Friday, July 30, 2021

Isi 18,702 jawatan guru: Bantu kurangkan pengangguran dalam kalangan siswazah

Mesti baca

KUCHING: Pengumuman  Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan  mengadakan pengambilan guru secara besar-besaran amatlah melegakan.

Menurut Ketua Dewan Pemuda pas, Khairil Nizam Khirudin, secara tidak langsung, inisiatif ini akan membantu  usaha kerajaan mengurangkan kadar pengangguran dalam negara khususnya buat anak-anak muda siswazah aliran pendidikan.

Sebelum ini KPM mengumumkan bahawa sebanyak 18,702 kekosongan Pegawai Perkhidmatan Gred DG41 akan diiklankan pada 7 Julai ini dan penempatan akan dilakukan secara berperingkat bermula seawal Oktober 2021.

KPM juga memaklumkan  bahawa negeri-negeri yang mempunyai jumlah kekosongan guru tertinggi ialah Negeri Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

“Saya harap lebih ramai anak Sabah dan Sarawak dapat mengisi kekosongan di negeri mereka agar guru-guru daripada Semenanjung yang masih bertugas di sana dapat dipercepatkan proses mereka untuk berpindah melalui sistem e-GTukar,’”kata Khairil.

“Alhamdulillah, masalah kekurangan guru selama ini akhirnya mempunyai penyelesaian. Masalah kekurangan guru adalah isu yang telah berpanjangan dan sering kali dibangkitkan oleh rakyat khususnya warga pendidik sebelum ini,” ujarnya.

“Kita sering mendapat aduan daripada guru yang terpaksa membuat kerja lebih masa dan di luar skop tugasan mereka sehinggakan ada yang tertekan dengan lambakan tugas, berhadapan dengan masalah psikologi yang berpanjangan dan juga menimbulkan masalah kepada keluarga mereka di rumah,” tambahnya.

“Apabila para guru tidak mampu memberikan fokus dan berhadapan tekanan, ini akan memberikan kesan kepada kualiti proses pengajaran anak-anak kita semua di sekolah,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru