Tuesday, June 22, 2021

Pakar:  Agong institusi  bijaksana penuh kebestarian

Mesti baca

KUCHING: Kesudian rakyat mengadu dan menceritakan perihal keadaan kepada institusi beraja  menunjukkan institusi ini mempunyai kedudukan mulia di hati rakyat sehingga menjadi tempat untuk bernaung.

Menurut pakar perlembagaan  yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara, Profesor Datuk Dr Shamrahayu A Aziz,  keadaan ini  sekali gus menunjukkan keutuhan institusi beraja dan kesesuaian keberadaan institusi ini dalam pelbagai hal dan keadaan. 

“Justeru, walau zaman dan keadaan beredar dan banyak berubah, institusi beraja kekal menjadi harapan pancuran kesejahteraan kepada negara dan rakyat,” katanya.

Walaupun begitu, terdapat hantaran yang ada kala melupakan nilai kesopanan dan kesusilaan dalam berbahasa terhadap institusi beraja secara umum dan kepada Yang di-Pertuan Agong secara khusus. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia berpotensi mencalit kotor kepada institusi ini.

“Sebagai ketua utama negara pula, Yang di-Pertuan Agong adalah institusi yang menaungi bukan sahaja kerajaan yang memerintah, tetapi baginda juga adalah institusi menaungi keseluruhan perwakilan dipilih rakyat melalui proses demokrasi atau pilihan raya,” katanya dalam tulisan disiarkan dalam Berita Harian hari ini.

Oleh itu,  katanya adalah wajar untuk Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan menghadap dan mengambil perhatian kepada pandangan pemimpin parti politik yang mewakili rakyat walaupun mereka bukan anggota Jemaah Menteri tau bukan sebahagian daripada kerajaan.

Peristiwa yang disaksikan semalam boleh dijadikan contoh yang baginda menerima menghadap Perdana Menteri dan juga wakil parti bukan kerajaan.

Keadaan ini perlu menjadi amalan dan teladan serta petunjuk dalam pemerintahan Yang di-Pertuan Agong seterusnya kerana ia menjadikan institusi ini lebih dekat dengan rakyat.

“Keadaan ini juga menunjukkan Yang di-Pertuan Agong adalah berada di luar pagar politik kepartian. Baginda adalah neraca mengimbangi kepentingan semua pihak yang pastinya meletakkan kesejahteraan negara dan kemaslahatan rakyat pada tempat utama,” jelasnya.

Katanya lagi, keadaan ini juga menjadikan Yang di-Pertuan Agong sebagai institusi bijaksana penuh kebestarian yang bertindak adil dan saksama kepada semua pihak.

“Amalan sebegini sekali gus menunjukkan keserasian antara amalan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di negara ini, “ tegasnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru