Tuesday, June 22, 2021

Dakwa dera kanak-kanak sampai mati di Betong: Ibu, tiga ahli sekeluarga direman hari ini

Mesti baca

BETONG: Ibu serta tiga lagi ahli keluarga kepada kanak-kanak dua tahun yang meninggal dunia semalam kerana disyaki didera, akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Betong Deputi Superintendan Zamry Alli.

Menurutnya, perintah reman terhadap keempat-empat suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Betong, hari ini.

“Kesemua empat ahli keluarga kanak-kanak terbabit yang berumur dalam lingkungan 22 hingga 65 tahun termasuk si ibu yang ditangkap semalam kini ditahan di lokap IPD Betong sementara menunggu proses permohonan reman yang akan dibuat hari ini.

“Pihak kita menyiasat lanjut kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Jelasnya, jika disabit bersalah, suspek boleh dikenakan hukuman mati.

Zamry dalam pada itu menyatakan, jenazah kanak-kanak terbabit kini berada di Unit Forensik Hospital Betong bagi proses bedah siasat yang akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Hasil pemeriksaan awal pegawai perubatan mendapati terdapat kecederaan serta kesan lebam dan bengkak di beberapa bahagian anggota badan kanak-kanak tersebut yang berkemungkinan menyebabkan punca kematian,” ujarnya.

Beliau memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak tepat berkaitan kes tersebut, dan menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian kanak-kanak tersebut.

Secara Rawak

Artikel Terbaru