Sunday, June 13, 2021

Kecoh, lelaki masak depan kedai serbaguna

Mesti baca

TOKYO: Kedai serbaguna di Jepun bukan sahaja di penuhi makanan ringan yang manis, masam dan masin, tetapi juga pelbagai jenis makanan segera yang sedap, menjadikannya pilihan terbaik ketika seseorang lapar, tetapi malas memasak.

Baru-baru ini, pekerja di sebuah kedai serbaneka di bandar Kasuya, Prefektur Fukuoka, kecoh dengan tingkah laku lelaki yang memparkir keretanya di hadapan kedai dan keluar dari keretanya dengan membawa periuk nasi elektrik dan dapur.

Dia kemudian memasang palam kedua-dua peralatan itu pada soket elektrik yang tersedia di luar kedai terbabit dan mula memasak di hadapan kedai tersebut.

Setelah memasak nasi dia mengeluarkan kuali dan menggoreng mi yakisoba di dapur panasnya, malah turut menuang sos pada mi.

Semua ini dilakukannya selang beberapa langkah dari pintu hadapan kedai tersebut.

Apabila pekerja kedai bertanya apakah yang sedang dilakukannya, dia hanya mendiamkan diri, lapor Japan Today.

Lelaki tersebut berada di situ selama 30 minit sejak kemunculannya pada 6.30 pagi, sebelum polis datang ke lokasi kejadian selepas dihubungi pekerja kedai terbabit menghubungi mereka.

Sebaik sahaja melihat anggota polis itu, dia segera masuk ke dalam keretanya semula dan enggan keluar biarpun diarah berbuat demikian.

Sekitar jam 12 tengah hari dia menghidupkan keretanya dan meninggalkan kawasan tersebut diiringi kereta polis.

Kira-kira sejam selepas itu selepas memasuki kota Fukuoka, dia terpaksa berhenti akibat kesesakan lalu lintas dan polis mengambil peluang menahannya.

Lelaki berusia 38 tahun itu bakal menerima hukuman undang-undang kerana melarikan diri dari pegawai polis dan menggunakan peralatan kedai secara tidak sah.

Di Jepun biasanya kedai serbaneka mahu anda bertanya kepada pekerja mereka jika anda hendak menggunakan tandas, berikutan itu sudah pasti mereka tidak menghargai anda menggunakan elektrik mereka untuk memasak sarapan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru