Tuesday, June 22, 2021

50 tahun dalam kewartawanan

Mesti baca

Hari ini 50 tahun lalu saya memulakan perjalanan dalam dunia kewartawanan. Saya melaporkan diri sebagai pemberita kadet pada 1 Jun 1971 di Utusan Melayu setelah mengikuti kursus asas kewartawanan selama dua bulan anjuran akhbar tersebut – sebulan menjalani latihan praktikal dan sebulan lagi latihan teori.

Mengikuti kursus tersebut bukan saya seorang sahaja tetapi 28 orang stringer akhbar itu (lihat rakaman foto di atas). Selepas kursus selesai mereka diserap sebagai wartawan tetap di negeri dan bandar di mana mereka berkhidmat sebagai pemberita sambilan sebelum itu.

Selain saya, terdapat tiga lagi rekrut baharu Utusan yang kemudiannya diambil sebagai pemberita kadet untuk berkhidmat di ibu pejabat akhbar itu di Kuala Lumpur. Kami berempat adalah orang baharu yang tidak mempunyai pengalaman sebagai pemberita, tetap atau sambilan.

Hal ini bermakna, bilangan peserta yang diberi peluang untuk mengikuti kursus itu adalah 32 orang – 28 pemberita sambilan Utusan dan bakinya empat orang tidak mempunyai sebarang rekod berkhidmat dengan mana-mana akhbar. Seorang daripada 4 orang itu, seorang wanita, membuat keputusan untuk menolak tawaran menjadi pemberita kadet.

Saya terpilih untuk mengikuti kursus asas kewartawanan anjuran organisasi media yang menerbitkan dua akhbar harian tanah air – Utusan Melayu (Jawi) dan Utusan Malaysia (Rumi) sebagai susulan permohonan saya untuk mengisi jawatan kosong sebagai wartawan yang diiklankan oleh Utusan Malaysia, kalau tidak silap saya, pada pertengahan 1970.

Jawatan yang saya mohon itu adalah untuk mengisi kekosongan kedudukan pemberita bagi daerah Hulu Selangor.

Kampung halaman saya, Kampung Pasir, Kerling terletak dalam Hulu Selangor dan saya berpendapat bekerja di daerah sendiri merupakan pilihan terbaik saya untuk memulakan kerjaya dalam bidang yang memang saya minati sejak di Tingkatan Dua.

Tambahan pula pemberita sambilan Utusan Malaysia di Hulu Selangor adalah guru agama saya sendiri di sekolah menengah di Kuala Kubu Bharu, Ustaz Shaari Janah. Beliau ketika itu sedang dalam proses pertukaran ke Sabak Bernam iaitu kampung halamannya. Jadi saya fikir saya boleh menggantikan beliau sebagai wakil Utusan di Hulu Selangor (ketika itu dieja Ulu Selangor).

Atas dorongan Ustaz Shaari, saya mula menulis apa-apa yang saya anggap sebagai rencana dan berita untuk akhbar Utusan Malaysia. Tetapi tulisan-tulisan saya itu sekadar disiarkan sebagai surat kepada pengarang.

Tetapi barangkali oleh kerana saya tidak ada pengalaman bekerja, saya tidak ditawarkan jawatan tersebut. Sebaliknya ditawarkan untuk mengikuti kursus asas kewartawanan dengan bayangan bahawa saya akan diambil bekerja setelah saya menjalani kursus.

Sepanjang kursus dua bulan itu, saya ditempatkan di Asrama Dr. Latif, milik Yayasan Selangor yang baru sahaja siap pembinaannya, terletak berhampiran Jalan Gurney sekarang Jalan Semarak.

Asrama itu kemudian digunakan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk menempatkan anak-anak Selangor yang cerdik dalam pelajaran dari kawasan luar bandar untuk belajar di sekolah-sekolah terpilih di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur pada waktu itu adalah ibu negari Selangor sehinggalah ia dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974.

Sepanjang kursus itu berlangsung, 32 peserta yang mengikuti program tersebut yang sebahagian besarnya merupakan para wartawan sambilan Utusan Melayu yang berkhidmat di negeri-negeri dan daerah, kami dibimbing oleh para pengarang dan wartawan kanan syarikat akhbar tersebut.

Mereka termasuklah Ketua Pengarangnya, Pak Melan Abdullah, timbalan beliau, Pak Osman Abadi, Pengarang Berita, Zainuddin Maidin, Pengarang Utusan Zaman, Subky Latif, Ketua Pemberita Utusan Malaysia, Mohd Nor Samsuddin dan beberapa yang lain.

Selepas kursus berakhir, para peserta kursus dilantik ke jawatan tetap di editorial Utusan sebagai usaha untuk memantapkan lagi operasi Jabatan Pengarang Utusan di peringkat negeri untuk bersaing dengan liputan yang diberikan oleh akhbar-akhbar harian yang lain, terutama saingan Utusan iaitu akhbar Berita Harian.

Sebagai kakitangan tetap, para wartawan dibayar gaji bulanan, bukan lagi bayaran berdasarkan item berita yang disiarkan setiap hari. Mereka juga layak menerima kemudahan perubatan, bayaran bonus tahunan, elaun pengangkutan dan pelbagai elaun lain. Dengan itu kebajikan mereka sebagai pekerja kreatif sebuah organisasi ulung media terjamin.

Saya pula bersama dua orang peserta lain yang bukan wartawan sambilan Utusan, menjalani latihan praktikal selama sebulan dengan Utusan Melayu.

Mereka ialah Abdullah Hassan dan Osman Ismail. Abdullah adalah adik kepada Pak Harun Hassan yang merupakan mantan pengarang Utusan, asal Terengganu yang pernah menjadi setiausaha akhbar Menteri Besar Terengganu, Datuk Nik Hassan.

Pak Harun kemudian mengasaskan mingguan Suara Rakyat, Suara Merdeka dan penerbitan beberapa majalah seperti bulanan Sari Nasional (SARINA), Keluarga dan majalah dwibulanan Kisah Cinta melalui syarkatnya, Amir Enterprise.

Setelah latihan praktikal tamat, saya dilantik sebagai pemberita kadet di Ibupejabat Utusan Melayu, di Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin, Sungai Besi, Kuala Lumpur yang terletak dalam sebuah kawasan perindusterian yang dibangunkan atas sebidang tanah yang dulunya bekas lombong.

Dengan kelulusan School Certificate/Malaysia Certificate of Education (SC/MCE), saya dibayar gaji RM200.00 dan RM60.00 elaun pengangkutan sebulan. Bagi kalangan yang berkelulusan ijazah sarjana muda kepujian, gaji permulalan yang dibayar adalah RM800.00 sebulan.

Tetapi sewaktu saya menyertai Utusan Melayu, hanya ada seorang sahaja pemegang ijazah pertama dari Universiti Al-Azhar. Beliau ialah seorang ustaz yang bertindak sebagai pengarang majalah Al-Qiblat.

Sebahagian besar wartawan Utusan Melayu pada waktu itu adalah mereka yang berkelulusan  Higher School Certificate (HSC) dan School Certificate iaitu tamat belajar di Tingkatan Lima.

Lulusan universiti ketika itu tidak tertarik untuk menyertai dunia kewartawanan Melayu.

Pada mulanya saya ditempatkan di akhbar jawi Utusan Melayu, berkhidmat di bawah ketua pemberita, Suhaimi Mokhtar, asal Terengganu, seorang yang perungus dan cerewet, tetapi baik hati dan suka belanja orang bawahannya makan di sebuah gerai mamak berhampiran dengan ofis Utusan. Lauk kegemarannya adalah kari kambing.

Selepas beberapa bulan, saya dipindahkan ke akhbar tulisan rumi, Utusan Malaysia, berkhidmat di bawah ketua pemberitanya, Mohd Nor Shamsuddin dan pengarang berita, Zainuddin Maidin yang mengendalikan kerja-kerja sebagai pengarang.

Utusan Melayu dan Utusan Malaysia pada waktu itu tidak mempunyai pengarang. Pak Melan, selaku Ketua Pengarang, bertindak sebagai pengarang kedua-dua akhbar tersebut.

Tetapi dalam operasi harian, tugas-tugas itu dilaksanakan oleh Pengarang Berita dan juga Ketua Penyunting. Pengarang Berita bertanggungjawab terhadap kegiatan-kegiatan pengumpulan berita di ibupejabat dan juga di negeri-negeri serta daerah manakala Ketua Penyunting pula menjaga operasi penerbitan berita.

Pengarang berita luar negeri pula bertanggungjawab terhadap pemilihan berita-berita luar negara yang diperoleh daripada agensi-agensi berita yang dilanggan oleh Utusan Melayu. Sebagai sebuah organisasi media, Utusan Melayu tidak mempunyai wakil di luar negara pada waktu itu.

Utusan juga tidak mempunyai pengarang rencana sehinggalah Puan Aziz Aziz dilantik ke jawatan itu oleh Mazlan Nordin pada 1973.

Boleh katakan dengan akhbar Utusan Malaysialah saya membina nama sebagai seorang wartawan, pada mulanya sebagai pemberita kadet di bawah bimbingan Mohd Nor Samsuddin dan juga Zainuddin Maidin, A.R Kamaluddin dan juga Mazlan Nordin.

Mohd Nor, asal Sungai Siput, Perak, adalah seorang yang tidak banyak bercakap, tetapi seorang perancang berita yang berwibawa dan bijak mengesan intro yang baik dalam pelaporan yang dihasilkan oleh pemberita baharu seperti saya. Beliau juga seorang penulis semula berita yang baik.

Kadang-kadang berita yang saya hasilkan boleh dikatakan hampas. Tetapi di tangan Mohd Nor, berita saya itu akan ditulis semula menjadi pelaporan yang mantap, ditambah fakta baharu, sedap dibaca dari satu para ke para yang lain, sama seperti air sungai yang mengalir.

Tidak seperti Mohd Nor, Zainuddin Maidin pula mengambil pendekatan yang berbeza dalam membimbing pemberita baharu di bawah beliau. Sebagai bos yang bagi saya agak garang, Zainuddin tidak akan menulis semula laporan yang dianggap tidak sempurna yang dihasilkan oleh pemberita.

Dia akan meminta pemberita itu sendiri menulis semula berita tersebut dengan memberitahu para mana atau fakta dan maklumat mana yang patutnya dinaikkan sebagai intro atau pengenalan berita, bermula dengan fakta paling baharu dan penting dalam item berita, diikuti dengan fakta-fakta lain menggunakan teknik piramid terbalik.

Kalau Zainuddin tidak berpuas hati dengan hasil penulisan kedua, dia akan meminta saya menulis semula bagi kali ketiga, keempat dan kelima sehinggalah dia berpuas hati dengan hasil kerja yang dihasilkan.

Malah bergantung kepada mood beliau, ada waktu berita yang kita hasilkan akan beliau ronyokkan dan dibuang ke dalam bakul sampah di tepi mejanya. Dia akan meminta saya menulis semula laporan berkenaan tanpa merujuk kepada tulisan asal yang diserahkan kepada beliau.

Kerana caranya itu, Zainuddin bukanlah seorang bos yang disenangi oleh orang-orang bawahannya. Tetapi saya mengambil sikap yang positif. Saya cuba memahami template cara menulis berita yang beliau ingini.

Apa-apa yang saya dapati adalah Zainuddin selalu membandingkan berita yang  ditulis oleh para pemberitanya dengan bahan yang sama yang tersiar dalam New Straits Times (NST) keesokannya, terutama dari segi pemilihan para pertama atau pendulu sesuatu berita. Kalau berita yang kita tulis standing dengan apa yang dihasilkan oleh pemberita NST keesokannya, barulah ia bermutu pada kacamata Zainuddin.

