Sunday, July 3, 2022

Langkah strategik bantu rakyat: Ucapan PM

Secara Rawak

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Saudara dan saudari, rakyat Malaysia yang saya kasihi,

1.Sepertimana yang telah diumumkan, Kerajaan akan melaksanakan Perintah
Kawalan Pergerakan yang lebih ketat atau total lockdown untuk tempoh dua minggu
bermula esok 1 Jun hingga 14 Jun 2021. Semua sektor sosial dan ekonomi ditutup
kecuali sektor-sektor yang dikategorikan sebagai sektor ekonomi dan perkhidmatan
perlu.

2. Tindakan ini diambil setelah trend peningkatan kes-kes COVID-19 menunjukkan
kenaikan yang amat mendadak dengan mencatat kes-kes kematian yang tinggi setiap
hari. Sekiranya tindakan drastik tidak diambil dengan kadar segera, dikhuatiri sistem
kesihatan di negara kita akan runtuh dan kita akan berhadapan dengan satu
malapetaka yang lebih besar.

3. Sepertimana yang saya telah tegaskan sebelum ini, penutupan sektor-sektor
ekonomi akan memberi kesan yang amat besar kepada ekonomi negara dan
kehidupan rakyat. Saya ingin berterus-terang bahawa kerajaan mempunyai ruang
fiskal yang amat terhad untuk berbelanja pada masa ini.

4. Namun atas dasar keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, Kerajaan akan berusaha
sedaya upaya untuk memastikan wujud keseimbangan antara lives and livelihood iaitu
keperluan untuk melindungi nyawa, dan menjamin kesejahteraan rakyat termasuk
peluang saudara-saudari mencari nafkah untuk keluarga tersayang sepanjang tempoh
PKP ini.

5. Semenjak COVID-19 melanda negara, Kerajaan telahpun melaksanakan pelbagai
pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah 340 bilion ringgit. Sehingga kini, ia
telah memanfaatkan lebih 20 juta ahli isi rumah serta lebih dari 2 juta perniagaan dengan suntikan ekonomi melebihi 200 bilion ringgit. Justeru, terdapat lebih dari 100 bilion ringgit lagi daripada nilai pakej rangsangan untuk disalurkan sepanjang tahun ini. Sebagai tambahan, pakej tersebut dilengkapi oleh inisiatif Belanjawan 2021 berjumlah 322.5 bilion ringgit

6. Dengan suntikan fiskal dan langkah yang telah diumumkan, kita dapat lihat ekonomi
semakin pulih, menggambarkan hasil dan impak positif untuk terus melonjakkan
pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan menyediakan bantuan kepada
rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan. Pertumbuhan KDNK pada bulan Mac tahun
ini telah melonjak sebanyak 6.0%, nilai tertinggi semenjak pandemik COVID-19
melanda negara.

PROGRAM STRATEGIK MEMPERKASA RAKYAT DAN EKONOMI TAMBAHAN
(PEMERKASA+)

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

7. Maka sepertimana yang dijanjikan, hari ini saya ingin mengumumkan program
bantuan PEMERKASA Tambahan atau PEMERKASA Plus sebagai inisiatif terbaharu
Kerajaan untuk membantu meredakan cabaran yang dihadapi, terutamanya ekoran
pelaksanaan PKP pada masa ini.

8. Nilai keseluruhan program PEMERKASA Plus adalah berjumlah 40 bilion ringgit, di
mana suntikan langsung fiskal Kerajaan sebanyak 5 bilion ringgit. Langkah baharu
PEMERKASA Plus akan dilaksanakan berlandaskan 3 matlamat utama seperti
berikut:

Pertama: Mempertingkatkan Kapasiti Kesihatan Awam;
Kedua: Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat; dan
Ketiga: Menyokong Kelangsungan Perniagaan

MATLAMAT PERTAMA: MEMPERTINGKATKAN KAPASITI KESIHATAN AWAM
Tuan-tuan Puan-puan sekalian,

9. Kerajaanbakan memastikan kapasiti kesihatan awam sentiasa diberi keutamaan.
Seperti kenyataan saya sebelum ini, kita akan beralih ke fasa-fasa PKP secara
berperingkat berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM) mengambil kira antara lain jumlah kes COVID serta penggunaan kapasiti
hospital serta ICU.

10. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan 1 bilion ringgit
bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam. Pertambahan
peruntukan ini adalah komitmen Kerajaan untuk memastikan sistem kesihatan tidak
akan runtuh dan beroperasi dengan berkesan. Maka, langkah-langkah berikut akan
diberi perhatian:

Pertama: memperuntukkan 450 juta ringgit bagi meningkatkan kapasiti katil dan
peralatan ICU bagi rawatan COVID-19, bukan sahaja di Hospital seliaan KKM tetapi
juga di Hospital Pengajar Universiti Awam seperti di UiTM, UPM dan UKM serta
melalui hospital medan ATM seperti di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, penyumberan luar juga akan dilaksanakan kepada hospital swasta. Jumlah ini termasuk 200 juta ringgit yang diumumkan oleh YB Menteri Kewangan pada 22 Mei baru-baru ini;

Kedua: memperuntukkan 550 juta ringgit untuk menampung keperluan perbelanjaan
berkaitan COVID-19 pelbagai agensi antaranya pertambahan kos operasi dan
pengurusan dalam menangani krisis kesihatan COVID termasuk ubat, reagen untuk
saringan dan lantikan pegawai secara kontrak. Ini juga termasuk kos pengoperasian
Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 atau PKRC di MAEPS dan di peringkat
negeri; dan

Ketiga: melanjutkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan
jururawat lantikan kontrak sedia ada sehingga tahun 2022. Sebagai tambahan,
kerajaan juga akan melantik semula lebih 500 petugas kesihatan yang bersara wajib
tahun ini secara kontrak.

11. Saya juga telah mengarahkan YB Menteri MOSTI untuk mempercepatkan
pemberian vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK. Saya
dimaklumkan, pemberian dos pada bulan Mei telahpun mencapai purata 80,000 dos
sehari.

12. Insha-Allah, menjelang akhir Jun nanti, kita mampu mencapai sasaran 150,000
dos sehari melalui penambahan terimaan vaksin dari syarikat pengeluar, penambahan
pusat-pusat pemberian vaksin, memperkenalkan kaedah pemberian secara pandu lalu
dan penambahan anggota sukarelawan. Berdasarkan unjuran, pelaksanaan PICK
secara keseluruhan disasarkan untuk selesai menjelang bulan Disember 2021 dengan
negeri berkepadatan penduduk tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan
Pulau Pinang menjelang Oktober.

13. Saya merayu, supaya rakyat yang telah mendapat tempahan vaksin untuk hadir di
mana-mana pusat pemberian vaksin yang ditetapkan. Adalah menjadi tanggungjawab
kita bersama untuk memastikan negara mencapai imuniti kelompok menjelang akhir
tahun ini.

14. Saya juga mendengar keluhan rakyat, terutamanya warga emas dan mereka yang
tinggal jauh yang mengalami kesukaran untuk hadir ke PPV. Oleh itu, saya telah
mengarahkan supaya aset-aset Kerajaan seperti bas, van dan kenderaan pool
digerakkan bagi tujuan ini. Saya amat mengalu-alukan kerjasama pihak swasta, NGO
dan pertubuhan masyarakat awam untuk turut menggiatkan usaha ini.

MATLAMAT KEDUA: MENERUSKAN AGENDA PRIHATIN RAKYAT

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

15. Bagi Matlamat Kedua, Kerajaan akan terus mengutamakan agenda prihatin rakyat.
Ini terutamanya bagi memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup golongan
rentan dan pekerja yang bergantung kepada upah harian dapat terus dibantu. Tidak
dinafikan, mereka inilah antara yang paling terkesan susulan penguatkuasaan PKP
ini.

16. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan
2.1 bilion ringgit bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR.
Bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah 2,500 ringgit, mereka akan
menerima kadar BPR tambahan sebanyak 500 ringgit dan isi rumah berpendapatan
antara 2,501 hingga 5,000 , akan menerima kadar sebanyak 300 ringgit. Golongan
bujang pula akan menerima 100 ringgit.

17. BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan
Jun nanti. Bayaran ini merupakan tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR bulan
September kelak sebanyak 2.4 bilion ringgit.

18. Seterusnya, saya juga mendengar permintaan rakyat supaya Kerajaan
menimbang semula pemberian moratorium.

19. Sehubungan itu, hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM),
industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan
bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium. Oleh itu, bagi semua golongan
B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro
dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, anda diberi pilihan
untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama 3 bulan atau
boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran
sebanyak 50% selama tempoh 6 bulan.

20. Inisiatif ini akan dilaksanakan segera pada bulan Jun yang dijangka
memanfaatkan lebih dari 5 juta peminjam dengan nilai sehingga 30 bilion ringgit.
Insha-Allah, industri perbankan akan memberikan maklumat lebih terperinci
berhubung perkara ini mulai esok. Saya berharap, pengumuman moratorium
automatik ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada peminjam institusi perbankan.
Para peminjam hanya perlu menghubungi bank masing-masing untuk mendapat
manfaat bantuan ini.

21. Kerajaan juga akan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi pada
minggu ini dengan nilai peruntukan 1 bilion ringgit. Melalui skim ini, pengusaha bas
dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan
melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.

22. Saya menyarankan supaya agensi dan syarikat Kerajaan menawarkan
penangguhan bayaran balik pinjaman serta diskaun sewa premis perniagaan. Pihak
MARA akan meneruskan program MARA PRIHATIN Peace of Mind yang dibuka
sehingga 31 Julai 2021. Peminjam boleh memohon secara dalam talian untuk
membuat penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran atau moratorium.
Bagi usahawan MARA yang terkesan akibat penutupan ekonomi, pemberian diskaun
30% ke atas sewaan premis perniagaan akan diberi untuk bulan Mei sehingga Julai
2021.

23. Seterusnya adalah berkaitan pekerjaan. Tidak dinafikan, pelaksanaan PKP 3.0
akan memberi kesan kepada sebilangan besar rakyat terutama risiko kehilangan
pekerjaan dan pengurangan pendapatan akibat penutupan kebanyakan sektor
ekonomi.

24. Maka, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan Program Subsidi Upah di bawah
PERKESO selama 1 bulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan dengan kos 1.5
bilion ringgit dengan had 500 pekerja bagi setiap permohonan, ditanggung oleh
Kerajaan. Adalah dijangkakan 2.5 juta pekerja dan lebih 200 ribu majikan akan
mendapat manfaat.

25. Selain itu, majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad
akan diberikan pengecualian pembayaran levi selama satu bulan pada bulan Jun
2021. Pada masa yang sama, pekerja juga boleh meningkatkan pengetahuan dan
kemahiran melalui portal pembelajaran e-LATiH secara percuma yang melibatkan
lebih 400 modul dan kursus kemahiran.

MATLAMAT KETIGA: MENYOKONG KELANGSUNGAN PERNIAGAAN

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

26. Seterusnya bagi Matlamat Ketiga, Kerajaan akan terus membantu untuk
memastikan kelangsungan perniagaan, khususnya kepada PKS dalam menguruskan
aliran tunai mereka. Salah satu inisiatif yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan adalah
melalui pemberian Geran Khas Prihatin atau GKP. Sehubungan itu, sukacita
diumumkan kadar GKP akan ditambah sebanyak 500 ringgit kepada 1,500 ringgit. Ini
bermakna, hampir 1 juta PKS dan perusahaan mikro akan menerima 1,000 ringgit
pada pertengahan bulan Jun dan 500 ringgit lagi akan disalurkan pada bulan Julai.

27. Saya juga ingin tegaskan, berdasarkan SOP terbaharu yang diumumkan, Kerajaan
masih membenarkan operasi jual-beli peniaga kecil, penjaja jalanan dan termasuk
perusahaan mikro. Oleh itu, sekiranya para peniaga ingin mendapatkan pembiayaan
mikro kredit sebagai modal kerja, sebanyak 1.5 bilion ringgit disediakan bagi
sepanjang tahun ini oleh BSN, TEKUN, MARA, SME Corp. dan YAPEIM dengan kadar
pembiayaan serendah 3%.

28. Selain itu, bagi membantu aliran tunai syarikat dan PKS, institusi perbankan akan
terus menawarkan kemudahan pembiayaan dan pinjaman. Dana institusi perbankan
telah dimantapkan lagi melalui pelbagai fasiliti pinjaman mudah PKS pembiayaan
BNM yang masih berbaki 5 bilion ringgit. Untuk menyokong lagi PKS, BNM akan
menambah fasiliti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar untuk PKS terjejas
sebanyak 2 bilion ringgit. Dengan itu, jumlah dana pinjaman untuk PKS dengan kadar
pinjaman serendah 3.5% yang masih tersedia adalah sebanyak 7 bilion ringgit.

29. Selain itu, tidak dinafikan semasa tempoh PKP ini, ia turut memberi kesan kepada
pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah. Bagi mengurangkan beban mereka,
Kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas secara one-off sebanyak 500 ringgit
kepada 17 ribu pemandu pelancong, 40 ribu pemandu teksi, 11 ribu pemandu bas
sekolah, 4 ribu bas persiaran dan 62 ribu pemandu kereta sewa dan e-hailing. Bantuan
ini yang berjumlah RM68 juta akan disalurkan kepada penerima yang berdaftar pada
bulan Julai.

30. Selain itu, sebagai salah satu usaha mengurangkan beban perniagaan, Lembaga
Hasil Dalam Negeri akan mempertimbangkan rayuan pengenaan penalti dan
menangguhkan pembayaran penalti ke tahun 2022 serta menyediakan penjadualan
semula bayaran cukai tertunggak bagi pembayar cukai dan perniagaan yang terjejas.

31. Suruhanjaya Syarikat Malaysia juga bersetuju untuk memperkenalkan semula
pelanjutan untuk penghantaran penyata kewangan, pelaksanaan mesyuarat tahunan
bagi syarikat awam yang tersenarai di Bursa Malaysia dan moratorium denda bagi
penghantaran lambat dokumen berkanun. SSM juga akan mengecualikan bayaran
lewat untuk membaharui lesen perniagaan sehingga 31 Disember 2021 bagi PKS
mikro serta perniagaan milikan tunggal dan perkongsian.

32. Di samping itu, Akta Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit
COVID-19 atau Akta 829 akan ditambahbaik bagi membantu individu dan perniagaan
yang terkesan. Perlindungan berkaitan ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi
kontrak akan dilanjutkan tempoh kuatkuasa sehingga 31 Disember 2021. Sehubungan
ini, Kerajaan menyediakan bantuan perkhidmatan pengantaraan atau mediation
secara percuma melalui Pusat Mediasi COVID kepada semua individu atau
perniagaan tanpa mengira latar belakang.

33. Seterusnya, Kerajaan akan melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik kepada
sektor yang terjejas. Sehubungan itu, pengendali hotel, agensi pengembaraan dan
pelancongan, premis dan kompleks membeli belah, pusat-pusat konvensyen, taman
tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan layak menerima diskaun bil elektrik
sebanyak 10% selama 3 bulan tambahan antara bulan Julai hingga September 2021.

34. Kerajaan juga bersetuju memberi potongan khas kepada pemilik bangunan dan
ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis perniagaan kepada
PKS dan bukan PKS untuk tempoh 6 bulan lagi sehingga 31 Disember 2021 bagi
pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30% daripada kadar sewa semasa. Selain
itu, pelanjutan sehingga 31 Disember 2021 bagi pengecualian cukai pelancongan dan
cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel masih
berterusan.

35. Semasa pembentangan pakej PENJANA pada Jun 2020, Kerajaan telah
mengumumkan pengecualian duti setem Kempen Pemilikan Rumah atau HOC yang
akan berakhir pada hari ini, 31 Mei. Sukacita diumumkan Kerajaan bersetuju
melanjutkan pengecualian duti setem HOC tersebut sehingga 31 Disember 2021.

36. Kerajaan juga bersetuju melanjutkan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan
penumpang CKD dan CBU import yang sebelum ini diumumkan di bawah inisiatif
PENJANA mulai 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021.
Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,

37. Ingin saya tekankan sekali lagi, selain inisiatif yang diumumkan pada malam ini,
masih terdapat pelbagai program pakej rangsangan bernilai lebih daripada 100 bilion
ringgit yang masih dalam pelaksanaan. Dari segi perbelanjaan langsung daripada
Kerajaan, Kumpulan Wang COVID-19 telah diluluskan dengan siling 65 bilion ringgit.
Sebanyak 38 bilion ringgit telah dibelanjakan pada tahun 2020 dan sehingga April
2021, 10 bilion ringgit lagi telah disalurkan. Baki sebanyak 17 bilion ringgit akan
dibelanjakan pada tempoh yang terdekat. Antara inisiatif dan program ini termasuklah:

Pertama: BPR Fasa 2 yang baharu sahaja dilaksanakan awal Mei lepas dengan
peruntukan sebanyak 2.7 bilion ringgit yang telah disalurkan kepada 8.4 juta penerima
dengan bayaran Fasa 3 bernilai 2.4 bilion ringgit dijadualkan untuk bulan September;

Kedua: Program subsidi upah, insentif penggajian serta program latihan untuk
membantu menjamin pekerjaan sedia ada serta menggalakkan penyediaan pekerjaan
baharu dengan sasaran 500,000 untuk tahun ini;

Ketiga: Pelaksanaan projek-projek kecil dengan peruntukan lebih 2 bilion ringgit
untuk dibelanjakan memanfaatkan kontraktor kelas G1 hingga G4 bagi pembaikan
infrastruktur dan fasiliti awam;

Keempat: Program Jaringan Prihatin bernilai 2 bilion ringgit yang juga dilancarkan
pada awal Mei lalu bagi membantu 8.4 juta penerima BPR untuk melanggan perkhidmatan telekomunikasi atau mendapatkan peranti telefon mudah alih; dan

Kelima: Program e-Belia yang akan dibuka pendaftaran mulai esok, 1 Jun 2021 bagi
membolehkan 2 juta belia dan pelajar IPT yang layak untuk mendapatkan kredit
bernilai 150 ringgit dari penyedia perkhidmatan e-tunai.

PENUTUP

Saudara-saudari yang dikasihi sekalian,

38. Inilah antara usaha Kerajaan sebagai meneruskan agenda prihatin rakyat dan
komitmen Kerajaan dalam mengurus krisis yang melanda kini. Saya amat menghargai
dan berterima kasih kepada semua pihak yang kekal teguh bersama-sama Kerajaan
tanpa mengira kawan atau lawan dalam menghadapi situasi yang tidak pernah kita
jangkakan ini.

39. Dalam mencapai matlamat ini, Kerajaan akan terus mengutamakan pendekatan
whole-of-government dan whole-of-society dalam memerangi pandemik COVID-19. Ini
merujuk usaha mengoptimumkan seluruh tenaga kerja kesihatan dan peranan
frontliners yang bertindak di lapangan serta peranan seluruh rakyat Malaysia yang
turut sama membantu untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini.

40. Sebagai penutup kepada inisiatif PEMERKASA+ ini, sepertimana yang telah
diamalkan semasa PKP pertama tahun lalu, saya ingin memaklumkan tanda sokongan
barisan Menteri dan Timbalan Menteri dengan tidak mengambil gaji selama 3 bulan
mulai Jun 2021. Gaji yang tidak diambil ini akan disumbangkan ke dalam Akaun
Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

41. Keputusan untuk melaksanakan lockdown ini adalah satu keputusan yang sukar
tetapi terpaksa dibuat. Samada lockdown yang dilaksanakan ini akan berjaya atau
tidak semuanya terserah kepada saudara dan saudari serta ketentuan Ilahi. Kerajaan
telah menutup hampir semua sektor ekonomi dan sosial untuk mengurangkan
pergerakan rakyat dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

42. Saudara dan saudari dikehendaki duduk di rumah – stay at home – saya ulangi
stay at home – dan sentiasa patuh kepada SOP. Jika saudara dan saudari gagal
mematuhi arahan ini, maka kita semua akan gagal, na’uzubillah.

43. Kepada para frontliners, bertabahlah. Saya tahu anda semua penat berperang
melawan virus ini sejak lebih setahun yang lalu. Saya ingin ulangi penghargaan
kerajaan yang tidak terhingga atas segala jasa dan pengorbanan para frontliners kita
di seluruh negara. Saya doakan agar anda semua terus diberikan kekuatan oleh Allah
s.w.t. untuk mengharungi cabaran dan dugaan yang amat besar ini.

44. Saya juga mendoakan agar semua pesakit yang sedang bertarung melawan
COVID-19 ini diberikan kesembuhan segera, amin ya rabbal alamin. Saya dengan
penuh dukacitanya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa
COVID-19 yang telah meninggal dunia. Mudah-mudahan anda semua tabah
menghadapi dugaan yang amat berat ini.

45. Marilah kita bersama-sama panjatkan doa ke hadrat Allah s.w.t. mudah-mudahan
wabak yang sedang melanda negara kita dan seluruh dunia pada masa ini segera
berakhir.

TEKS UCAPAN
PROGRAM STRATEGIK MEMPERKASA RAKYAT DAN EKONOMI TAMBAHAN
(PEMERKASA+)

OLEH:
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA
MENTERI MALAYSIA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru