Tuesday, June 22, 2021

PM: Calon SPM 2020 individu hebat

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri berharap calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020  yang menerima keputusan mereka hari ini sebagai penyuntik semangat untuk terus berusaha bagi memastikan kehidupan serta masa depan yang terjamin.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin mereka yang menerima keputusan hari ini sebagai individu hebat yang menduduki peperiksaan dalam situasi negara dan dunia bergelut dengan pandemik Covid-19.

Katanya lagi, perjalanan dan perjuangan hidup mereka baru sahaja bermula dan banyak lagi ilmu serta bidang yang belum diterokai dan juga pengalaman yang belum ditempuhi.

“Alhamdulillah, saya mengambil maklum bahawa keputusan SPM tahun 2020 adalah pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun. Anda semua diuji dengan cabaran yang getir namun berbekalkan semangat serta keazaman tinggi dengan sokongan semua pihak, cabaran itu berjaya anda harungi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Bagaimanapun,  katanya, sekiranya keputusan yang diterima bukanlah seperti yang diharapkan, jangan sesekali berputus asa.

“Sudah pasti harapan tinggi diletakkan agar semua usaha itu membuahkan hasil yang memberangsangkan. Namun kepada anak-anak semua, jika keputusan yang diperoleh hari ini tidak seperti yang diharapkan, ia bukanlah penamat,” katanya lagi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru