Tuesday, June 22, 2021

Lelaki 45 tahun korban terbaharu rabies

Mesti baca

KUCHING: Seorang lelaki berusia 45 tahun menjadi korban terkini virus rabies di Sarawak.

Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa yang disahkan positif rabies pada 11 Mei 2021.

“Kes merupakan seorang warganegara lelaki berumur 45 tahun yang tinggal di sebuah rumah pekerja kilang papan di Stapang, Selangau.

“Beliau telah dimasukkan ke wad Hospital Sibu pada 6 Mei 2021 disebabkan mengalami gejala demam, sakit kepala, sakit tekak, sakit semasa minum air dan hydrophobia,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Noor Hisham, keadaan mangsa semakin merosot dan berada dalam keadaan kritikal mulai 9 Mei 2021.

“Sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus rabies telah diambil dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 10 Mei 2021.

“Keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 11 Mei 2021. Kes telah meninggal dunia pada 12 Mei 2021 jam 1:24 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis,” jelasnya.

Menurutnya lagi, dengan pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah terkini kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak untuk tahun 2021 adalah empat.

“Sejak wabak rabies diisytiharkan pada 1 Julai 2017 di Sarawak, jumlah kes adalah 35 dengan 33 kematian.

“Terdapat dua kes kanak-kanak yang masih hidup namun dengan komplikasi neurologi yang teruk,” ujarnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru