Friday, July 30, 2021

Tolak Mageran idea Mahathir

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan tiada keperluan untuk menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) berikutan sistem pentadbiran negara berjalan lancar bersama Kabinet kerajaan yang berfungsi dengan baik.

Menurutnya, kerajaan mampu mengendalikan pengurusan Covid-19 dengan baik termasuk pengurusan kebajikan rakyat yang terjamin terutamanya golongan yang terjejas akibat pandemik berkenaan.

“Semua pentadbiran berjalan lancar dan semua sistem pentadbiran berjalan di seluruh negara.

“Bahkan pengurusan Covid-19 berjalan dengan lancar. Covid-19 perlu dilihat bukan hanya kepada data harian yang naik dan turun, sebagaimana juga di negara lain.

“Tetapi juga kepada pengurusan kebajikan kepada mereka yang terkesan dengan wabak ini. Pelbagai bantuan dilakukan adalah sebahagian dari pengurusan Covid-19,” katanya seperti dipetik HarakahDaily.

Pada Khamis, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan sebuah badan seperti Mageran ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Cadangan itu dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan Covid-19

Menurut Tuan Ibrahim, pihaknya yang merupakan sebahagian daripada kerajaan sentiasa mendukung keputusan yang dibuat kerajaan dalam menentukan hala tuju pentadbiran negara termasuk bantahan penubuhan Mageran yang akan dilakukan melalui pelbagai perbincangan menerusi jawatankuasa-jawatankuasa pengurusan bencana.

Berhubung dakwaan yang mengatakan kerajaan sedia ada gagal berfungsi, beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menyifatkan ia adalah mainan biasa bagi pembangkang dalam politik.

Sebelum ini, pihak pembangkang mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal memerintah negara dengan baik berikutan kenaikan mendadak kes harian positif Covid-19.

“Kalau data naik turun Covid-19, maka ia berlaku hampir di semua negara. Jepun, Korea, Singapura bahkan seluruhnya.

“Bagi saya, untuk mengukur data harus dilihat setelah 80 peratus rakyat selesai di vaksin pada hujung tahun ini sebagaimana sasaran kerajaan,” katanya.

Justeru, tegas beliau lagi cadangan penubuhan Mageran tidak wajar dipertimbangkan berikutan kerajaan sedia ada mampu menjalankan tugas dengan baik mengurus negara serta pandemik Covid-19 tanpa mengabaikan nasib dan keperluan hidup rakyat.

Sementara itu Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata,  tiada keperluan untuk membentuk Mageran kerana kerajaan memberikan komitmen penuh terhadap pentadbiran negara serta pengurusan pandemik Covid-10, termasuk keperluan memelihara kelangsungan hidup rakyat.

Secara Rawak

Artikel Terbaru