Tuesday, June 22, 2021

Pemilik diarah alih rumah 1 meter

Mesti baca

AUCKLAND: Dalam situasi yang jarang berlaku, seorang pemaju harta tanah merancang menyaman pemilik rumah di Auckland, New Zealand kerana isu kesalahan pembinaan.

Laporan mengatakan terdapat perbezaan 1 meter antara tapak asal rumah Deepak Lal yang sudah dibina dengan lokasi sebenar rumah itu.

Lal meminta syarikat Pinnacle Homes umembina rumahnya, di Papakura, New Zealand.

Pada pertengahan 2020, sebaik sahaja syarikat itu selesai melakukan pembinaan rumah, pemilik harta tanah berdekatan, C94 Development memberitahu mereka berkaitan salah faham tersebut.

Kerja itu terpaksa dihentikan selepas aduan terbabit. Sekarang, C94 Development mengatakan Lal harus memindahkan rumah itu 1 meter atau membayar ganti rugi sekitar RM913,560.

Dalam pada itu Lal yang menganggap semua ini umpama mimpi buruk mengatakan pereka rumahnya, HQ Designs memfailkan kebenaran untuk pembinaan bangunan dan ia disetujui Majlis Bandar Raya Auckland dan menganggapnya sebagai tanggungjawab mereka.

Namun, dalam kes ini semua pihak dikatakan saling menyalahkan dan enggan bertanggungjawab.

Johnny Bhatti, pengurus projek di Pinnacle Homes, mengatakan dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena ketika dia memeriksa dokumen untuk rumah Lal.

Dia bahkan menambah, sedia membantu memindahkan rumah itu, namun persoalannya ialah siapa yang membayar untuk penempatan semula atau pemindahan rumah itu sekarang.

Menurut NDTV, Lal mengatakan dia hanya mahukan jalan keluar dari situasi ini dan rela berpindah rumah, tetapi tidak mempunyai wang melakukannya.

“Saya sudah membayar AS$1000 (RM4,133) seminggu kepada pihak bank untuk gadai janji rumah ini dan sewa untuk rumah tempat saya tinggal sekarang,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru