Tuesday, June 22, 2021

Ketua polis ditahan, curi kertas tandas

Mesti baca

TOKYO: Takashi Tanaka, Ketua Polis Stesen Fukaya wilayah Saitama Prefecture digantung tugas sebulan selepas ditemui mencuri lima gulung tisu tandas.

Selepas ditemui mencuri pada usia 60 tahun, Tanaka mengambil keputusan bersara pada hari yang sama.

Menurut Asahi Shimbun, Tanaka bercuti dan menghabiskan masa dengan minum arak di rumahnya di kota Konosu.

Pada sebelah malam dia ditemui minum lagi di hadapan tempat parkir sebuah kedai runcit.

Ketika berada di situ dia mula sakit perut kerana terlalu banyak minum arak dan disebabkan masalah kesihatan lain.

Dia kemudian bergegas ke sebuah tandas awam berdekatan pasar raya.

Ketika di dalam tandas dia menemui beberapa gulung kertas tandas yang diletakkan oleh pekerja pasar raya sebagai tambahan jika kehabisan stok.

Tanaka yang bimbang perutnya meragam lagi dalam perjalanan pulang menggunakan kereta api, mengambil kesemua lima gulung kertas tisu itu semasa meninggalkan tandas tersebut.

Seorang pengunjung pasar raya melihat Tanaka yang ketika itu dalam keadaan mabuk mengambil tisu tersebut dan terus memberitahu pengawal keselamatan yang menghubungi pihak polis.

Tanaka ditahan dan terpaksa menahan malu selepas diberi syarahan dan kemungkinan bakal didakwa melakukan jenayah.

Secara Rawak

Artikel Terbaru