Tuesday, June 22, 2021

PGA gagalkan cubaan 7 tekong bawa masuk 20 Pati ke Sarawak

Mesti baca

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya menggagalkan cubaan tujuh orang tekong tempatan membawa masuk sejumlah 20 pendatang asing tanpa izin (Pati) warganegara Indonesia ke negeri ini dalam tempoh dari 2 Jun lalu sehingga hari ini.

Komander PGA Sarawak Senior Asisten Komisioner (SAC) Mancha Ata berkata tangkapan terbaharu dibuat hari ini oleh Pasukan Risik Batalion 11 PGA pada jam 1.30 pagi melibatkan dua lelaki tempatan yang membawa seramai lapan Pati di simpang Lorong Taiton 18, Pekan Taiton, Bau.

“Kesemua mereka ditangkap di dalam sebuah van dan siasatan awal mendapati Pati terbabit masuk melalui jalan tikus di sekitar Kampung Selampit dan di Serikin, Bau, yang kemudian diambil oleh tekong tempatan yang menunggu di sempadan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara, beliau berkata dua lelaki tempatan yang membawa tiga wanita dan seorang lelaki Indonesia ditahan dalam dua tangkapan berasingan pada 6 Jun lalu.

Jelasnya seorang tekong dan dua Pati wanita terbabit ditahan di Kampung Sepadah, Jalan Bau-Lundu kira-kira jam 1 pagi.

Katanya seorang lagi tekong yang membawa seorang lelaki dan wanita Indonesia ditahan di Jalan Gedong, Serian kira-kira jam 5.39 petang.

Manakala, Mancha berkata dua lelaki dan seorang wanita tempatan bersama lapan lelaki Indonesia ditahan pada 2 dan 3 Jun lalu, masing-masing di Jalan Muara Mongkos, Serian dan di bandar Serian.

“Kesemua Pati didapati masuk melalui jalan tikus sebelum diambil oleh tekong-tekong tempatan yang menunggu di sempadan,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru