Friday, July 30, 2021

Awas, tiga lagi kluster baharu muncul di Sarawak

Mesti baca

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan tiga kluster baharu, semalam iaitu Kluster Quadruplex Lapan Enam, Miri, Kluster Kevok, Telang Usan dan Kluster Jalan Baru Tatau- Bintulu, Tatau.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, Kluster Quadruplex Lapan Enam merupakan satu kluster komuniti yang dikesan di beberapa unit rumah flat yang terletak di kawasan perumahan Permyjaya, Miri.

“Kluster ini melibatkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk melalui pergerakan sosial dan kontak rapat.

“Sejumlah 61 individu telah disaring iaitu 20 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 34 kes didapati negatif dan tujuh kes masih menunggu keputusan makmal,” katanya dalam satu kenyataan media.

JPBN menambah, Kluster Kevok merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah penempatan yang telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Long Kevok, Telang Usan.

“Sejumlah 280 individu telah disaring iaitu 58 kes telah dikesan positif termasuk kes indeks, 14 kes didapati negatif dan 208 kes masih menunggu keputusan makmal,” jelasnya.

Bagi Kluster Jalan Baru Tatau-Bintulu pula, JPBN mendedahkan, ia merupakan satu kluster di tempat kerja dan melibatkan kuarters pekerja sebuah syarikat yang telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jalan Baru Tatau-Bintulu, Tatau.

“Sejumlah 66 individu telah disaring iaitu 22 kes telah dikesan positif termasuk kes indeks dan 44 kes masih menunggu keputusan makmal,” ujarnya.

JPBN turut memaklumkan sebanyak 98 kluster masih aktif iaitu sebanyak 14 kluster aktif yang telah merekodkan 193 penambahan kes baharu, manakala 84 kluster tidak merekodkan penambahan kes.

Secara Rawak

Artikel Terbaru