Untuk itu, apabila saya diarahkan untuk membuat liputan majlis-majlis yang agak besar yang dihadiri oleh para menteri, sebelum pulang saya akan berbincang dengan rakan saya dari NST mengenai apakah perkara yang paling penting dan besar dalam ucapan pemimpin yang kami liputi.

Ada rakan pemberita yang tidak mahu berkongsi pendapat, tetapi ada juga yang bersedia berbuat demikian. Salah seorang wartawan NST yang tidak lokek berkongsi dengan saya tentang sudut berita yang akan ditulisnya adalah Chong Mei Sui.

Apabila Zainuddin mengesan bahawa saya sudah bijak menilai berita sama seperti yang dilakukan oleh pemberita NST, maka saya tidak lagi kerap menulis semula berita-berita yang saya hasilkan untuk Utusan Malaysia. Apa-apa yang saya tulis, beliau terima bulat-bulat, atau kalaupun ada perubahan cuba dari segi bahasa sahaja.

Malah pernah satu hari saya menulis sebuah berita ucapan seorang pemimpin menggunakan intro yang telah saya bincangkan dengan pemberita NST. Zainuddin meminta saya menukar intro berita tersebut. Tetapi apabila keesokannya, intro berita saya tidak sama dengan item berita yang sama dengan NST, beliau memarahi saya kerana tidak peka dengan nilai berita.

Tetapi apabila saya memberitahu dia bahawa saya memilih fakta dan maklumat yang sama dengan NST untuk dijadikan intro, dan memberitahu yang dia meminta intro ditukar, dan menunjukkan bukti dengan mengemukakan laporan pertama yang saya buat kepadanya, beliau tidak berkata apa-apa.

Sejak itu, Zainuddin jarang meminta saya menukar intro berita-berita yang saya hasilkan. Malah beliau memuji saya kerana cepat belajar untuk menghasilkan berita-berita yang mantap dari segi penulisannya.

Setelah saya mendapat keperayaan Zainuddin, saya kemudian meyakinkan dia bahawa intro yang dihasilkan oleh pemberita Utusan Malaysia, tidak semestinya sama dengan apa-apa yang dipilih oleh NST atau akhbar-akhbar lain.

“Akhbar kita, khalayaknya berbeza,” kata saya kepada beliau. Saya juga memulangkan paku buah keras dengan memberitahu beliau bahawa pembingkaian berita dan penetapan agenda Utusan Malaysia, yang menjadi panduan penting dalam penilaian berita adalah tidak sama dengan akhbar-akhbar lain.

Selain itu saya juga memberitahu: “Sebagai sebuah akhbar, Utusan Malaysia mesti mempunyai identiti tersendiri dari segi penulisan berita sesuai untuk khalayaknya. Apa kata biar akhbar lain pula menjadi menjadikan intro kita sebagai benchmark penulisan berita.”

Saya tidak pasti sama ada Zainuddin mendengar cakap saya atau tidak. Tetapi yang saya perasaan, selepas itu, saya kerap beliau tugaskan untuk menulis semula berita-berita yang dihasilkan oleh pemberita lain Utusan Malaysia, terutama pemberita negeri dan daerah yang beliau anggap tidak kemas dan mantap.

Saya juga mula ditugaskan untuk membuat liputan politik oleh beliau, termasuk ke majlis-majlis yang dihadiri oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun perkhidmatan saya berboskan Zainuddin yang agak garang dan sedikit cerewet itu berakhir pada Ogos 1972, berikutan berlakunya rombakan di Jabatan Pengarang Utusan. Beliau dilantik sebagai Ketua Biro Utara dan Pengurus Utusan di Pulau Pinang mulai September tahun tersebut.

Jawatan pengarang berita tidak diisi. Mohd Nor Shamsuddin, selaku ketua pemberita Utusan Malaysia, ditugaskan untuk menjalankan kerja-kerja pengarang berita manakala penolong ketua berita, Sirajuddin Rafia, pula menjalankan tugas-tugas ketua pemberita.

Ketua Penyunting Utusan Malaysia, A.R Kamaluddin, memainkan peranan sebagai pengarang akhbar tersebut, menentukan kandungan editorialnya – berita apa yang hendak dipakai dan tidak dipakai; berita apa yang hendak dibesarkan atau dikecilkan. Pembingkaian berita dan penetapan agenda kandungan editorial Utusan Malaysia ditentukan oleh beliau.

Daripada A. R Kamaluddin, saya belajar bahawa selain penulisan berbentuk “hard news” yang menjadi penekanan Mohd Nor Samsuddin dan Zainudin Maidin, terdapat satu lagi pendekatan untuk intro berita – soft news atau penulisan ala-ala naratif dan rencana.

Hal ini ada kaitan dengan latar belakang A.R. Kamaluddin itu sendiri. Sebagai penulis, beliau tidak pernah menjadi pemberita. Beliau adalah seorang sasterawan – penulis cerpen , sajak dan novel. Gaya penulisan fiksyen ini turut mempengaruhi penulisan faktual yang beliau hasilkan selaku Ketua Penyunting Utusan Malaysia.

Pergolakan di Jabatan Pengarang Utusan yang telah membawa kepada pelantikan Zainuddin sebagai ketua biro utara Utusan itu sebenarnya bersebab. Apa yang berlaku itu ada kaitan dengan perubahan kepimpinan di dalam UMNO, parti politik yang merupakan pemegang saham terbesar Utusan Melayu.

Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tun Razak Hussein menggantikan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia pada September 1971 dan tidak lama lepas itu disahkan sebagai Presiden UMNO yang baharu.

Kepimpinan Tun Razak digelar order baharu manakala orang-orang Tunku Abdul Rahman yang masih ada dalam parti dan kerajaan dianggap sebagai order lama.

Selain order lama, seorang lagi pemimpin yang dilihat menjadi ancaman terhadap usaha Tun Razak dan orang-orang di kelilingnya untuk mengukukuhkan penguasaaan ialah Datuk Harun Idris, Menteri Besar Selangor yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Di bawah Harun, pergerakan tersebut memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak terhadap kepimpinan UMNO itu sendiri sehingga Timbalan Presiden UMNO ketika itu, Tun Ismail Abdul Rahman pernah mengingatkan pergerakan itu supaya jangan menjadi “parti dalam parti.”

Dalam situasi politik serupa itu, ketika Perdana Menteri baharu ingin mengukuhkan kedudukan politik dan pengaruhnya, dan pada waktu yang sama melemahkan pengaruh saki baki orang Tunku Abdul Rahman yang masih ada dalam parti dan kerajaan, orang-orang Tun Razak dihantar untuk menguasai Utusan.

Setiausaha Politik Tun Razak, Abdullah Ahmad, dilantik sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah Utusan Melayu. Beliau memainkan peranan penting untuk menguasai Jabatan Pengarang Utusan.

Zainuddin pula dilihat sebagai agak rapat dengan Datuk Harun Idris pada waktu itu. Hal ini dilakukan menerusi dua tindakan beliau. Pertama, selaku Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia, Zainuddin telah mengundang Harun untuk merasmikan mesyuarat agung tahunan kesatuan pada 1972 yang diadakan di Utusan Melayu.

Dalam ucapan beliau, Harun mencadangkan supaya syarikat akhbar New Straits Times Press yang menerbitkan Straits Times, Berita Harian dan Malay Mail dijadikan syarikat milik Malaysia. Ketika itu, NSTP dimiliki oleh pemegang saham Singapura. Orang yang mencadangkan idea pemisahan itu adalah Zainuddin sendiri.

Pada 27 Jun 1972, Utusan Malaysia menyiarkan satu temu ramah wartawannya, Nordin Mohamad dengan Harun Idris sebagai berita utama muka satunya dengan judul “Harun mahu perubahan besar”.

Berita itu disiarkan menjelang UMNO mengadakan Perhimpunan Agung tahunannya dan tidak disenangi oleh Tun Abdul Razak selaku ketua parti. Kontroversi berlaku berikutan penyiaran berita itu seolah-olah Pemuda UMNO ingin melihat perubahan besar-besaran dilakukan dalam Majlis Tertinggi UMNO.

Malang bagi Utusan Malaysia, Harun menafikan yang dia telah membuat kenyataan tersebut dan menegaskan bahawa kata-kata yang memetik beliau sebagai berkata mahukan perubahan besar di dalam UMNO adalah tafsiran wartawan itu sendiri.

Berikutan peristiwa itu demi untuk meredakan ketegangan politik, Lembaga Pengarah Utusan membuat keputusan bahawa Zainuddin yang bertanggungjawab menyiarkan berita tersebut adalah bersalah.

Diputuskan beliau dilantik sebagai ketua biro utara merangkap pengurus cawangan Utusan Pulau Pinang. Orang luar melihatnya sebagai satu kenaikan pangkat, tetapi hakikatnya ia adalah satu hukuman dan penurunan pangkat seorang pengarang berita. Pergolakan yang berlaku sehingga beliau tersingkir sebagai pengarang berita Utusan Malaysia ini telah diceritakan sendiri oleh Zainuddin dalam bukunya berjudul Di Depan Api, Di Belakang Duri yang diterbitkan pada tahun 2013.

Bukan Zainuddin sahaja yang menerima hukuman. Perkhidmatan Pak Melan Abdullah sebagai ketua pengarang kumpulan itu juga ditamatkan tidak lama lepas itu. Pak Melan dilihat oleh orang-orang Tun Razak sebagai orang kuat Tunku Abdul Rahman yang melantik Melan sebagai ketua pengarang selepas UMNO mengambilalih pegangan saham Utusan Melayu pada 1961.

Mazlan Nordin, ketua pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di bawa masuk menggantikan Melan sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu yang baharu pada awal 1973.

Mazlan secara kebetulan pernah menuntut dengan alma matar yang sama dengan Tun Razak – Kolej Melayu Kuala Kangsar. Abdullah Ahmad, yang bertanggungjawab membawa masuk Mazlan ke Utusan juga adalah bekas penuntut kolej yang sama.

Tidak seperti Melan yang mewakilkan kuasa editorial kepada orang-orang bawahannya, Mazlan adalah seorang ketua yang memusatkan kuasa dalam tangannya.

Setiap berita, terutamanya berita-berita besar  yang ditulis oleh para pemberita akhbarnya akan disunting sendiri oleh beliau. Beliau juga bertindak sebagai perancang utama pengumpulan berita – menentukan apa-apa yang ingin diliputi dan apa-apa yang tidak, serta berita apa yang hendak buat susulan.

Cara Mazlan mengendalikan Jabatan Pengarang secara hands on memberi pengalaman baharu kepada saya sebagai wartawan yang agak mentah. Saya boleh berinteraksi terus dengan beliau pada bila-bila masa. Salinan-salinan berita saya turut beliau teliti.

Jika ada pembetulan yang ingin dibuat, atau pertanyaan lanjut mengenai maklumat dan fakta dalam berita yang saya tulis, beliau akan memanggil saya. Beliau akan menconteng karya yang saya hasilkan di sana sini dengan tulisan-tulisan beliau sendiri dan selalunya akan mengarahkan “okay, tulis semula. Ikut apa yang telah saya coretkan dalam tulisan asal kamu itu.”

Sebagai seorang yang cepat belajar, dalam waktu yang singkat saya dapat memahami segala tunjuk ajar Mazlan dan selepas itu saya menghasilkan berita-berita yang diingini menurut template yang beliau ajarkan kepada saya.

Saya dapat mengesan bahawa Mazlan suka dengan kepantasan saya belajar apabila dalam kenaikan gaji 1974, pendapatan bulan saya dinaikkan dari RM260 sebulan kepada RM460 sebulan.

Satu lagi penghargaan yang beliau berikan kepada saya adalah pada Februari 1974, beliau menghantar saya untuk mengikuti kursus penulisan pertanian dan pembangunan di Berlin Barat, Republik Jerman selama dua minggu.

Rakan-rakan saya di Utusan mula menggelar saya sebagai “anak emas” Mazlan kerana saya mula diberi kepercayaan untuk meliputi Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin kanan kerajaan yang lain.

Sebab itu apabila saya memutuskan untuk meletakkan jawatan pada hujung Mei 1975 untuk mengasaskan penubuhan mingguan bebas Suara Rakyat bersama-sama Subky Latif, seorang lagi guru saya dalam penulisan rencana semasa di Utusan selain Azah Aziz,  Mazlan sedikit keciwa.

Tetapi beliau tidak menghalang. Sebaliknya mengucapkan selamat maju jaya kepada saya apabila saya bertemu beliau.

Maka berakhirlah perkhidmatan saya dengan Utusan bermula 1 Jun 1975. Dalam tempoh empat tahun bernaung di bawah Utusan Melayu, itu saya telah mendapat bimbingan daripada orang atasan saya yang kemudian menjadi orang besar dalam organisasi media di Utusan dan di luar Utusan.

Mereka termasuklah Mohd Nor Shamsuddin, Zainuddin Maidin, A. R Kamaluddin, Subky Latif, Azah Aziz, Melan Abdullah dan Mazlan Nordin.

Mohd Nor bersara dari Utusan sebagai pengarang Utusan Malaysia; A.R. Kamaluddin pernah menjadi pengarang rencana Utusan Malaysia dan Ketua Pengarang Sabah Times di Kota Kinabalu serta menjadi penyunting kanan di Berita Harian; Subky Latif pula mengotakan kata-katanya untuk menjadi pengasas sebilangan akhbar seperti Lord Thomson di United Kingdom dengan mengasaskan Suara Rakyat dan Suara Merdeka serta terlibat dalam penubuhan harian Watan yang dimiliki oleh seorang bekas menteri, Tan Sri Khir Johari.

Zainuddin pula pernah menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, kemudian Senator, Ahli  Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Penerangan dan Menteri Penerangan Malaysia.

Mazlan Nordin pula bersara sebagai Pengarah Urusan Utusan, kemudiannya berkhidmat sebagai Penasihat Editorial di New Straits Times dan Karyawan Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Saya sendiri selepas bersama Subky di Suara Rakyat, Suara Merdeka dan Sarina beruntung kerana diberi peluang berkhidmat sebagai wartawan radio dengan Bahagian Melayu,  Perkhidmamtan Luar Negara British Broadcasting Corporation (BBC) di London selama enam tahun antara November 1976 hingga Oktober 1982.

Kesempatan berkhidmat dengan BBC juga saya manfaatkan untuk menyiapkan ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam bidang sains sosial dengan Polytechnic of Central London (sekarang University of Westminster), yang terletak tidak jauh dengan Bush House, secara sambilan pada sebelah malam.

Selepas menamatkan perkhidmatan dengan BBC, saya melanjutkan pelajaran di University of Leicester pada peringkat ijazah sarjana (master) selama 12 bulan.

Saya hanya kembali berkhidmat semula di Utusan Melayu (Malaysia Berhad) (UMMB) pada tahun 1984 sebagai penulis rencana pengarang, kemudian sebagai pengarang rencana pada 1990 dan seterusnya dilantik Ketua Bahagian Majalah pada penghujung 1993.

Pada 17 Ogos 1998, saya berhijrah ke Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) atau lebih dikenali dengan nama TV3 pada mulanya sebagai pengarang kanan (projek khas) dan tidak lama kemudian sebagai pengarang urusan/ketua pengarang Divisyen Berita dan Ehwal Semasanya pada awal 1999 sehinggalah saya bersara pada akhir 2007.

SourceVOA

Secara Rawak

Artikel Terbaru