Friday, July 30, 2021

Dakwaan rogol janda di dalam lokap: Inspektor direman tiga hari lagi

Mesti baca

KOTA BHARU: Perintah tahanan reman ke atas seorang anggota polis yang juga pegawai penyiasat narkotik berpangkat Inspektor disambung selama tiga hari lagi bermula hari ini.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Mendaftar Mahkamah Kota Bharu, Amni Johari di Mahkamah Majistret Kota Bharu di sini pagi tadi.

Sebelum ini anggota polis terbabit direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rogol ke atas seorang tahanan wanita berstatus ibu tunggal.

Dia yang berusia 29 tahun didakwa melakukan perbuatan tersebut semasa mangsa yang berusia 27 tahun itu ditahan di lokap bagi membantu siasatan berhubung satu kes rampasan dadah.

“Mangsa yang mempunyai dua anak itu sebelum itu ditahan bersama bekas suaminya dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kota Bharu pada Jumaat lepas,” lapor Astro Awani.

Mangsa bersama-sama bekas suaminya itu direman di lokap balai polis Pengkalan Chepa selama tujuh hari untuk siasatan berkaitan rampasan dadah.

Suspek merupakan pegawai penyiasat dalam kes berkenaan dan didakwa memaksa mangsa melakukan hubungan seks sebagai dorongan untuk melepaskan mangsa.

Secara Rawak

Artikel Terbaru