Tuesday, June 22, 2021

Ceroboh ruang udara Malaysia: China tunjuk belang

Mesti baca

TENTERA udara China antara  sepuluh yang terkuat di dunia  — di belakang Amerika Syarikat, Rusia, Israel, India, dan Royal Air Force.  Yang paling kuat di dunia ialah  United States Air Force  dengan kekuatan 13,264 pesawat dan  462,000 anggota.

Pembangunan tentera laut, udara dan darat negara China memang menggerunkan dan merisaukan negara lain, termasuk Amerika Syarikat.

China pula mempunyai 3,444 pesawat, termasuk 1,232 pesawat pejuang, 371 pesawat penyerang, 224 untuk pengangkutan, 314 pesawat pelatih, 111 untuk misi khas, 911 helikopter, dan 281 helikopter penyerang.

China dikatakan mempunyai hampir 400,000 anggota tentera udara.Wajar bagi negara 1.4 bilion jiwa dengan keluasan geografi yang luas memiliki kekuatan tentera udara yang sedemikian.

Dunia tahu, China gergasi dunia dari segi ekonomi yang dalam kurang satu dekad akan memintas Amerika Syarikat.

Kini jiran China mendapati bahawa negara itu sudah memberi semacam ancaman kepadanya, kadang-kadang bagai tidak mengendahkan perasaan jiran tetangganya.

Contohnya, China menuntut 90 peratus daripada kawasan Laut China Selatan, kawasan yang turut dituntut Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei.

Jadi, memang wajar pencerobohan 16 pesawat tentera udara Republik  Rakyat China akhir bulan Mei itu mendapat reaksi diplomatik tegas dan keras daripada Malaysia sebagai menghantar isyarat betul bahawa negara 33 juta jiwa ini tidak boleh berkompromi berkaitan hal kedaulatan dan keselamatan negara.

Panglima TUDM, Jeneral Ackbal Abdul Samad, melabelkan kejadian pesawat tentera udara China menceroboh masuk ke ruang udara kawasan negara ini sebagai “perkara serius kepada ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan.” Ingat, kejadian itu berlaku menjelang ulang tahun ke-63 TUDM!

Apakah tujuan China melakukan tindakan itu? Adakah sekadar untuk menguji atau melakukan latihan? Kalau betul untuk latihan, mengapa harus melakukannya di kawasan udara Malaysia?

Adakah ‘abang besar’ boleh bertindak sesuka hati sampai ke tahap menceroboh dan melanggar kedaulatan negara lain yang bersahabat dengannya?

Amat penting bagi China dilihat sebagai tidak mengancam keselamatan dan kedaulatan Malaysia dengan tidak melakukan sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
Sampai bilakah Malaysia perlu terus berdiam diri kerana terlalu hormat atau takut kepada abang besar?

Ya, sampai bilakah kita terus-terusan menggunakan pendekatan diplomasi senyap setiap kali  China mencetuskan masalah baik di lautan mahupun di udara? Ya, adakah kita sekadar mampu menghantar nota bantahan diplomatik setiap kali kejadian seumpamanya berlaku?

Sebarang pencerobohan tidak boleh dibiarkan. Ini bukan pertama kali negara kuasa besar itu berbuat demikian, sebaliknya melakukannya banyak kali, termasuk di lautan sehingga memasuki kawasan maritim negara ini.

Kita tidak harus lupa bagaimana insiden di West Capella, sebuah kapal cari gali minyak kelolaan Seadrill dan Petronas  diancam kapal-kapal perang China dan berlarutan beberapa ketika  pada akhir 2019 hingga awal 2020. Dalam kejadian itu, pertahanan Malaysia bertegas mencegah kedaulatan negara dari diceroboh.

Ironinya, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin berkata pesawat terbabit tidak memasuki ruang udara Malaysia, sebaliknya ia merupakan rutin latihan. Betulkah ia tidak memasuki ruang udara Malaysia seperti didakwa?

