Friday, October 22, 2021

Elakkan pergerakan jika tiada urusan mustahak

Mesti baca

MUKAH: Sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan semasa Sekatan Jalan Raya (SJR) simpang tiga Jebungan pada hari keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada jumlah tersebut, enam kompaun dikeluarkan atas kesalahan di bawah peraturan 17 (1) PPPPB (LLDKTJ)(No.2) 2021 iaitu membawa penumpang melebihi had yang ditetapkan iaitu dua orang sahaja.

Dan satu kompaun di bawah peraturan 17 (1) PPPPB (LLDKTJ)(No.2) 2021 iaitu tiada permit pergerakan antara daerah dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Balai Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias sehubungan itu, menasihat masyarakat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP yang telah ditetapkan.

“Elakkan melakukan pergerakan sekiranya tiada perkara yang mustahak. Penguatkuasaan yang lebih ketat akan dilaksanakan termasuk mengeluarkan kompaun ke atas individu yang tidak mematuhi SOP sepanjang PKP ini,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan orang awam yang ingin melakukan pergerakan rentas daerah perlu mendapatkan permit terlebih dahulu di balai polis yang berhampiran.

“Aktiviti ziarah sepanjang sambutan Hari Gawai tetap tidak dibenarkan dan pasukan pemantau daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah yang bergerak 24 jam akan sentiasa memastikan perkara tersebut tidak berlaku,” tegasnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru