempoh darurat berkuat kuasa. Perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat pula memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen pada tarikh “sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Sehubungan dengan itu, selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan, penjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, dan Baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Subseksyen 14(1) Ordinan Darurat tersebut perlu dibaca bersama-sama dengan peruntukan-peruntukan lain dalam Ordinan Darurat tersebut seperti seksyen 17 dan 18. Seksyen 17 memperuntukkan bahawa bagi tempoh darurat berkuat kuasa, kuasa yang diberikan di bawah Ordinan Darurat tersebut adalah tambahan kepada, dan bukanlah sebagai menggantikan, kuasa yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa. Seksyen 18 pula memperuntukkan sekiranya terdapat apa-apa percanggahan atau ketidakselarasan antara peruntukan Ordinan Darurat tersebut dengan mana-mana undang-undang bertulis yang lain, peruntukan Ordinan Darurat tersebut hendaklah mengatasi dan peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak selaras itu hendaklah disifatkan digantikan setakat percanggahan atau ketidakselarasan itu.

Berdasarkan seksyen 17 dan 18 tersebut, perenggan 14(1)(b) ataupun mana-mana peruntukan dalam Ordinan Darurat tersebut tidak mengecualikan peruntukan prinsip Raja Berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Berkait dengan kuasa Jemaah Menteri dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang, Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara memperuntukkan bahawa Ketua atau Timbalan Ketua Majlis iaitu (Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri) hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam sesuatu Penggal dan Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh yang ditetapkan.

Oleh itu, selaras dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang yang dijalankan mengikut nasihat Jemaah Menteri, tarikh-tarikh mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga ditentukan oleh Jemaah Menteri.

Peguam Negara Malaysia

Secara Rawak

Artikel Terbaru