Friday, July 30, 2021

Kerajaan kaji pendekkan masa beri dos kedua Astrazeneca

Mesti baca

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji sama ada tempoh masa pemberian dos kedua vaksin AstraZeneca boleh dipendekkan daripada 12 minggu kepada enam minggu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata ia bergantung kepada laporan pakar terhadap situasi COVID-19 negara sama ada penerima memerlukan kesan maksimum perlindungan daripada dos kedua dengan lebih cepat.

“Kita masih perlu melakukan aktiviti penjujukan genom yang berterusan untuk mengesan jika wujud varian baru COVID-19 lebih ganas yang akan mengganggu keberkesanan vaksin AstraZeneca. Keputusan akan dibuat oleh JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin) jika tempoh dos kedua perlu diberi dalam masa lebih cepat (enam minggu selepas dos pertama),” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Sabtu seperti dipetik Bernama.

Pada masa ini, tempoh antara dos pertama dan kedua vaksin AstraZeneca adalah 12 minggu atau tiga bulan.

Sementara itu, katanya kerajaan akan mengkaji laporan pakar kesihatan negara dan pihak berkuasa kesihatan Australia berikutan negara itu menghentikan penggunaan AstraZeneca kepada rakyat 60 tahun ke bawah susulan terdapat kebimbangan vaksin itu ada kaitan dengan kejadian darah beku untuk golongan tersebut.

Dr Adham berkata ia terutamanya bagi bekalan AstraZeneca dikeluarkan oleh pembekal dari Thailand yang akan tiba pada Julai ini.

“Pakar-pakar kita akan membuat penilaian kembali sama ada AstraZeneca kali ini sesuai diberikan kepada 60 tahun ke bawah,” katanya.

Malaysia sebelum ini membuat perolehan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan melalui fasiliti COVAX.

Dr Adham berkata setakat ini menurut data secara keseluruhan vaksin AstraZeneca tidak melaporkan sebarang kemudaratan teruk terhadap penerima di negara ini.

Mengulas mengenai ‘1st dose strategy‘ (mengutamakan pemberian dos pertama) dalam pemberian vaksin, Dr Adham berkata buat masa ini kerajaan tidak akan melaksanakannya kerana bekalan vaksin yang ditempah adalah mencukupi untuk penduduk negara ini.

Menerusi strategi itu suntikan dos pertama vaksin COVID-19 diberikan kepada lebih ramai orang dengan melanjutkan tempoh pemberian dos kedua. Strategi berkenaan telah dilaksanakan oleh negara-negara seperti United Kingdom dan Jerman

Dalam pada itu, Dr Adham berkata kerajaan menjalankan kaedah ‘suntik dahulu, daftar kemudian’ bagi golongan yang sukar mendapat akses pendaftaran vaksinasi, terutamanya mereka di kawasan pedalaman.

Dr Adham berkata ia dengan mengaktifkan ‘mobile team‘ melibatkan kerjasama pelbagai kementerian bagi menjejaki golongan sasaran yang sepatutnya menerima vaksin dalam fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Pada fasa dua kita sasarkan untuk suntik 9.4 juta penerima, tetapi hingga kita dapati hanya 4.4 juta sahaja yang telah berdaftar dengan MySejahtera, jadi kita sedang sedaya upaya untuk mengerah pasukan untuk kita capai semua penerima ini, baru kita boleh teruskan dengan fasa ketiga,” katanya.

Fasa kedua program imunisasi itu bermula April lepas yang mengutamakan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berpenyakit kronik.

Secara Rawak

Artikel Terbaru