Sunday, June 13, 2021

Bonus untuk terus berkhidmat

Mesti baca

KUCHING: Penangguhan pembubaran Dun Sarawak disifatkan sebagai perkara luar biasa dalam amalan sistem demokrasi di negara ini, jelas Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Sarawak Dr Nadrawina Isnin.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak kini diurus parti pemerintah melebihi tempoh penggal lima tahun. “Kalau kita lihat dari segi jumlah tahun sebelum Dun dibubarkan, biasanya sebelum lima tahun, atau empat ke lima tahun, tetapi kes di Sarawak begitu istimewa… melebih lima tahun.

Sepatutnya 6 Jun adalah tarikh untuk Dun Sarawak dibubarkan. “Namun proklamasi darurat memberikan sesuatu yang istimewa kepada Sarawak kerana ini kali pertama Sarawak diurus lebih lima tahun beberapa bulan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dun Sarawak sepatutnya dibubar semalam (6 Jun) – tempoh matang berdasarkan mesyuarat pertama yang diadakan pada 7 Jun 2016 iaitu selepas PRN ke-11.

Bagaimanapun, pembubaran tidak dapat dilakukan kerana tertakluk kepada kuasa yang diperuntukkan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 susulan pengisytiharan proklamasi darurat oleh Yang diPertuan Agong. Justeru, penggal sedia ada dilanjutkan sehingga tamat tempoh darurat ada 1 Ogos depan.

Selain itu kata Dr Nadrawina, pelanjutan itu turut disifatkan sebagai bonus kepada Adun di Sarawak untuk terus berbakti kepada rakyat. “Kuasa eksekutif masih tetap dijalankan dan Adun masih berfungsi seperti biasa.

“Bagi saya, ini satu bonus kepada mana-mana Adun yang memberi mereka peluang untuk terus berbakti kepada rakyat di Sarawak. “Ia seperti pusingan terakhir sebelum diadakan pilihan raya, kemungkinan sejurus selepas 1 Ogos iaitu selepas proklamasi darurat ditamatkan.

“Dengan ruang masa yang ada ini, mereka (Adun) boleh menggunakan sebaikbaiknya masa ini untuk terus berbakti kepada rakyat serta menyempurnakan segala perancangan yang belum tertunai,” tambahnya lagi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru