Sunday, June 13, 2021

Tun Openg sokong cuti umum Gawai Dayak

Mesti baca

TUN DATUK Abang Haji Openg Abang Sapiee dikenali sebagai pemimpin yang sentiasa memupuk semangat muhibah, perpaduan dan kerjasama dengan semua kaum, termasuk masyarakat Dayak di seluruh Sarawak.

Sikap dan nilai sedemikian telah berputik di jiwa beliau sejak menjadi Pegawai Anak Negeri dan Pegawai Daerah hinggalah menjadi Gabenor pertama Sarawak selama enam tahun sehingga meninggal dunia pada 28 Mac 1969.

Beliau amat selesa bergaul dengan masyarakat Dayak.

Bagi kaum Dayak pula, Datu Abang Openg merupakan pemimpin yang sentiasa dekat di hati mereka kerana sikapnya yang rendah diri dan sanggup turun berjumpa mereka di rumah panjang.

Hakikat ini terserlah ketika beliau menjadi Ahli Council Negeri apabila beliau menyokong usul menjadikan Hari Gawai Dayak sebagai acara rasmi dan diisytiharkan sebagai cuti umum. Usul itu telah dibentangkan oleh wakil masyarakat Dayak, Tra Zehnder beberapa kali.

Bagaimanapun, ketika usul berkenaan dibentangkan pada bulan Ogos 1961, usul berkenaan tidak mendapat sokongan, termasuk pemimpin Dayak sendiri.

Memang menjadi hasrat pemimpin dan masyarakat Dayak ketika itu untuk melihat Gawai Dayak diiktiraf dan diisytiharkan sebagai perayaan rasmi di negeri ini, sama seperti Hari Raya Aidilfitri perayaan rasmi bagi umat Islam dan perayaan Tahun Baru Cina bagi masyarakat Cina.

Hari Gawai Dayak merupakan lambang perpaduan dan kesatuan masyarakat Dayak yang terdiri daripada pelbagai suku kaum.

Dalam mesyuarat ketiga sesi keempat Council Negeri dari 26 hingga 28 September 1962, Tra Zehnder sekali lagi mengemukakan usul berkaitan Hari Gawai Dayak.

Kata Tra, pemimpin wanita masyarakat Iban yang tersohor ketika itu, “Saya telah diminta oleh kaum Iban membangkitkan isu ini yang telah bermain di dalam fikiran mereka empat tahun lalu.

Usul ini dikemukakan atas empat alasan berikut.

Pertama, dengan lulusnya usul ini oleh Dewan ini nanti bermakna satu pengiktirafan bagi masyarakat Dayak, yang merupakan kaum terbesar di Sarawak.

Kedua, perayaan Gawai merupakan cara terbaik mengiktiraf masyarakat Dayak.

Ketiga, tidak terdapat motif politik dan tidak ada hasrat menghiriskan perasaan kaum lain.

Keempat, dengan memenuhi hasrat kaum Dayak bermakna wujudnya hubungan kaum yang lebih harmoni dan bukan melemahkannya.

Akhir sekali, kata beliau, menjadi hasrat masyarakat Dayak untuk menikmati sesuatu yang telah pun dinikmati oleh kaum lain dan bukannya meminta sesuatu yang terlalu istimewa untuk diri mereka sendiri.

Usul itu disokong dan dibahas oleh beberapa orang pemimpin Dayak, iaitu Dagok anak Randen, Buda anak Ulan, Remigius anak Nyangu dan John Muda. Tra Zehnder kecewa dengan sebahagian wakil Dayak di Dewan itu yang pada awalnya berjanji untuk menyokong usul beliau, tetapi tidak berbuat demikian apabila sampai waktunya.

Sekali lagi, beliau menegaskan usul itu dikemukakan bukannya untuk dirinya sendiri, tetapi untuk semua orang Dayak, tidak kira Dayak Laut atau Dayak Darat, sebaliknya untuk semua mereka yang menganggap diri sebagai keturunan Dayak.

Datu Abang Openg telah menyokong dan turut membahas usul berkenaan.

Bagi wakil tetap itu, beliau menjelaskan cuti yang dinikmati oleh semua orang Islam di Sarawak dengan jumlah sebanyak 200,000 orang, iaitu Hari Raya.

“Melanau juga Bumiputera Sarawak. Banyak daripada mereka yang beragama Islam turut meraikan Hari Raya. Bukan sahaja orang Islam, tetapi juga kaum Cina, Dayak dan kaum lain turut sama-sama meraikan Hari Raya. Jadi, cuti Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja untuk orang Melayu.