Hakikatnya, apa-apa yang dilakukan China  itu bukan sahaja boleh disifatkan sebagai satu provokasi, tetapi jelas adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Benar, China boleh mendakwa  ia rutin latihan biasa yang dilakukan tentera udara China di perairan selatan atau Kepulauan Spratly, dan tidak menyasarkan mana-mana negara.

Bolehkah alasan itu diterima begitu sahaja? Bolehkah Malaysia memejam sebelah mata, dan membiarkan China mengulangi kejadian itu sekali lagi pada masa depan? Atau kita biarkan China bagai kaduk naik junjung?

Perkara masuk akal yang sepatutnya dilakukannya ialah pihak berkuasa Malaysia yang mengawal ruang udara terbabit dimaklumkan terlebih dahulu berkaitan setiap pergerakan pesawat di kawasan berkenaan. Namun ini tidak dilakukan oleh Beijing. Justeru, tercetus pelbagai spekulasi dan tafsiran tentang tindakannya itu.

Betul, mereka  belum lagi masuk ke dalam rumah atau halaman rumah kita. Namun,  mereka  sudah berada di pekarangan rumah kita.

Jadi, adakah kita harus membiarkan mereka menceroboh  ke kawasan atau pekarangan rumah kita barulah kita hendak bertindak?

China bagai memperlekeh kedaulatan negara kita dengan berbuat demikian. Pesawat yang terbang pada paras 23,000 hingga 27,000 kaki itu tentu boleh mengundang  bahaya kepada pesawat komersial yang terbang di kawasan itu.

Memang ada pihak yang mengatakan, kita tidak perlu khuatir dengan  kejadian itu. Sebab, bagi pihak berkenaan,  dipercayai pihak berkuasa China tidak akan mengambil tindakan lebih jauh khususnya setelah menerima mesej tegas daripada kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar selepas kejadian itu.

Pesawat berkenaan mungkin tidak  melanggar undang-undang seperti yang didakwa. Namun seyogia diingat  pesawat terbabit hanya 80 batu dari pantai Sarawak. Maksudnya, tidak  sampai berapa minit  sudah sampai di kawasan kita.

Tidak hairanlah Kerajaan Sarawak menyokong  langkah  tegas yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan termasuk memanggil Duta Besar Republik Rakyat China untuk memberi penjelasan mengenai pencerobohan terbabit.  Kerajaan Sarawak tidak mahu kejadian seumpamanya berlaku lagi pada masa depan.

Kita boleh anggap bahawa ia merupakan cubaan untuk menakut-nakutkan. Perkara sebegini  tidak seharusnya dilakukan terhadap Malaysia yang dianggap sebagai negara bersahabat dan mesra dengan China. Tentu kejadian sedemikian dapat mencetuskan kesangsian kerana keikhlasan persahabatan berkenaan akan dipertanyakan.

China harus menunjukkan contoh teladan yang baik. Maksudnya, sebagai negara kuasa besar,  China perlu tunjukkan ia jiran yang baik. Hanya dengan itu negara lain akan hormat dan pandang tinggi terhadapnya, selain menyifatkannya sebagai sahabat yang ikhlas. China perlu berpegang kepada prinsip hubungan diplomatik yang baik. Ia  tidak boleh berkelakuan dengan cara yang dapat mencetuskan ketegangan  sehingga dilihat cuba mengancam kedaulatan negara lain.

Justeru,  wajar untuk kita memprotes dan mendesak China memohon maaf. China tidak boleh menggunakan kekuatannya untuk membuli negara lain, terutama negara jiran atau negara yang dianggapnya punya hubungan mesra dengannya. China tidak boleh dilihat terlalu angkuh.

Kita tidak harus memandang mudah pencerobohan berkenaan. Kita perlu menghantar mesej dan isyarat yang jelas kepada China bahawa kita tidak boleh dipermainkan.  Integriti, keselamatan, martabat dan kedaulatan negara  perlu sentiasa dipertahankan hingga ke titisan darah yang terakhir.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara 

Secara Rawak

Artikel Terbaru