Tuesday, June 22, 2021

Klinik Dr Jerip PPV swasta di Kota Pedawan

Mesti baca

KUCHING: Klinik swasta milik Adun Mambong, Datuk Dr Jerip Susil di Kota Padawan akan dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk melancarkan proses pemberian vaksin di konstituennya.

Jerip berkata, selain klinik miliknya, dua lokaliti telah dikenal pasti untuk dijadikan sebagai PPV iaitu Dewan Masyarakat Siburan dan Klinik Kesihatan Braang Bayur, Padawan.

Beliau memberitahu, klinik miliknya telah mendapat kelulusan untuk dijadikan sebagai PPV pada Isnin lalu.

Kata Jerip, pada ketika ini kliniknya sedang membuat persiapan untuk prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan serta sedang mempersiapkan kemudahan di klinik dan kakitangan untuk pemberian vaksin.

Selain itu tambahnya, kliniknya juga membuat persiapan untuk menyediakan peti sejuk agar vaksin tersebut disimpan di tempat yang sepatutnya.

“Untuk peringkat kedua, kakitangan dari kesihatan awam akan menjalankan pemeriksaan pada klinik tersebut, sejurus pemeriksaan, saya akan membuat publisiti dan program jangkauan kepada penduduk kampung.

“Saya akan pergi ke kampung serta pedalaman untuk memastikan penduduk kampung menerima suntikan vaksin. Dengan cara ini, mereka tidak perlu turun ke bandar untuk mendapatkan suntikan,” jelasnya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bakul makanan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) di Pekarangan Pejabat Kecil Padawan, di sini semalam.

Jerip yang juga Menteri Muda Pengangkutan berkata, beliau sendiri memberikan suntikan vaksin secara sukarela dan ia diberikan secara percuma.

Berdasarkan SOP pemberian vaksin untuk klinik swasta, kata Jerip, hanya 30 orang ditetapkan dalam satu hari justeru beliau telah memohon agar jumlah tersebut ditambah kepada 50 orang.

Beliau turut berkata, pemberian vaksin tersebut diadakan ‘secara siapa cepat dia dapat’ serta diberikan kad temu janji untuk mengelakkan sebarang kesesakan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru