Sunday, July 3, 2022

Pastikan semua rakyat Sarawak dapat vaksin

Secara Rawak

Undi Sarawak amat kecewa dengan dakwaan penduduk asal Sarawak tidak diterima di salah satu pusat vaksinasi COVID-19 kerana tidak mempunyai kad pengenalan pada 18 Jun 2021. Kami mengecam sepenuhnya kejadian tersebut sekiranya terbukti benar.

Dengan peningkatan kes jangkitan COVID-19 semasa, pengedaran vaksin harus diberikan tanpa berat sebelah serta dipandang serius dari sudut kemanusiaan yang mana pengedarannya tidak membezakan identiti, latar belakang dan kewarganegaraan seseorang. Ini adalah untuk menjamin amalan sebegini tidak sepatutnya berlaku di mana-mana pusat vaksin agar imuniti kelompok dapat dicapai di Sarawak.

Kami juga cakna terhadap isu tiada sijil lahir dan kewarganegaraan yang terus membimbangkan di Sabah dan Sarawak. Di sini, Undi Sarawak ingin menyatakan yang masalah tersebut bukanlah batu penghalang bagi Sarawak untuk mencapai imuniti kelompok dan menafikan vaksin untuk penduduk asal Sarawak tanpa MyKad dari luar bandar. Virus COVID-19 tidak membezakan, dan tidak peduli jika mangsanya tidak memiliki Kad Pengenalan Malaysia.

Masalah tidak memiliki MyKad sepatutnya tidak menghalang Kerajaan Negeri Sarawak daripada usaha memastikan semua penduduk asal Sarawak yang tidak memiliki MyKad menerima suntikan vaksin. Sekiranya kerajaan negeri dapat menyesuaikan pendekatan “suntik dahulu, daftar vaksin kemudian”, jadi pendekatan “suntik dahulu, daftar MyKad dan vaksin kemudian” seharusnya tidak menjadi masalah dalam pelancaran vaksinasi.

Undi Sarawak menyarankan agar Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 di Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak dan Kerajaan Negeri Sarawak meneliti isu ini dan memastikan hasil siasatan diumumkan, seterusnya menyediakan rancangan yang boleh dilaksanakan secara inklusif untuk memastikan semua komuniti di Sarawak, terutamanya komuniti asal yang tidak berdokumen diberi akses untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Sekiranya kita benar-benar berpegang kepada slogan “Lindungi Diri, Lindungi Semua”, kita perlu memastikan bahawa lebih dari 60,000 orang penduduk asal Sarawak di kawasan pedalaman – tanpa mengira status mereka – diberi peluang dan akses untuk melindungi diri mereka daripada virus COVID-19.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru