Monday, August 2, 2021

Mageran: Apa muslihat Mahathir?

Mesti baca

TUN Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan kerajaan atau kuasa baharu sama seperti Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang pernah ditubuhkan pada 1969 semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’​ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis.

Bagi saya, cadangan Ahli Parlimen Langkawi itu bukan sahaja mengejutkan, tetapi menjengkelkan, tidak praktikal dan tidak masuk akal. Justeru, kita wajar menyoal apakah agenda beliau mengemukakan cadangan itu? Yang lebih menghairankan adalah apabila beliau mengakui bersedia untuk memimpin Mageran.

Hakikatnya, darurat sekarang dengan darurat 1969 sama sekali tidak sama. Menyamakan darurat zaman pandemik Covid-19 dengan ketika negara berdepan krisis politik dan kaum adalah tidak wajar dan tidak adil. Keadaan dan latar belakang kedua-dua darurat itu berbeza sama sekali.

Adakah kita hendak terus gantungkan Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan?
Adakah kita hendak biarkan pengerusi dan anggota Mageran itu nanti bertindak mengikut kepala mereka? Adakah kita hendak membiarkan Dr Mahathir memimpin Mageran, dan dengan itu sekali lagi memimpin negara? Cukuplah!

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, ketika itu penubuhan Mageran berjaya memberi penyelesaian kepada situasi politik negara pada suatu ketika dahulu. Dr Mahathir perlu sedar bahawa keadaan darurat ketika itu adalah atas faktor keselamatan, sedangkan sekarang adalah disebabkan faktor kesihatan.

Adakah beliau punya kepentingan tertentu di sebalik agenda mengemukakan cadangan itu? Yang penting, darurat sekarang yang terbukti gagal mencegah ancaman Covid-19 perlu dihentikan, dan tidak perlu lagi disambung selepas 1 Ogos nanti. Bukankah tujuan utama darurat diisytiharkan adalah untuk mencegah Covid-19?

Jadi, untuk apa meneruskan langkah yang terbukti dan ternyata gagal? Jadi, apabila darurat tidak lagi diperlukan, secara automatik juga Mageran memang tidak diperlukan, kecualilah memang ada agenda dan motif lain di sebalik pemikiran pencadang berkenaan?

Betulkah Mageran berupaya memastikan politik melampau diminimumkan dan negara memberi tumpuan sepenuhnya untuk mengatasi krisis yang dihadapi seperti yang didakwa beliau?

Tidak pasti bagaimana beliau membuat perbandingan sekarang dengan darurat pada 1969. Ketegangan dan konflik kaum yang parah berlaku pada 13 Mei 1969 sehingga menyaksikan banyak nyawa terkorban.

Susulan itu negara diisytiharkan darurat pada malam 16 Mei 1969 yang menyaksikan Perlembagaan Persekutuan digantung, dan negara secara terus diperintah oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah undang-undang tentera. Tragedi berdarah selepas Pilihan Raya Umum 1969 itu menyebabkan konflik kaum yang dahsyat.

Dalam PRU itu Parti Perikatan yang dianggotai Umno, MCA dan MIC gagal meraih kemenangan dua per tiga meskipun berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan.
Angka rasmi mencatatkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 orang ditahan, manakala 211 kenderaan musnah.

Mageran diperkenalkan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Mageran secara rasminya bermula pada 17 Mei dan memerintah Malaysia sehingga 22 Februari 1971.

Mageran diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak sebagai Pengerusi. Mereka yang dilantik sebagai ahli Mageran ialah Menteri Dalam Negeri, Dr Ismail Abdul Rahman, Menteri Kewangan, Tan Siew Sin, Menteri Kerja Raya, Pos dan Telekom, VT Sambanthan, Menteri Penerangan dan Penyiaran, Hamzah Abu Samah, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Negara, Abdul Kadir Shamsuddin.

Ahli-ahli lain ialah Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia, Osman Jiwa, Ketua Polis Negara – Mohamed Salleh Ismael, dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Muhammad Ghazali Shafie. Pengarah Operasi pula ialahy Lt Jen Datuk Ibrahim Ismail.

Sepanjang tempoh darurat, Mageran mengambil pelbagai tindakan bagi mencari punca dan merumuskan formula terbaik agar tragedi tersebut tidak berulang. Tragedi itu merupakan titik hitam dalam sejarah negara, maka wajar punca masalah dikenal pasti dan jalan penyelesaian terbaik dicari.

Seperkara yang perlu kita ingat ialah, antara langkah yang diambil oleh Mageran ialah menggubal Rukun Negara bagi meningkatkan kefahaman rakyat tentang perlembagaan negara dan mengentalkan semangat kecintaan terhadap negara ini. Yang turut dilakukan ialah melancarkan Dasar Ekonomi Baru bagi menghapuskan kemiskinan dan pengenalan kaum dengan aktiviti ekonomi.

Pada 1 Julai 1969, Mageran mewujudkan Jabatan Perpaduan Negara untuk menangani isu berkaitan pembinaan semula perpaduan kaum di negara ini. Selepas Mageran dibubarkan, Majlis Penasihat Perpaduan Negara dibentuk pada 23 Februari 1971 bagi memupuk dan memelihara perpaduan antara etnik di negara ini.

Hakikatnya, Mageran ditubuhkan sebagai usaha untuk memulihkan hubungan antara kaum daripada peristiwa berdarah yang menggegarkan negara itu.

Ya, darurat yang berkuat kuasa pada masa ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan darurat keselamatan pada 1969, justeru cadangan mewujudkan sebuah badan yang berkuasa mutlak seperti Mageran bukanlah satu langkah yang tepat dan pragmatik.

Langkah sedemikian merupakan langkah ke belakang dan dapat mencetuskan pelbagai tafsiran dan tentu menimbulkan reaksi negatif daripada rakyat dan masyarakat antarabangsa.

Dengan mewujudkan Mageran, pasti tidak akan menyelesaikan masalah politik, ekonomi, dan kesihatan di negara ini. Tidak adakah cara lain yang lebih ampuh sehingga Dr Mahathir terdesak untuk menimbulkan cadangan tersebut? Adakah kerajaan sekarang benar-benar gagal dalam menangai krisis kesihatan sehingga kita perlu menubuhkan Mageran?

Saya berani menyatakan, Mageran bukan langkah terbaik, malah ia langkah yang silap. Yang kita perlukan sekarang ialah kepemimpinan yang lebih terarah, berani, tegas dan tahu akan apa-apa yang patut dilakukan ketika ini, demi memastikan kita dapat menangani masalah kesihatan, ekonomi dan politik dengan berkesan dan tuntas.

Tidak hairanlah Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) Pas dan Umno menolak cadangan Dr Mahathir untuk diwujudkan kembali Mageran. PH menegaskan cadangan itu bertentangan dengan prinsip mereka selaku parti yang berpegang kepada demokrasi. Ini berdasarkan pendirian konsistennya bahawa darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka semula sekarang.

Sesungguhnya, penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu Covid-19, ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan, malah politik memerlukan demokrasi berfungsi dengan baik. Untuk itu, ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian terbaik ialah di Parlimen kerana Parlimen ialah asas dan tonggak demokrasi.

Sesungguhnya, Parlimen ialah platform tertinggi dan terbaik untuk mendengar keluh kesah rakyat, dan juga pelbagai idea, cadangan dan luahan hati wakil rakyat dari seluruh negara, dari pelbagai kaum, ideologi dan parti.

Ya, Mageran bukan jalan penyelesaian kecualilah kita mahu kembali ke zaman gelap dan tragis.

Secara Rawak

Artikel Terbaru