Tuesday, June 22, 2021

Acu pistol mainan untuk dapat nuget

Mesti baca

GLOUCESTERSHIRE: Seorang perompak yang kelaparan memasuki premis makanan segera, sambil mengacukan pistol mainan.

Dia mengarah pekerja premis memberinya nuget.

Semua kejadian ini dirakam CCTV premis terbabit.

Insiden di Gloucestershire, England itu dilakukan lelaki bernama Rudi Batten, 22, dilihat memasuki premis makanan segera itu dengan membawa pistol mainan.

Hasratnya untuk makan nuget bagaimanapun tidak kesampaian kerana pada waktu itu mereka hanya menyediakan menu sarapan sahaja.

Dia sebaliknya terpaksa berpuas hati dengan makan double sosej McMuffin.

Selain meminta makanan, dia juga sempat mengambil wang berjumlah £50 (RM282) dari depan kaunter juruwang sebelum mengarah pengurus kedai membawanya ke peti deposit wang.

Batten turut membawa keluar tin merah berisi wang berjumlah £250 (RM1,414), dua beg kecil yang masing-masing mengandungi wang £100 (RM565) dan satu beg dipenuhi duit syiling.

Insiden rompakan ini juga menyebabkan Sekolah Tadika Ridge yang terletak berdekatan di arah dikunci sepanjang waktu pembelajaran.

Ia dilakukan selepas ibu bapa kanak-kanak di situ menghubungi sekolah dan memberitahu tentang lelaki yang berkeliaran membawa senjata.

Sehari sebelum merompak premis makanan itu, Batten merompak sebuah lagi premis makanan segera yang lain dan membawa pulang wang dan ayam goreng.

Menurut Ary news, polis berjaya memberkas Batten dan dia dijatuhkan hukuman penjara enam tahun.

Secara Rawak

Artikel Terbaru