Friday, August 12, 2022

Bas terbakar di tengah jalan, tak sampai ke Kuching

Secara Rawak

SARATOK: Tidak sempat dibaiki sudah hangus di tengah jalan.

Itu senario yang dialami pemandu sebuah bas tanpa penumpang, Hamjah Suhaili, 59, apabila bas yang sepatutnya dihantar ke Kuching hari ini terbakar berhampiran SK Mendas dekat sini, kira-kira 9:34 pagi.

Hamjah seperti dipetik bomba dalam kenyataan memaklumkan, bas yang dipandunya ketika kejadian bergerak dari Sibu.

“Saya diarah ke Kuching untuk membawa bas tersebut bagi kerja-kerja pembaikan,” katanya.

Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan Mendas jelasnya, tercium bau asap lalu memberhentikan bas di bahu jalan dan mendapati berlaku kebakaran di bahagian belakang berhampiran tayar sebelah kanan.

Beliau kemudian berusaha memadam api menggunakan alat pemadam api, namun tidak berhasil.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Saratok Nazry Mohamat yang bergegas ke lokasi bersama-sama sembilan anggota mengakui api sedang marak ketika mereka sampai.

“Kami difahamkan pemandu cuba memadam, namun gagal. Ini kerana api menyala kembali ekoran haba panas yang terlalu kuat.

“Pihak kami terus melakukan operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos dengan sumber air dari tangki jentera,” ujarnya.

Api berjaya dikawal 10 minit kemudian. Punca sebenar dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Operasi tamat kira-kira 10:32 pagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru