Sunday, June 13, 2021

Penduduk luar bandar Sarawak tetap diberi suntikan walau tak daftar

Mesti baca

KUCHING: Penduduk di luar bandar yang belum mendaftar tetapi hadir dalam program vaksinasi akan tetap diberikan suntikan vaksin Covid-19.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kelonggaran ini bagi mempercepatkan proses vaksinasi masyarakat di luar bandar.
“Takkan nak suruh mereka balik sahaja, kan menyusahkan sebab mereka datang dari jauh untuk meminta divaksin.
“Walaupun belum berdaftar, kita akan bagi suntikan dan kemudian barulah ambil maklumat mereka.
“Ini adalah melangkaui proses normal tetapi kita perlu proaktif supaya vaksinasi kita lebih cepat,” katanya ketika ditemu-bual semasa melawat ke pusat pemberian vaksin AstraZeneca di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam.
Dalam pada itu, beliau masyarakat khususnya warga emas di luar bandar yang tidak pandai mendaftar program vaksinasi menggunakan MySejahtera boleh mendaftar melalui Pejabat Daerah di kawasan masing-masing.
Pada masa sama, Abang Johari berkata telah meminta semua wakil rakyat supaya membantu agar Sarawak dapat mencapai sasaran semua rakyat disuntik menjelang Ogos nanti.
Mengenai program suntikan AstraZeneca, beliau berkata daripada seramai 30,000 orang yang mendaftar, 1,000 orang dijangka mendapat suntikan di BCCK semalam dan 400 orang di Miri.
“Ini akan berjalan dan selepas ini, mungkin bilangan naik kepada 3,000 orang sehari dan inilah satu-satunya pendekatan kita untuk mempercepatkan vaksinasi,” katanya.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga penasihat JPBN Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Secara Rawak

Artikel Terbaru