Tuesday, September 21, 2021

Undi18: Permohonan semakan kehakiman diteruskan

Mesti baca

Rentetan pendengaran kes untuk semakan kehakiman yang difailkan terhadap Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia, dan Suruhanjaya Pilihan Raya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi 17 Jun 2021 ini, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pihak Mahkamah kerana memberikan kami keizinan untuk meneruskan permohonan kami dalam membuat semakan kehakiman mengenai pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Undi18 bagi menurunkan usia mengundi daripada 21 ke 18 tahun.

Pihak Undi18 didorong oleh arahan semakan kehakiman ini yang menggalakkan, dan kami berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa anak muda berusia antara 18 hingga 20 tahun berhak mengundi seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Suara anak muda perlu didengari sekarang lebih daripada sebelumnya, terutamanya dalam tempoh pandemik serta keadaan darurat, di mana nilai-nilai demokratik sangatlah mustahak untuk ditegakkan.

Sekiranya semakan kehakiman ini diluluskan, dianggarkan bahawa 1.2 juta anak muda Malaysia berusia antara 18 hingga 20 tahun yang kini dilucutkan hak akan akhirnya diberi peluang untuk menggunakan hak mereka untuk mengundi bagi kali pertama dalam sejarah Malaysia.

“Ini merupakan langkah penting ke hadapan dalam mendapatkan keadilan dan hak mengundi untuk jutaan anak muda Malaysia. Kami ingin melihat kes ini dibahaskan berdasarkan meritnya serta bagi pihak berkuasa untuk menjelaskan keputusan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan RUU Undi18. Benarkanlah anak muda Malaysia mengundi. Laksanakanlah RUU Undi18 sekarang.” kata Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai.

Peguam New Sin Yew daripada firma guaman AmerBON, Advocate berkongsi: “Kami berterima kasih kepada Hakim Mahkamah Tinggi kerana telah memberi kebenaran kepada anak muda ini untuk menyemak keputusan Kerajaan. Ini merupakan sebuah kes penting yang perlu dibahas dengan sepenuhnya. Pihak Kerajaan kini perlu menjelaskan dalam bentuk akuan bersumpah atas sebab-sebab penangguhan penurunan usia mengundi. Kami menantikan perbicaraan tersebut.”

Perbicaraan kebenaran ini berjalan serentak dengan pihak Undi Sarawak yang telah diberikan kebenaran oleh pihak Mahkamah Tinggi di Kuching pada 29 Mei 2021 lalu yang akan diteruskan dengan perbicaraan bagi semakan kehakiman pada 30 Jun 2021. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 1 Julai 2021 bagi pengurusan kes.

(Undi18) Persatuan Pengundi Muda

Secara Rawak

Artikel Terbaru