Sunday, June 13, 2021

Pemerkasa Plus dapat rangsang kegiatan ekonomi

Mesti baca

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik inisiatif Kerajaan yang terbaharu iaitu Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dana Pemerkasa Plus yang bernilai RM40 bilion dengan suntikan fiskal baharu oleh kerajaan berjumlah RM5 bilion memberikan tumpuan kepada tiga matlamat utama bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi.

Menurut beliau, ia pasti dapat meningkatkan prestasi keseluruhan ekosistem perdagangan domestik di bawah seliaan KPDNHEP terutama kepada peniaga peruncitan, pemborong dan pengedaran.

Katanya, mereka menghargai kepercayaan Perdana Menteri atas pelaksanaan beberapa inisiatif oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebuah agensi KPDNHEP dalam matlamat ketiga iaitu Menyokong Kelangsungan Perniagaan.

“Melalui inisiatif ini, pelanjutan masa 90 hari diberikan kepada syarikat dengan tahun kewangan berakhir 1 November 2020 Hingga 31 Januari 2021 bagi mengedarkan penyata kewangan, mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, menyerah simpan penyata kewangan dan RM100 fi permohonan lanjutan masa dikecualikan.

“SSM juga memperkenalkan moratorium 30 hari selepas tamat tempoh Sekatan Pergerakan Penuh bagi serah simpan dokumen berkanun di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 dengan Fi lewat serah simpan dikecualikan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, SSM mengurangkan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal bagi permohonan pembatalan nama syarikat di bawah Seksyen 549/550 Akta Syarkat 2016.

“Di samping itu, SSM juga mengecualikan kompaun ke atas kelewatan pembaharuan dan kelewatan pendaftaran perniagaan sehingga 31 Disember 2021,” ujarnya.

Sehubungan itu, Alexander menegaskan KPDNHEP akan terus mempertingkatkan pelaksanaan Inisiatif Ketiga yang disebut oleh Perdana Menteri iaitu Penguatkuasaan Perundangan Yang Ketat dan Telus bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.

Secara Rawak

Artikel Terbaru