Ia merupakan perayaan agama untuk semua kaum di Sarawak dan saya ingin menyokong usul wakil rakyat wanita tadi tentang perlunya Hari Dayak dijadikan cuti umum kerana kaum lain mempunyai hari cuti umum mereka sendiri, iaitu orang Kristian meraikan hari Krismas dan kaum Cina mempunyai perayaan mereka sendiri,” tegas Datu Abang Openg ketika membahaskan usul itu.

Sokongan dan perbahasan Datu Abang Openg menggambarkan sikap beliau yang begitu bertimbang rasa, faham dan toleran terhadap aspirasi kaum Dayak di Sarawak. Sikap keterbukaan itu sebahagiannya disumbang pendedahan dan pergaulannya yang meluas, termasuk dengan masyarakat Dayak.

Memang terdapat tentangan dan kerisauan dalam kalangan wakil tertentu atas alasan jika hari Dayak dibenarkan untuk cuti umum, maka kaum lain juga akan meminta hari perayaan untuk kaum mereka pula.

Malangnya, usul itu ditolak selepas perbahasan dan pengundian dilakukan oleh ahli Council Negeri.
Walau bagaimanapun, usul itu hanya mendapat sokongan padu selepas Stephen Kalong Ningkan menjadi Ketua Menteri.

Gawai Dayak diwartakan sebagai cuti umum pada pada 25 September 1964 dan diraikan secara rasmi untuk pertama kali pada 1 Jun 1965.

Pengisytiharan berkenaan menerima reaksi positif daripada masyarakat Dayak.

Ketika menjadi Gabenor kemudiannya mulai 16 September 1963, jasa dan semangat Tun Openg berjuang tanpa mengenal batas etnik dan warna kulit, termasuk menyokong usul berkenaan sentiasa dikenang masyarakat Dayak hingga hari ini.

Untuk itu, ketika meraikan Hari Pesta Gawai Dayak pada 2 Jun, Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri berkata: ”His Excellency the Governor, Tun Abang Haji Openg, has demonstrated his wisdom in approving an additional day to be included in the Sarawak Almanac for the Dayak community to be known as the Dayak Festival Day, for with it, we can now say that the social tradition in the State of Sarawak is not only established but complete.”

Sementara itu, ketika berucap pada majlis yang sama, dan mengucapkan ’Selamat Gawai Tuan Dayak’, Tun Openg menekankan pentingnya kesepaduan dan perpaduan diperkukuh di Sarawak, dan menjadi tanggungjawab beliau, katanya, untuk mengingatkan rakyat Sarawak supaya bersatu, ’kerana hanya dengan adanya kesepaduan dan perpaduan di negara ini, kita dapat saksikan kemakmuran dan keharmonian.’

Tambahnya: ”Saya sedar kaum Dayak perlukan tahun baharu yang diiktiraf oleh Kerajaan, sama seperti ia mengiktiraf Hari Raya bagi kaum Melayu, Tahun Baharu Cina bagi kaum Cina, dan lain-lain.

Untuk sekian lama pada masa silam, anda semua telah meraikan ’gawai taun’ di semua cabang sungai dan rumah panjang di negara ini, tetapi pada waktu yang berlainan sepanjang tahun, bagi menandakan permulaan musim menuai, dan mendoakan kemakmuran dan kesuburan untuk musim penanaman padi akan datang.”

Tun Openg dan isteri turut meraikan perayaan tersebut untuk kali kedua, secara rasmi, di Sarawak Union Club pada tahun 1966.

Acara yang dihadiri 2,000 orang itu turut dihadiri Ketua Menteri dan Speaker Dato Sockalingam, menteri Kabinet dan isteri, serta pemimpin masyarakat pelbagai kaum.

Tun Openg disambut oleh pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Stephen Wan Ulok dan dalam upacara itu, beliau turut ikut serta dalam upacara miring.

Melalui ucapan Hari Gawai Dayak 1966 yang disiarkan melalui radio, beliau menyatakan adalah menjadi hasrat beliau untuk melihat semua orang sungguhpun bukan dilahirkan dalam golongan masyarakat Dayak “hendaklah sama-sama meraikan perayaan itu supaya memelihara dan memperkuat semangat bersama-sama meneruskan persefahaman dan persaudaraan mereka yang turun-temurun.”

Beliau berkata dengan adanya hari perayaan khas yang diisytiharkan oleh kerajaan, diharap agar masyarakat Dayak lebih bersatu padu dengan kekuatan dan perpaduan bersama-sama dengan kaum lain untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara.

Katanya: ”As we all know the Dayaks are known all over the world for their hospitality and friendliness.

For all of us this festival day would be a happy occasion for renewing friendship and old ties. By having one particular day now on which to celebrate their Gawai Tahun throughout the country l fervently hope that the Dayaks will be more united in strength and unity with the other communities towards our common goal — the making of Malaysia as one nation.”

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara.

Secara Rawak

Artikel Terbaru