Friday, July 30, 2021

Nasib PN seterusnya dalam percaturan Umno

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Untuk mewujudkan Kerajaan yang stabil di Malaysia, UMNO mesti jadi sebahagian daripada angkubahnya.

Menurut Naib Presiden Umno, Pakatan Harapan tumbang kerana peranan UMNO menjadi pendesak dan pengatur cara, dan Perikatan Nasional tertubuh kerana UMNO memberikan talian hayatnya.

“Maka nasib Perikatan Nasional seterusnya adalah dalam percaturan UMNO. Pada UMNO-lah kunci sebuah pemerintahan yang berfungsi boleh dijelmakan.

Tetapi UMNO juga berhadapan dengan masalahnya tersendiri. Pelbagai kabilah dalam UMNO dengan cita-cita masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, cita-cita untuk diri sendiri dan bukan untuk negara, parti, orang Melayu dan Islam. 

“Masalah inilah yang akan menewaskan UMNO jika tidak diatasi,” tegasnya.

“Para pemimpin dalam UMNO mesti mengendurkan aspirasi peribadi dan mengutamakan hanya aspirasi parti dan negara.

“Kekadang terlalu banyak pertindihan pendirian sehingga ahli dan rakyat jadi bingung pendirian mana yang UMNO ini sebenarnya perjuangkan,” ujarnya.

Katanya, jika UMNO ingin berkelangsungan, maka UMNO harus teguh dengan keputusan parti dan hanya keputusan parti.

“Ini maksudnya hanya institusi Presiden dan Majlis Tertinggi sebagai pengemudi perjalanan UMNO.

Segala yang diluar institusi ini bukan mewakili kepentingan parti malah adalah elemen canggahan kepada parti” tambah mantan Menteri Besar Johor itu.

“Sama ada kita bersetuju dengan individu atau tokoh tertentu dalam kepimpinan parti, itu biarlah kita simpan dalam nurani kita. Namun disiplin parti mesti kita kekalkan.

Mereka yang terpilih dek keputusan perwakilan adalah wakil sebenar parti dan kepada merekalah kita sandarkan keyakinan,” katanya.

“Tanpa disiplin, parti akan jadi persendaan ahli dan rakyat. Tanpa kesatuan, UMNO akan meleset dalam seteruk-teruk kemelesetan.

Kepada semua kabilah dalam parti, kendurkanlah cita-cita kalian demi menyelamatkan UMNO. Kembalilah semua sebagai hanya satu pasukan demi tanah air,”   katanya.

“Namun ini tidaklah bermakna kalian harus memadam cita-cita untuk memimpin bangsa suatu hari nanti. UMNO senantiasa bersedia menonjolkan hanya yang terbaik jika saat dan ketikanya sampai tetapi mesti dengan mengikut resmi dan tradisi UMNO,’ katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru