Monday, August 2, 2021

Tolong buka Parlimen untuk YB bahas nasib rakyat, negara

Mesti baca

APAKAH yang paling penting bagi rakyat sekarang? Ini soalan penting, membabitkan hidup atau mati.

Kalau dibuat tinjauan, pasti mereka mahu melihat jumlah kes Covid-19 menurun dan kadar jangkitan dapat segera dilandaikan. Mereka tentu juga mahu menyaksikan kita dapat segera keluar daripada ancaman pandemik yang membelenggu negara selama 16 bulan agar kita semua dapat kembali hidup normal seperti sebelum Mac 2020.

Berlaku anjakan paradigma besar dari semua segi kehidupan apabila virus maut itu menggila dan memperlihatkan tidak akan reda. Malah, di negara ini, angkanya melonjak dan berada pada paras tinggi dengan Malaysia kini berada di tangga ke-38 dunia apabila merekodkan sekitar 700,000 kes jangkitan dan lebih 4,000 kes kematian.

Rakyat juga mahu krisis ekonomi yang melanda negara yang menyebabkan semua orang terpukul, dengan ada yang hilang pekerjaan dan terhakis pendapatan. Dilaporkan, lebih 600,000 isu rumah golongan M40 jatuh ke B40. Pasti banyak juga mereka dalam T20, jatuh ke M40, malah mungkin B40.

Rakyat juga tentunya mahu dtingkatkan kadar vaksinasi di bawah Program Imuninasi Covid-19 Kebangsaan. Malaysia dengan sekitar 32 juta penduduk kini berada di tangga keempat di Asia Tenggara dari segi suntikan vaksin Covid-19 apabila lebih lima juta dos telah diberi kepada penduduk di negara ini setakat Khamis.

Bagi Sarawak, kita perlu mencapai kadar 80 peratus daripada 2.8 juta penduduk di negeri ini divaksin. Setakat beberapa hari lalu, jumlah yang sudah menerima vaksin ialah 438,621 iaitu 21.47 peratus. Bermakna 59 peratus lagi belum lagi menerima vaksin.

Kita perlu segera memberi vaksin kepada sebanyak mungkin rakyat dengan Kerajaan Sarawak terus menambah jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV), dan membenarkan amalan suntik dahulu, daftar kemudian dalam kalangan penduduk di luar bandar.

Maka, dalam konteks inilah gesaan Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen perlu bersidang secepat mungkin relevan dan titah baginda perlu dipatuhi.

Apakah yang dimaksudkan dengan secepat mungkin? Inilah yang menjadi pertikaian pelbagai pihak, termasuk ahli politik. Seyogia diingatkan, hari ini ialah hari ke-185 atau enam bulan tiga hari sejak sidang parlimen terakhir pada 17 Disember 2020.

Bagi mengelak krisis Perlembagaan, Parlimen mesti bersidang tidak lewat daripada 2 Ogos.
Bagi yang mahu melihat persidangan segera berlangsung, mereka mahu ia berlangsung dalam waktu terdekat, secepat bulan Julai atau Ogos. Namun, bagi yang mengelak, mereka berkata boleh jadi September atau Oktober.

Ingat, Muhyiddin pada 15 Jun lalu berkata parlimen boleh dibuka semula apabila Malaysia memasuki fasa ketiga pelan pemulihan Covid-19. Dalam pengumuman siaran langsung Pelan Pemulihan Negara yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen itu, Muhyiddin berkata Malaysia dijangka memasuki fasa ketiga pemulihan pada September atau Oktober.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika mengulas kenyataan istana, berkata meskipun Agong menyebut parlimen perlu bersidang secepat mungkin, namun baginda tidak menitahkan bila tarikh tepat persidangan diadakan.

Kini, pemimpin Pas itu disiasat polis susulan kenyataannya didakwa derhaka terhadap titah raja.

Ini susulan tindakan Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin membuat laporan polis bagi menggesa polis menyiasat kenyataan Takiyuddin yang didakwa memperlekeh pandangan Agong untuk menyegerakan sidang Parlimen.
Sementara ada pihak yang kelihatan berdolak-dalih, seyogia diingat banyak juga pihak, termasuk parti anggota PN sendiri yang mahu persidangan diadakan secepat mungkin.
Memang diakui, memanggil sidang parlimen tidaklah semudah yang disangka. Mesyuarat persatuan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pun ada tempoh tertentu yang perlu diberi kepada ahlinya. Inikan pula persidangan parlimen.

Berdasarkan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin selaku ketua mesyuarat perlu memberikan notis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum parlimen bersidang.

Bagi rakyat terbanyak, saya percaya, mereka mahu parlimen bersidang agar wakil rakyat — Ahli Parlimen — yang dipilih melalui Pilihan Raya Umum lalu dapat menyuarakan keluhan, masalah dan kesengsaraan yang dihadapi rakyat dalam Dewan Rakyat.

Mereka tidak mahu pihak kerajaan mencari helah dan berdolak-dalih. Yang didambakan oleh mereka ketika ini adalah strategi dan jalan keluar daripada masalah yang membelenggu negara dan rakyat ketika ini.
Bagi sesetengah pihak amatlah mengeceawakan apabila parlimen tidak dapat bersidang meskipun Agong telah menitahkan demikian.

Kepentingan rakyat perlu diutamakan, justeru ada keperluan dan tuntutan agar parlimen segera bersidang. Bukankah parlimen platform terbaik dan tertinggi untuk membincangkan isu, masalah dan segala hal berkaitan dengan rakyat?

Bukankah parlimen tonggak demokrasi? Sebagai paksi dan teras demokrasi amat penting bagi parlimen untuk bersidang. Melalui persidangan itu, wakil rakyat dapat bersuara, mengemukakan cadangan, kritikan dan sebagainya. Jika ada yang tidak kena dilakukan kerajaan, ia perlu dikritik, sesuai dengan amalan demokrasi.

Hakikatnya, proses semak dan imbang perlu berlaku melalui parlimen agar sebarang kelemahan dari segi dasar, rancangan, pelan, strategi, perbelanjaan kerajaan dan sebagainya dapat diperbaiki.

Akhirnya, daripada pandangan balas dan kritikan itu, akan lahir keputusan dan dasar yang lebih baik yang menguntungkan rakyat dan negara. Ingat, kerajaan tidak semestinya semua betul, dan pembangkang tidak semestinya salah.

Sebaliknya, bukan semua yang diperkatakan pembangkang betul, dan kerajaan tidak semestinya salah. Yang penting, kedua-dua pihak perlu berdebat dengan kepala dingin, dengan hujah yang bernas, berdasarkan data, fakta, dan maklumat, bukannya berdasarkan emosi seperti yang pernah kita saksikan sebelum ini.

Mereka yang punya motif dan agenda lain, termasuk hendak menumbangkan kerajaan, harus ketepikan dahulu pemikiran sempit itu. Namun, percayalah, jika persidangan berlangsung, kita akan dapat menyaksikan perdebatan hangat. Bukan mengejutkan, akan ada yang gagal mengawal emosi ketika berhujah.

Pembangkan tidak harus bermain politik atau memanipulasikan sesuatu isu untuk kepentingan politik. Pemimpin politik dan wakil rakyat harus menghentikan pertelingkahan, sebaliknya mereka perlu fokus kepada agenda utama untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat.

Rakyat tidak pun tertarik dengan kerenah ahli politik yang punya agenda peribadi. Yang dimahukan oleh rakyat ialah, mereka dilihat komited dalam usaha menangani isu dan masalah rakyat dan negara. Mereka dipilih sebagai wakil rakyat untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, termasuk menyelesaikan masalah rakyat.

Ini bukannya masa untuk menjadikan parlimen sebagai sarkas. Darjat wakil rakyat dan parlimen perlu sentiasa dipertahankan, kerana rakyat sedang memerhatikan perkembangan yang berlaku.

Inilah masa yang terbaik untuk membuktikan rakyat dapat menggantung harap kepada wakil rakyat untuk mengeluarkan negara ini daripada krisis kesihatan dan ekonomi. Kita memerlukan idea, pemikiran dan cadangan terbaik daripada ahli parlimen kita.

Jadi, ahli parlimen sekalian, tunjukkanlah anda sebenarnya pemimpin terbilang, terhebat, dan memiliki daya intelek tinggi ketika berbahasa nanti. Rakyat benar-benar memerlukan kepintaran, kebijaksanaan dan kearifan anda untuk berfikir dan mengeluarkan cadangan yang terbaik. Bahawa anda punya jalan penyelesaian dan ubat untuk merawat negara yang sakit. Tetapi, untuk memungkinkan itu berlaku, tolong buka Parlimen.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara

Secara Rawak

Artikel Terbaru