Sunday, June 13, 2021

Potongan gaji pemimpin politik bukan gimik politik seperti didakwa Soon Koh

Mesti baca

KUCHING: Pemotongan gaji pemimpin Kerajaan Sarawak selama dua bulan untuk disumbangkan kepada Tabung Bencana Negeri bukan gimik politik.

Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata sumbangan oleh Kerajaan Sarawak melalui pemotong gaji anggotanya adalah simbol solidariti dalam perjuangan melandaikan keluk Covid-19.

Jelasnya, ini bukan perkara yang baharu kerana ia telah dilakukan di peringkat Kerajaan Persekutuan melalui pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu ini untuk pemotongan gaji yang serupa ke atas jemaah menteri di peringkat persekutuan.

Tambahnya lagi, tindakan itu juga dicontohi oleh Kerajaan Negeri yang lain seperti Johor, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan tanpa mengira fahaman dan dakyah politik.

Oleh itu, Kelab Penyokong GPS mempersoal Presiden Psb, Datuk Seri Wong Soon Koh yang memilih untuk mempolitikkan isu ini.

Walaupun menurut Soon Koh, RM3 juta bukanlah jumlah yang signifikan dari segi perbelanjaan kerajaan Sarawak, sumbangan bukanlah berkenaan jumlah yang dapat dikumpul, kata Kelab Penyokong GPS.

“Dalam tempoh masa getir perjuangan melawan Covid-19, ia penting untuk semua memberi sokongan untuk melihat penyebaran wabak ini terhenti.

“Sumbangan yang dilakukan adalah perkara yang terpuji malah mulia dalam beberapa aspek. Mengapa ini dipolitikkan?” katanya dalam satu kenyataan.

Mereka memberitahu, Psb melalui salah seorang anggota Majlis Presidennya pada Februari awal tahun ini telah mendesak agar potongan gaji dibuat terhadap Adun untuk membeli alat untuk pelajar sekolah yang kurang berkemampuan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdPR) dari rumah.

“Mengapa sekarang apabila ini dilakukan, Psb seakan-akan menentang langkah ini? Adakah mereka lupa tentang pandangan untuk pemotongan gaji Adun yang dipinta mereka pada masa itu atau adakah itu hanya sekadar ‘pendapat peribadi’ individu tersebut,” soal mereka.

Lantaran itu, Kelab Penyokong GPS turut meminta agar Adun Psb dan Adun parti pembangkang yang lain menyumbang sebahagian gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri.

“Berhentilah bermain politik, mainkan peranan anda dalam membantu Sarawak pulih dari penyebaran wabak Covid-19,” ujarnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru